Gaya Hidup

Jagalah Akhlak Mu Yang Merupakan Amanah Kurniaan Allah

Oleh Nor Khairiah  •  14 Sep 2018  •  3 min baca

Dalam Al-Quran, Allah merakamkan firmanNYA yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNYA, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui (dosanya).” Surah Al-Anfal:27

Sifat amanah merupakan satu taklif (tanggungjawab) yang perlu ada dalam diri setiap manusia. Malah, menjadi satu kewajipan untuk menunaikan amanah yang diberikan samaada amanah kepada Allah dan Rasul atau amanah kepada manusia.

#1- Amanah Kepada Allah Dan Rasul

Amanah kepada Allah menuntut kita untuk sentiasa taat dan patuh akan segala perintah Allah S.W.T serta menjauhi dari segala laranganNYA.

Sebagai contoh, solat 5 waktu sehari semalam. Solat itu bergantung kepada diri sendiri.

Mudah atau payah, ikhlas, khusyuk atau lalai. Sama ada kita solat ataupun tidak, hanya diri sendiri dan Allah sahaja yang tahu.

Seringkali solat itu dipandang remeh, Sedangkan hal tersebut merupakan amanah dan kewajipan yang dituntut.

#2- Amanah Sesama Manusia

Amanah kepada manusia meliputi hal-hal seperti memberi hak kepada yang berhak, menunaikan janji, bersikap adil, bercakap benar serta melakukan ihsan dan kebaikan terhadap masyarakat sekeliling.

Tetapi malangnya, manusia sering dirosakkan dengan perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan amanah tersebut.

Antara amanah terhadap Allah dan Rasul dan amanah terhadap manusia kedua-duanya saling berkait rapat. Saya cuba berikan contoh mudah.

“Ahmad selalu solat 5 waktu di masjid tetapi mulutnya selalu mengumpat jiran tetangganya.”

Cuba kita fikir sejenak. Bagaimana seorang manusia yang melaksanakan amanah kepada TuhanNYA tanpa meninggalkan satu waktu solat pun masih tegar melakukan perbuatan tercela?

Jawapannya senang. Kerana dia tidak melaksanakan amanah terhadap manusia. mana mungkin dia boleh menjadi hamba Allah yang bertaqwa seandainya dia menyingkirkan salah satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sama juga seperti contoh sebegini;

“Walaupun Siti tidak memakai tudung dan berpakaian seksi namun, itu tidak bermakna dia jahat. Dia juga selalu bersedekah dan membantu rakan-rakannya ketika mereka susah.”

Perbuatan mendedahkan aurat tidak boleh dipandang ringan. Ia merupakan suruhan Tuhan. Merupakan amanah kepada manusia yang wajib dilaksanakan.

Lalu, mengapa berbuat pahala (bersedekah) disamping itu juga masih berbuat dosa (mendedahkan aurat)?

Dalam Al-Quran, Allah ada berfirman yang bermaksud;

“Tiap-tiap orang yang berbuat dosa itu jangan disangka bahawa dosa itu tidak akan kembali kepadanya. Dan seseorang yang berdosa itu tidak akan memikul dosanya orang lain.” Surah al An’am:164

MasyaAllah! Alangkah ruginya manusia. Perbuatan yang haram akan tetap jelas haram. Yang haram tidak boleh bertukar kepada halal apatah lagi bercampur status halal dan haramnya dalam satu masa.

Perbuatan sebegini pastinya menjadi satu kerugian besar bagi mereka di padang mahsyar kelak. Apabila manusia dihisab, mereka mula mempersoalkan tindak tanduk mereka yang dahulunya didunia. Mereka akan menyebut dengan penuh penyesalan;

“Alangkah baiknya jika aku tidak berbuat begitu dan alangkah baiknya jika aku berbuat begini.”

Sedangkan pada hari itu setiap penyesalan tidak lagi berguna. Setiap perilaku manusia di atas bumi Allah ini, akan dihisab dikemudian hari. Semuanya dalam perhitungan Allah.

Kita berjalan, nampak sampah. Kita terus kutip dan masukkan ke dalam tong sampah. Walaupun hal itu nampak kecil dipandangan mata manusia, namun ianya besar pada pandangan Allah S.W.T.

Maka, jalankanlah amanah yang telah diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab. Kerana setiap daripada amanah tersebut akan dipersoalkan dihadapan Allah S.W.T kelak. Tidak akan tertinggal walau sekecil debu pun.

Ketahuilah, Allah menjanjikan syurga buat hambaNYA yang terpilih. Walaupun seorang manusia itu dimasukkan ke dalam syurga bukan semata-mata kerana amalannya, akan tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah.

Namun, itu tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja di dunia ini tanpa memikirkan perihal dosa dan pahala kerana menganggap Allah tidak melihat kepada amalan manusia. Tanggapan itu salah!

Dengan amalan baik yang banyaklah Allah akhirnya merahmati dan meredai kita sebagai hambaNYA lalu dimasukkan kita ke dalam syurgaNYA.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nor Khairiah

Pemegang Diploma jurusan Fashion on Art&Design Department dan sekarang bekerja dalam bidang yang sama. Suka membaca, menulis dan melancong. Pernah beberapa kali memenangi pertandingan menulis cerpen dan novel. Merupakan team leader facebook page Jodoh itu Rahsia Allah Official.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami