Ibadah

Kesucian Dalam Perlaksanaan Ibadah Korban

Oleh Natirah Azira  •  26 Aug 2018  •  4 min baca

Beberapa minggu lepas emak saya di kampung kerap kali mengomel, ada sekawanan lembu yang selalu masuk ke kawasan kebun belakang rumah. Yang dirisaunya bukan apa, cuma anak-anak pohon durian yang baru sahaja ditanam, takut habis dimakan.

Buah bacang yang luruh berhampiran juga jadi santapan. Kadang-kadang lembu-lembu tersebut tidak pulang, tidur di bawah pokok, penuh tahi dan kesan tapak kaki. Entah siapa tuannya, tidak peduli ke mana lembunya pergi dan apa yang lembu-lembunya makan.

Bila menjelang hari raya korban ada kemungkinan lembu-lembu tersebut akan dibuat korban. Saya terfikir, bagaimana dengan kebersihan pengurusannya? Tanaman milik orang kampung yang dimakan pula bagaimana?

Bagi yang menetap di kampung, saya kira situasi begini kerap terjadi. Lembu-lembu peliharaan orang kampung biasanya dilepas bebas.

Jika dibiarkan di kawasan milik sendiri atau di padang rumput itu tidak menjadi masalah, namun yang menjadi masalah adalah apabila dibiarkan berkeliaran ke kawasan tanaman milik orang kampung. Kemudian dijual pula untuk ibadah korban apabila menjelang Aidiladha.

Selain daripada mengetahui langkah-langkah sembelihan yang tepat, proses penternakan dan pengurusan lembu juga perlu dititik beratkan jauh lebih lama sebelum musim Aidiladha tiba.

Australian Meat Industry Employees’ Union (AMIEU) atau Kesatuan Pekerja Industri Daging Australia melaporkan bahawa pengurusan haiwan ternakan di Australia menetapkan syarat-syarat yang sangat ketat dalam urusan penyembelihan binatang sama ada untuk dibekalkan di dalam negara atau dieksport keluar.

Mereka akan memastikan binatang-binatang dilayan dengan sangat baik dan penyembelihan dilakukan tanpa mendatangkan kesakitan yang melampau atau binatang tercedera dalam proses penyembelihan tersebut.

Nah, lihatlah bagaimana mereka sangat menitik beratkan kebajikan haiwan. Seharusnya kita sebagai umat Islam lebih lagi perlu memperelokkan urusan binatang korban.

Pihak JAKIM telah menetapkan garis panduan berkenaan hal ini. Mari kita lihat apakah perkara-perkara sunat ketika berkorban;

#1- Menambat ternakan korban ketika Hari Nahar(’Idul Adha atau Hari Raya korban, iaitu pada 10 Zulhijjah)

#2- Memberi makanan kepada haiwan korban sebelum disembelih.

#3- Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti rumput atau tanaman di kawasan bukan milik tuan lembu tersebut.

#4- Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan korban supaya dapat merasai kepentingan korban.

#5- Melakukan penyembelihan korban dengan sendiri.

#6- Membaca Bismillah

#7- Berselawat ke atas Nabi S.A.W

#8- Penyembelih dan haiwan menghadap ke arah qiblat

#9- Memilih haiwan ternakan yang paling baik.

#10- Menunggu sehingga haiwan yang disembelih sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi atau benar-benar mati baharulah dilapah.

#11- Orang yang melakukan korban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia telah selesai berkorban.

Manakala urusan pengagihan daging korban pula perlulah dilakukan secara terancang supaya lebih mudah. Kadang-kadang sesetengah pihak terlalu mengejar kepada target bilangan orang yang hendak diagihkan sehingga daging menjadi terlalu sedikit apabila sampai ke tangan penerima.

Sebaiknya, peruntukkanlah daging kira-kira cukup sekali makan untuk ahli keluarga penerima. Tidak terlalu sedikit sehingga ahli keluarga tidak dapat merasa.

Berikut adalah garis panduan yang disediakan pula oleh pihak Jakim;

#1- Memastikan daging korban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan

#2- Menyediakan senarai penerima daging korban mengikut keutamaan

#3- Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka

#4- Mengagihkan daging korban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil

#5- Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging korban sebelum ia diagih ke kawasan pedalaman

#6- Mengagihkan daging korban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging korban tersebut.

Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah S.A.W;

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذِهِ الْأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَالصُّوفُ قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ مِنْ الصُّوفِ حَسَنَةٌ
”Apa itu korban?” Baginda bersabda, ”Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi, ”Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda,”Setiap helai rambut adalah pahala.” Katanya lagi, ”Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda, ”Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.” Riwayat Imam Ahmad (19283), al-Baihaqi (19489) di dalam Sunan al-Kubra, Ibnu Majah (3217)

Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang diperuntukkan oleh Allah buat mereka yang berkorban. Ia adalah sunat yang sangat dituntut pada musim perayaan Aidiladha.

Wang yang dibelanjakan tidak akan terasa besarnya jika kita telah awal lagi menyimpan dan merancang. Semoga pengorbanan dan segala persediaan yang telah kita lakukan sepanjang proses ibadah ini diterima Allah, Amin.

Rujukan;
https://www.sbs.com.au/news/how-cattle-are-slaughtered-in-australia
http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/125-garis-panduan-pelaksanaan-ibadah-korban


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami