Inspirasi

Aidiladha : Simbolik Sebuah Cinta

Oleh Rasyidah Rahmat  •  22 Aug 2018  •  4 min baca

“Sesungguhnya Kami telah memberikan nikmat yang banyak. Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” Surah al-Kautsar :1-2

Alhamdulillah rezeki tahun ini, Masjid Al-Ikram mendapat sumbangan dua puluh ekor lembu dari seorang usahawan kaya yang setiap tahun tidak terlepas daripada menginfakkan sebahagian dari hartanya.

Pengerusi masjid bersama ahli jawatankuasa yang lain sibuk menyusun program korban tahun ini. Belanjawan dan atur cara program disusun sebaiknya. Jawatankuasa juga sudah beberapa kali membuat pertemuan untuk membuat perbincangan.

Setiap tahun saya menyertai aktiviti korban di masjid ini, seronok melihat kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha di masjid.

Tambah pula apabila semua penduduk taman perumahan turun padang menyembelih lembu dan mengagih bahagian daging. Timbul satu persoalan di dalam fikiran saya, bagaimana Aidiladha mendidik jiwa masyarakat?

Ibadah Bermusim

Sirah telah mengisahkan ibadah yang pernah dilakukan Nabi Ibrahim A.S iaitu saat akan menyembelih puteranya, Nabi Ismail A.S sebelum diganti dengan seekor kibas oleh Allah S.W.T banyak menjadikan iktibar buat umat Islam.

Daripada kisah ini dapat dihayati bahawa ibadah korban merupakan satu ibadah berbentuk kepasrahan seorang hamba kepada Allah untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Subhanallah! Setiap kali saya teringat kisah hebat ini saya sangat mengagumi jiwa Nabi Ibrahim A.S (semoga Allah memberkati baginda) yang sangat taat dan berserah diri secara total kepada Allah S.W.T.

Tidak sesekali baginda mempersoalkan perintah Allah S.W.T dalam apa jua yang berlaku dalam kehidupannya sehinggakan terpaksa berkorban dengan menyembelih anakandanya sendiri.

Inilah simbolik cinta! Allah S.W.T menguji keimanan baginda yang pada akhirnya menjadikan baginda sangat mulia di sisi-Nya. Inilah simbolik pengorbanan yang sebenar.

Marilah sama-sama kita muhasabah kembali sejauh mana pengorbanan kita untuk-Nya agar ibadah korban tidak dihayati secara bermusim. Jadikanlah Hari Raya Aidiladha sebagai salah satu cara kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Selain itu, mewujudkan rasa syukur atas kenikmatan yang diberikan Allah S.W.T. Syukur dengan nikmat oksigen, nikmat iman dan Islam, nikmat hidup berkeluarga, nikmat berkasih sayang sesama Muslim dan paling utama nikmat hidup berTuhan.

Korban Mazmumah

Saya suka untuk mengulang kembali secebis nasihat yang berbunyi, jika kita masih belum mampu menyembelih haiwan korban pada tahun ini. Maka sembelihlah sifat sombong dalam diri kita yang selalu merasa benar, yang selalu merasa pandai, dan yang selalu merasa alim.

Jika kita belum diberi kesempatan melempar di jumrah tahun ini. Maka lemparlah sifat iri hati, dengki, amarah dan dendam dalam diri kita agar kita dapat memandang orang lain dengan penuh kasih sayang.

Jika kita belum dapat mengelilingi kaabah pada tahun ini. Maka kunjungilah tetangga-tetangga dan saudara-saudaramu dan sahabat-sahabatmu agar tali silaturrahim akan bertambah erat sesama hamba Allah yang beriman. Maha Suci Allah!

Binalah azam yang kuat dalam jiwa kita untuk memperbaiki diri dengan sungguh-sungguh. Tidak pernah hilang ruang dan peluang untuk menjadi yang lebih baik.

Malah orang yang bijaksana adalah orang yang sentiasa merebut peluang setiap hari untuk menjadi orang yang baru. Mujahadah untuk membuang segala mazmumah (sikap yang tidak baik) dalam diri kita sedikit demi sedikit.

Saya selalu berpesan pada diri saya bahawa untuk menjadi seorang Muslim yang baik bukanlah hanya diukur melalui ibadahnya sahaja.

Namun, yang perlu diutamakan adalah pada akhlak di jiwanya. Kerana Islam itu tertegak bermulanya daripada Islam yang tertegak dalam diri kita.

Aidiladha Mendidik Masyarakat

Saya berharap agar nilai ukhuwah antara masyarakat terus berkekalan walaupun bukan pada musim korban.

Ukhuwah islamiah seharusnya dikukuhkan agar ikatan persaudaraan antara Muslim lebih kuat. Kunci kepada sebuah negara adalah rakyat yang bersatu-padu.

Dapat kita lihat betapa besarnya hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban serta kesannya terhadap umat Islam.

Sebagaimana yang kita tahu perkataan korban itu sendiri membawa maksud dekat (Qaraba = korbanan). Kerana itu, tujuan korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. (Taqarrub ilallah)

Maka, hati yang dekat dengan Allah sahajalah yang memiliki hati yang penuh dengan kasih sayang. Inilah bermulanya titik kasih sayang dalam seorang individu Muslim dan mampu menyebarkan nilai ukhuwah di dalam masyarakat.

Simbolik Cinta Kepada Allah Dan Rasul

Selain menyatakan cinta melalui ungkapan doa serta berselawat, setiap Muslim juga menyatakan perasaan cintanya dengan menurut perintah, bertaqwa, mengikut sunnah dan menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup.

Sebagaimana daripada kisah Nabi Ibrahim A.S yang sanggup menurut perintah Allah S.W.T yang memerintahkan supaya Nabi Ismail A.S disembelih. Inilah simbolik cinta baginda terhadap Allah S.W.T. Hebatnya iman dan taqwa baginda. Subhanallah!

Jadi, apakah tanda kita benar-benar mencintai-Nya? Jika tidak mampu melakukan sesuatu yang besar, maka mulakanlah dengan perkara yang kecil.

Hayatilah makna di sebalik Aidiladha ini diraikan agar sambutannya penuh rasa taqwa dan ketaatan.

Berkorbanlah untuk meningkatkan keimanan moga usaha kita ini mendapat tempat di sisi-Nya dengan nilai pengorbanan yang terbaik. Insya-Allah.

Semoga ibadah korban yang kita usahakan diterima oleh Allah S.W.T. Amin Ya Rabb!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami