Oleh Natirah Azira • 19 Sep 2018 • 2 min baca
Apabila tiba 10 Muharram, masyarakat Melayu tidak terlepas dari memperkatakan tentang bubur ‘Asyura. Dikatakan bahawa amalan ini diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.
Persoalannya, adakah benar kisah itu disandarkan kepada Nabi Nuh AS?
Mengikut keterangan Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam “Bayan Linnas Siri 39: 10 Muharram: Kelebihan & Faktanya”, kisah ini ada disebutkan di dalam kitab seperti Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, ada di dalam kitab Nuzhatil Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman al-Ushfuri serta ada di dalam kitab Jam’ul Fawaid oleh Syeikh Daud al-Fathoni.
Didalamnya ada disebut bahawa apabila kapal Nabi Nuh A.S berlabuh di Bukit Juudiy pada hari ‘Asyura, berkata Nabi Nuh AS kepada umatnya:
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”
Komentar
Kata Datuk Dr. Zulkifli lagi, kisah seperti ini amat perlu kepada kajian yang mendalam agar kesahihannya dapat dibuktikan. Setakat ini pihak pejabat mufti tidak menjumpai lagi sebarang petunjuk dalam bentuk hadis ataupun athar mengenai kisah ini. Namun terdapat sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah ini sebagai palsu.
Tiadanya dalil yang thabit bukanlah bermakna masyarakat langsung tidak dibenarkan untuk memasak bubur Asyura. Masaklah apa sekalipun selagi ianya halal dan baik. Cuma kata beliau, masyarakat perlu berhati-hati agar tidak mengaitkannya dengan Nabi Nuh AS secara jazam(pasti) dan tidak menganggapnya sunnah yang mesti dilakukan pada 10 Muharram.
Memasaklah dengan niat untuk bersedekah dan memberi makanan terutama kepada orang-orang fakir, miskin dan juga yang amat memerlukan. Berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ﴿٨﴾ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّـهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ﴿٩﴾ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,(8)
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih(9)
“Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.(10)
(Al-Insaan: 8-10)
Sumber:
Bayan Linnas Siri 39: 10 Muharram: Kelebihan & Faktanya
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.