Site icon Tazkirah

Cinta Ditolak : Bukanlah Penanda Aras Nilai Kualiti Diri Anda

Seorang lelaki teragung bernama Muhammad bin Abdullah iaitu Rasulullah S.A.W terakhir utusan kepada umat akhir zaman ini. Baginda juga pernah ditolak pinangannya oleh seorang wanita bernama Ummu Hani’ binti Abu Talib iaitu sepupu kepada Rasulullah S.A.W Muhammad S.A.W.

Rasulullah S.A.W Muhammad S.A.W dikenali oleh umat Islam sebagai seorang manusia yang sangat berpengaruh dan ini dipuji. Bahkan dimasukkan sebagai senarai carta nombor satu ‘leadership’ paling berpengaruh dunia.

Seorang penulis dalam bidang kepimpinan bernama Micheal H. Hart ada menulis bukunya yang terkenal iaitu “The 100 Most Influential Person In History”. Beliau memasukkan nama baginda sebagai pertama sekali.

Ini dapat dibuktikan dengan banyak tanda-tanda sejarah itu sendiri. Diusia baginda 63 tahun mampu membina empayar Islam teragung dan terbesar hingga digeruni Parsi dan Rom sedangkan semua itu bermula dari tanah Arab yang kering kontang dan tiada kesatuan.

Kita ketahui bagaiman masyarakat jahiliyah yang sifatnya berkabilah-kabilah, bunuh-membunuh sudah menjadi amalan harian namun dalam tempoh 23 tahun sahaja Rasulullah S.A.W mampu membina negara Islam di Madinah al-Munawwarah.

Ditolak Pinangan

Dalam kitab Raheeq al-Makhtum karya Syaikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri memuatkan kisah perjalanan hidup Rasulullah S.A.W Muhammad S.A.W sebelum baginda lahir sehinggalah baginda wafat. Buku ini pernah mendapat anugerah cemerlang karya sirah yang paling sahih ketika itu di Arab Saudi.

Perhatikan kisah jodoh baginda melalui karya ini akan dijumpai beberapa kisah yang mungkin jarang diketengahkan dalam masyarakat seperti kisah Rasulullah S.A.W ditolak pinangannya oleh wanita.

Kalau kita fikir sejenak, seorang lelaki yang bergelar utusan Allah sendiri pun ditolak lamaran apatah lagi kita insan yang kerdil ini? Sudah tentu ini sangat memotivasikan kita bila kita ditolak oleh seseorang.

Dua orang wanita pernah menolak lamaran baginda S.A.W sepanjang hayatnya, seorang bernama Ummu Salamah dan kedua pula ialah Ummu Hani’. Namun baginda hanya berjaya memikat hati Ummu Salamah akhirnya manakala Ummu Hani’ tidak menjadi hubungan pernikahan.

Pertama sekali, pada zaman awal Islam di kota Mekah sewaktu baginda belum diutuskan sebagai Rasulullah, baginda pernah melamar Ummu Hani’ binti Abu Talib namun ditolak oleh pakciknya Abu Talib kerana sudah ada calon suami untuk Ummu Hani’ sejak awal lagi iaitu Hubarah bin Abi Wahbin.

Kali kedua Rasulullah S.A.W melamar Ummu Hani’ selepas berlakunya peristiwa Fathul Makkah (pembukaan kota Mekah).

Ketika itu Ummu Hani’ telah diceraikan secara automatik kerana keIslaman beliau waktu itu. Pada waktu tersebut beliau sudah memiliki anak seramai empat orang. Lalu baginda melamar untuk kali keduanya sebagaimana riwayat hadis ini;

وعن عامر رضي الله عنه قال : خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم أم هانىء فقالت : يا رسول الله لأنت أحب إلي من سمعي وبصري وحق الزوج عظيم فأخشى إن أقبلت على زوجي أن أضيع بعض شأني وولدي . وإن أقبلت على ولدي أن أضيع حق الزوج . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم :إن خير نساء ركبن أعجاز الإبل صالح نساء قريش أخشاه على ولد في صغر وأرعاه على بعل بذات يد
“Ya Rasulullah, sungguh dirimu lebih saya cintai daripada pendengaran dan penglihatan saya. Namun, Ya Rasulullah, saya tahu bahawa hak suami sangatlah besar dan harus dijunjung tinggi. Saya khuatir jika mengurusi seorang suami, lalu saya terpaksa mengabaikan sebahagian hak anak-anak saya. Jika saya mengurusi anak-anak, saya khuatir akan mengabaikan hak suami.” Rasulullah menghormati pandangannya. Kemudian Rasulullah memberikan pandangan, “Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang naik unta adalah wanita Quraisy. Mereka paling sayang kepada anak-anaknya di waktu kecil, dan paling memperhatikan urusan suami”Riwayat Bukhari dan Muslim

Keduanya, ketika mana Rasulullah S.A.W ingin meminang Ummu Salamah ketika beliau baru sahaja kematian suaminya.

Ummu Salamah menolak pada awalnya, namun di akhir peminangan sekali lagi akhirnya diterima oleh beliau. Sebagaimana hadis ini;

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِى فِى مُصِيبَتِى وَأَخْلِفْ لِى خَيْرًا مِنْهَا إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ فِى مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا ». قَالَتْ فَلَمَّا تُوُفِّىَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ كَمَا أَمَرَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِى خَيْرًا مِنْهُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم
Daripada Ummu Salamah bahawa saya pernah mendengar bahawa baginda S.A.W pernah bersabda: Tidaklah seorang hamba Allah apabila dia ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan kepadanya ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kami akan dikembalikan kepadaNya, Ya Allah berikanlah kami pahala atas musibahku ini, dan gantikanlah dengan suatu yang lebih baik darinya’ Ummu Salamah berkata: Tatkala Abu Salamah meninggal, saya tertanya-tanya adakah terdapat seorang lelaki yang lebih baik darinya?’ Kemudian saya pun mengucapkan doa sebagaimana yang diajarkan ini lalu saya dikurniakan lelaki yang bernama Rasulullah” Riwayat Muslim

Bagaimana Menguruskan Sebuah ‘Penolakan’

Perhatikan bagaimana Rasulullah S.A.W Muhammad S.A.W apabila ditolak beberapa kali. Bagaimana respon baginda apabila Ummu Hani’ menolak baginda sebanyak dua kali yang mana akhirnya tidak kahwin juga.

Baginda terus mendoakan kebaikan buat Ummu Hani’ bukannya memandang rendah pada beliau atas kapasiti diri baginda sebagai Rasul maka semuanya harus senang dan mudah.

Rasulullah S.A.W lelaki yang diakui sangat berpengaruh begitu pun ditolak oleh seorang wanita. Ini bermakna dalam sisi kehidupan biasa Rasulullah S.A.W sendiri pun melalui proses suka duka seperti manusia biasa.

Rasulullah S.A.W hanya diberi kelebihan menerima wahyu adapun hal perihal kehidupan baginda tidak lain bersifat harus seperti manusia biasa juga. Namun begitu baginda bukanlah bersikap biasa-biasa, baginda digelar sebagai ‘khuluq al-quran’ (berakhlak dengan al-quran).

Begitulah sepatutnya kita mengurus sebuah ‘rejection’ (penolakan). Doakan terbaik buat si dia kerana akan ada orang yang sesuai dijadikan buat kita semua.

Bukanlah cinta itu suatu yang bersifat keterpaksaan. Sekalipun yang melamar Ummu Hani’ itu seorang Rasul namun Ummu Hani’ menolak baginda sebagai calon suami, bukannya pesuruh Allah.

Dalam hal ini apa yang saya belajar ialah tentang membezakan antara cinta sebagai suami dan cinta sebagai Rasul. Kita dituntut untuk mencintai Rasulullah S.A.W sebagai utusan Allah yang wajib dipatuhi segala arahannya berkaitan agama dan kehidupan, namun kita tidak dipaksa untuk menerima segala urusan manusiawi hanya kerana baginda seorang Rasul. Hebatnya pengajaran disini!

Lagi hebat lagi apabila Rasulullah S.A.W membalas penolakan itu dengan pujian dan doa. Cuba bayangkan, bagaimana Rasulullah S.A.W menguruskan sifat ketuanya itu dengan merendah diri?

Kita kalau bergelar ‘somebody’ ditolak oleh orang biasa pun kita sudah mula melenting sedikit. Maka kita perlulah belajar cara menangani penolakan dengan cara yang matang. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”Surah al-Rum: 21

Cinta itu suatu yang ‘smooth’ (licin) bukan boleh dipaksa-paksa. Baginda tidak memaksa sebab baginda faham falsafah percintaan.

Ada peristiwa lain ketika Rasulullah S.A.W menjadi orang tengah seorang wanita ansar bernama Khansa’ al-Ansariyah ketika mana beliau dipaksa oleh bapanya supaya berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya.

Rasulullah S.A.W menjelaskan seorang wanita tidak boleh dipaksa perasaannya. Rasulullah S.A.W tidak bersikap prejudis atau berat di sebelah ayah semata-mata dan baginda tidak menafikan naluri cinta itu dari dada seseorang.

Kualiti Diri Tiada Kaitan Dengan Penolakan

Harus diingatkan sekali lagi bahawa kualiti atau harga diri kita tidak ditentukan langsung oleh penerimaan atau penolakan seseorang. Kualiti kita hanya ditentukan oleh keberadaan diri kita di sisi Tuhan. Sebagaimana firman Allah;

نَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takutkan Allah”Surah al-Hujurat: 13

Ketaqwaan kita adalah sejauh mana kualiti kita. Taqwa itu bukan hubungan satu hala sahaja antara hamba dan tuhan namun turut meliputi tiga haluan iaitu Tuhan, manusia dan alam sekitar.

Taqwa ini disebutkan sebagai manusia yang hidupnya bertunjangkan tauhid lalu dengan pegangan tersebut kita mampu menterjemahkan diri lalu berdamai dengan tiga haluan itu tadi.

Sekalipun Rasulullah S.A.W pernah ditolak lamarannya oleh seorang wanita Quraisy, namun baginda tetap hebat di mata kita semua tidak pernah berkurangan.

Kita jangan sesekali beranggapan bahawa penolakan bermakna kita seorang yang lemah sana sini, tidak berkualiti bahkan tiada harga diri.

Ramai orang berfikir penolakan itu suatu yang merendahkan diri walhal itu adalah suatu kebaikan buat diri kita. Bagaimana kita tahu potensi diri kalau kita tidak mencuba?

Seperti kita mohon kerja, dalam 10 buah syarikat tentu ada salah satu darinya yang kita tidak serasi dengan kehendak majikan.

Maka penolakan bukan beerti kualiti kita rendah namun ia lebih kepada soal keserasian. Kita disuruh oleh Allah untuk mencuba, kalau tiada cubaan apalah makna kepada sebuah benda yang bernama kehidupan?

Hidup ini sinonim dengan usaha keras, sabar, syukur, reda dan sebagainya untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita dan keyakinan kita pada ketentuan Allah.

Saya berpendapat ditolak dalam soal pencarian jodoh bukan suatu keaiban, keaiban itu adalah kita menjadi hamba kepada manusia.

Sebagaimana kata Matthew Hussey, “Try Harder is masochism” (terlalu memaksa dalam cinta itu ialah perhambaan).

Kita jangan jadi hamba manusia, kita hanya perlu jadi hamba kepada Allah azza wa jalla. Dalam urusan jodoh kita hanya boleh berusaha pada permulaan, jika diterima Alhamdulillah jika ditolak pun Alhamdulillah.

Exit mobile version