Seperti kita sedia maklum, Hari Arafah adalah hari ke-9 dalam bulan Zulhijjah. Ia merupakan satu daripada hari yang mendapat kemuliaan dari Allah S.W.T.
Persoalannya, mengapa hari tersebut dimuliakan? Apakah yang menarik pada hari tersebut? Berikut disenaraikan;
Tahukah kita, umat Islam yang melaksanakan ibadah haji di Mekah itu hanya akan sah hajinya jika berwukuf di Arafah. Hal ini sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
“Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah.”
Ini bermaksud, wukuf di Arafah merupakan salah satu rukun tertentu yang wajib dilaksanakan oleh para Jemaah Haji. Tanpa wukuf, hajinya tidak sah.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
Hari Allah S.W.T membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka ialah pada hari Arafah dan sesungguhnya, rahmat dan anugerah Allah menghampiri mereka. Kemudian, Allah S.W.T menyatakan kebanggaan-Nya kepada para malaikat kerana ramainya mereka yang berwukuf di Arafah, lalu berfirman, ‘Lihatlah hamba-hambaKu yang telah datang kepada-Ku dengan keadaan kusut masai dan berdebu’.”Hadis Riwayat Muslim
Ketika berada di Arafah pada hari Jumaat, Rasulullah S.A.W telah berkhutbah kepada khalayak sepertimana yang terkandung di dalam Al Quran yang bermaksud;
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu.”Surah al-Maidah: 3
Bagi menyempurnakan ibadah haji, semua jemaah wajib melaksanakan ibadah wukuf di salah satu tempat yang dinamakan sebagai ‘Padang Arafah’. Tidak sah ibadah haji seseorang itu tanpa melaksanakan rukun ini.
Di sinilah, manusia akan berkumpul dari segala pelusok dan ceruk rantau tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit. Juga, saling berkenalan antara satu sama lain.
Tahukah kita, berada di Padang Arafah dalam suasana yang panas terik dan bahang matahari memberikan kepada kita pengajaran juga iktibar akan gambaran pada masa akan datang, iaitu tatkala manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar suatu hari nanti.
Selain perkara di atas, Arafah yang menjadi tempat wukuf jemaah haji ketika ini juga menjadi tempat titik pertemuan antara Nabi Adam A.S dan Hawa setelah mereka dikeluarkan dari syurga.
Perjalanan dari Mekah menuju ke Arafah pula diibaratkan seperti waktu penyerahan diri kepada Allah S.W.T.
Di situlah, umat manusia mengambil peluang dan ruang yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T seterusnya, mengharapkan keredaan dari-Nya. Wallahua’lam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.