Gaya Hidup

Erti Sebuah Kemerdekaan

Oleh Nor Khairiah  •  30 Aug 2018  •  4 min baca

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang pelajar tingkatan 2 tentang maksud kemerdekaan dan nyata jawapan yang mereka berikan hampir sama. Antaranya;

“Hari merdeka kami dapat cuti!”

“Hari merdeka kena kibar bendera dan menyanyi!”

“Hari merdeka kena berbaris dan berkawat.”

Ya. Tepat sekali jawapan tersebut bila ianya keluar dari mulut dan pemikiran kanak-kanak atau seusianya. Hari kemerdekaan disambut penuh riang seperti warna warni bendera.

Namun, hakikatnya bukanlah erti kemerdekaan sebegitu yang ingin kita terapkan pada jiwa kanak-kanak dan remaja kerana mereka merupakan generasi baru yang seharusnya diberitakan dan diceritakan adalah tentang perihal perjuangan menuntut kemerdekaan.

Betapa pentingnya bagi mereka untuk mengenali para pejuang dan pahlawan melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Abdul Rahim Limbong dan ramai lagi.

Tiba saban tahun, pada tanggal 31 Ogos, kita semua menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh gilang. Ada pelbagai sambutan acara, aktiviti dan siaran Televisyen yang menarik semperna bulan kemerdekaan.

Ada telemovie yang memaparkan drama atau filem tentang sejarah kemerdekaan yang perlu anak-anak kita tonton antaranya seperti, Sarjan Hassan, Bukit Kepong, 1957 Hati Malaya, Embun dan Leftenan Adnan.

Tujuannya adalah untuk menanam sikap cintakan negara dan untuk membakar semangat anak-anak yang berjiwa rakyat.

Semangat kemerdekaan tidak perlu disempitkan hanya kepada hal politik semata bahkan, anak-anak generasi baru harus disedarkan tentang kepentingan menjaga agama dan negara yang sudah sekian lama bebas dari cengkaman penjajah.

Menanam sikap menghormati dan mengagumi pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah banyak berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan negara seharusnya dijadikan contoh dan tauladan kepada anak-anak genarasi kini.

Seperti filem Embun yang diterbitkan oleh Filem Negara Malaysia, memaparkan kisah seorang gadis berusia 17 tahun yang mempunyai semangat pembebasan dan daya juang yang tinggi.

Walaupun beliau seorang perempuan dan masih muda serta dihadapkan dengan pelbagai ujian mental dan fizikal namun, Embun tidak pernah berputus asa malah menjadi lebih bersemangat serta menanam dendam terhadap tentera jepun.

Nilai keberanian dan semangat cintakan negara seperti Embun inilah yang ingin diterapkan pada jiwa anak-anak generasi baru.

Cabaran terbesar bagi sesebuah negara ialah bagaimana menerapkan semangat kemerdekaan sebagaimana dipunyai oleh pejuang-pejuang terdahulu dan disalurkan kepada generasi baru.

Memang sukar untuk menyedarkan generasi baru tentang erti kemerdekaan sebenar kerana mereka telah hidup pada zaman yang jauh dengan tarikh ketika kemerdekaan dikecapi.

Maka, setiap peristiwa yang berlaku dalam sejarah perjuangan kemerdekaan juga gagal untuk dihayati kerana semangat tersebut selalunya akan datang melalui perasaan dan pengalaman.

Guru juga memainkan peranan penting dalam hal ini kerana ada segelintir ibu bapa yang lupa atau tidak tahu bagaimana untuk bercerita tentang sejarah negara kepada anak-anak mereka.

Walaupun generasi sekarang telah didedahkan dengan topik kemerdekaan dalam matapelajaran Sejarah di sekolah namun, itu bukanlah satu-satunya sahaja cara untuk mereka mengenali tokoh kemerdekaan, menangisi sudut pengorbanan pahlawan dan menzahirkan sikap patriotism dalam diri mereka.

Sejujurnya minda anak muda perlu divariasikan bukanlah didedahkan hanya kepada cerita dongeng atau cerita cinta sahaja.

Peranan media sosial dalam membangunkan semangat kemerdekaan amatlah penting kerana pada zaman teknologi moden ini, anak muda sangat rapat dengan media sosial.

Bagi mereka, apa sahaja yang berlaku diseluruh dunia mempu diketahui hanya dihujung jari sahaja. Apa sahaja bentuk penulisan di alam maya boleh dibaca dan disebar secara meluas.

Oleh sebab itu, seharusnya para cendiakawan mengambil peluang ini untuk menulis perihal kemerdekaan dalam pelbagai bentuk seperti anekdot, cerpen mahupun puisi untuk menarik golongan muda mendalami dan menghayati kisah perjuangan pahlawan zaman negara dijajah suatu ketika dahulu.

Tuntasnya, kemerdekaan pada hakikatnya harus dikaitkan dengan kemerdekaan diri hakiki manusia. sejauh mana pandangan dan pemikiran anak-anak muda berkaitan kemerdekaan perlu diselidik semula.

Kita juga pasti tertanya-tanya mampukah generasi baru ini menanam sikap sayangkan negara sepetimana pejuang yang terdahulu?

Jawapannya mudah. Mampu, jika manusia dipandu oleh akhlaknya yang sihat dan jiwa yang bersih.

Erti kemerdekaan sebenar adalah merujuk kepada diri seseorang yang bebas daripada pengaruh negatif serta berjaya menerapkan prinsip akal rasional, mendalami ilmu asas agama yang tinggi dan tidak mudah terpengaruh dengan ideologi barat serta menjauhi diri daripada sikap prejudis terhadap rakyat dan negara sendiri.

Kemerdekaan sebenar diri juga adalah apabila sesorang itu mengenali Tuhan dan meyakini takdir yang ditetapkan kepada setiap manusia.

Ikatan ketuhanan ini menjadi tunjang yang paling kukuh untuk memandu manusia dalam setiap tindakan dalam kehidupan mereka.

Mampu berkomunikasi dan bersosial dengan manusia berbilang kaum, bangsa dan agama serta mengelakkan perpecahan dan permusuhan bakal menjadi kekuatan terpenting kearah perpaduan dan menuju nilai kemerdekaan yang sebenar.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nor Khairiah

Pemegang Diploma jurusan Fashion on Art&Design Department dan sekarang bekerja dalam bidang yang sama. Suka membaca, menulis dan melancong. Pernah beberapa kali memenangi pertandingan menulis cerpen dan novel. Merupakan team leader facebook page Jodoh itu Rahsia Allah Official.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami