Ibadah

5 Ubat Hati Seperti Dalam Lagu Opick

Oleh Natirah Azira  •  30 Sep 2018  •  4 min baca

Kita tahu sifat hati adalah berbolak balik, yakni berubah-ubah, tidak tetap, jadi bagaimana untuk menjaga hati supaya sentiasa baik dan bersih? Lagu Opick, ‘Tombo Hati’ terngiang-ngiang di telinga saya ketika menulis artikel ini. Katanya ubat hati itu ada lima perkara. Mari kita telitinya satu persatu:

#1. Baca Quran Dan Maknanya

Dalam sebuah hadis yang sangat terkenal, Rasulullah SAW ada menerangkan tentang ganjaran orang yang membaca Al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda;

“Barangsiapa membaca satu huruf dari kitabullah, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan dilipatgandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif laam miim’ itu satu huruf, akan tetapi, Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”(HR. Tirmidzi no. 2915. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Allah juga ada berfirman tentang saranan membaca al-Quran dalam Surah Al-Muzzammil.

“Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran…”(Surah Al-Muzzammil, 73:20)

Allah bukan tidak tahu bahawa kita sakit, sibuk, kesempitan masa, banyak kerja, banyak tanggungjawab, namun kerana membaca Al-Quran adalah ubat kepada kesemua kesusahan ini, maka Allah tetap menyuruh hambanya agar tidak meninggalkan Al-Quran.

#2- Dirikanlah Solat Malam

Waktu sepertiga malam adalah waktu yang sangat sesuai untuk menunaikan solat-solat sunat. Ia waktu yang istimewa, yang tidak hingar dengan suara-suara. Ia waktu khusus buat para hamba dan Rabbnya.

“Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang”(Surah Al-Muzzammil, 73:6-7)

“dan pada sebahagian malam, lakukanlah Solat Tahajud (sebagai suatu ibadah tambahan bagimu): Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang Terpuji.”(Surah Al-Israa’ 17:79)

Dalam Surah Adz-Dzariyat pula Allah bercerita tentang sifat-sifat penghuni syurga, iaitu mereka ialah orang yang suka berbuat baik dan selalu bangun malam untuk beribadah kepada Allah.

“ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka.. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan di akhir malam,mereka memohon ampunan kepada Allah.(Surah Adz-Dzariyat, 51:15-18)

#3- Berkumpul Dengan Orang Soleh

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Seseorang itu mengikuti din (agama; tabiat; akhlaq) kawan dekatnya. Oleh kerana itu, hendaknya seseorang di antara kalian memperhatikan siapa yang dia jadikan kawan dekat. (HR. Abu Dâwud, no.4833;Tirmidzi, no.2378. Dihasankan oleh Syaikh al-Albani di dalam Silsilah as-Sahihah No. 927)

Riwayat diatas bukanlah bermakna kita hanya perlu berkawan dengan orang yang baik dan menjauhi yang sebaliknya. Perlu difahami bahawa suasana sangat penting untuk membantu manusia memperbaiki diri ke arah kebaikan kerana secara semula jadinya, manusia akan mempengaruhi antara satu sama lain.

Jadi kita memerlukan kelompok teman yang pelbagai, orang-orang soleh untuk kita dapatkan kebaikan dan kekuatan darinya dan juga kelompok yang memerlukan bantuan supaya kefahaman tentang agama dapat disebarkan.

“Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Rabbnya di pagi dan di senja hari dengan mengharap keredhaanNya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”(Surah Al-Kahfi, 18: 28)

#4- Perbanyakkan Puasa

Dalam riwayat Ahmad dikatakan,

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ الْعَمَلِ كَفَّارَةٌ إِلاَّ الصَّوْمَ وَالصَّوْمُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ

“Allah ‘azza wa jalla berfirman (yang ertinya), “Setiap amalan adalah sebagai kafarah/tebusan kecuali amalan puasa. Amalan puasa adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya”(HR. Ahmad. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanad hadis ini sahih sesuai syarat Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Berbagai amalan dihadapkan (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku dihadapkan sedangkan aku sedang berpuasa.”[3] HR. Tirmidzi no. 747.(At Tirmidzi mengatakan bahwa hadis ini hasan ghorib. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini sahih lighoirihi (sahih dilihat dari jalur lainnya). Lihat Sahih At Targhib wa At Tarhib no. 1041)

#5- Zikir Malam Berpanjangan

“Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang”(Surah Qaf, 50:40)

“Dan bersabarlah (Muhammad) dalam menunggu ketetapan Tuhan-mu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun, dan bertasbihlah kepadaNya pada sebahagian malam dan juga pada waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar).”(Surah at-Thur, 48-49)

Demikianlah antara amalan yang boleh dilakukan yang jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan terbukti meninggalkan kesan pada hati. Jika tidak mampu untuk melakukan semua, marilah kita berazam untuk melakukan sekurang-kurang satu daripada amalan-amalan tersebut. Allah lebih menyukai orang yang melakukan amalan walaupun sedikit tetapi berterusan.

Rujukan:
Muslim.or.id
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami