Gaya Hidup

Ketahui Adab Ketika Bergurau Senda

Oleh Zulfikar Egar  •  16 Aug 2018  •  5 min baca

Siapa dari kita yang tidak pernah bergurau? Sudah tentu setiap dari kita pernah bergurau. Kalau tidak dengan keluarga, pasti pernah bergurau dengan sahabat handai.

Bergurau senda dan berjenaka sememangnya mampu merapatkan hubungan silaturrahim dan menghiburkan jiwa.

Dalam hidup ini, kita amat senang bersama dengan orang yang suka berjenaka dan bergurau senda. Lebih-lebih lagi jika jenaka itu timbul hanya daripada gurauan yang bersahaja.

Gurauan bersahaja atau sebagainya dapat menggembirakan dan menggelikan hati orang lain. Sungguh tidak dinafikan. Jiwa yang tertekan kadang-kala boleh terhibur dengan gurauan bersahaja itu.

Tetapi jika gurauan itu melampaui batasnya seperti disulami dengan penipuan dan berlebihan sehingga ke tahap menghina, gurauan seperti itu boleh menimbulkan ketegangan apatah lagi pergaduhan.

Kadang-kala ada yang hendak supaya jenaka itu terbaik dan menyeronokkan gurauan itu, sehingga ada yang sanggup berbohong dengan menambah fakta palsu supaya orang yang mendengarnya seronok dan ketawa, lebih-lebih lagi ketika “membantai” rakan yang disakat.

Persoalannya, bolehkah kita berbohong tetapi dengan niat hanyalah untuk bergurau? Tidak perlu pergi jauh, lihatlah pada Sirah Rasulullah itu sendiri.

Baginda turut bergurau dengan anak kecil, bermain-main dengan mereka dan bersenda gurau dengan orang tua. Akan tetapi Rasulullah S.A.W tidak berkata kecuali hanya yang betul dan benar sahaja. Antaranya seperti kisah ini.

Diriwayatkan bahawa seorang wanita tua telah menghampiri Rasulullah S.A.W dan wanita tersebut telah berkata kepada Baginda;

“Ya Rasulullah! Doakanlah kepada Allah agar aku dimasukkan ke dalam syurga.”

Lalu dengan tegas Rasulullah S.A.W memberitahu;

“Wahai ummi fulan! Syurga tidak dimasuki oleh orang tua.” 

Bila mendengar jawapan Rasulullah itu, perempuan tua itu pun terus menangis teresak-esak. Lantas Rasulullah S.A.W menjelaskan kepadanya;

“Tidakkah kamu membaca satu firman Allah ini”

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.”Surah Al-Waqiah : 35 – 37

Di situ Nabi menjelaskan kepada para sahabatnya, bahawa sesiapa yang memasuki syurga tidak akan berkeadaan tua seperti itu. Semua penghuni syurga akan dijadikan muda-muda belaka.

Dalam suatu peristiwa yang lain, seorang wanita telah datang kepada Rasulullah S.A.W. Dia memberitahu Rasulullah S.A.W bahawa suaminya menjemput baginda untuk ke rumahnya. Baginda lalu bertanya;

“Siapa dia suamimu itu? Apakah kedua-dua matanya berwarna putih?”

Wanita itu menjawab dengan menafikan sekeras-kerasnya;

“Demi Allah! Mata suami saya tidak ada putih-putih.”

Kemudian baginda berkata lagi; 

“Bahkan di matanya ada putih-putih.”

 
Wanita itu tetap menidakkan dengan berkata;

“Demi Allah! Tidak.”

Walaupun mendengar penafian wanita tersebut, Nabi S.A.W tetap mengulanginya sekali lagi dengan berkata kepada wanita itu:

 “Semoga suamimu yang dalam matanya putih.” 

 
Wanita itu kembali ke rumahnya dan dia pun pergi membuka mata suaminya. Melihat keadaan itu suami wanita itu terasa pelik dengan sikap isterinya itu lalu bertanya dengan kehairanan, 

“Kenapa dengan kamu ini?”

Lalu isterinya itu menerangkan perbuatannya itu dan berkata;

“Rasululullah S.A.W memberitahu bahawa dalam matamu putih”

 
Lantas suaminya membalas dengan berkata;

“Bukankah semua mata ada warna putih?”

 
Sebenarnya Rasulullah S.A.W hanyalah bergurau sahaja dengan wanita tersebut. Apa yang dimaksudkan oleh baginda Nabi ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.

Dari kedua-dua kisah ini, dapat kita lihat pada mulanya wanita-wanita ini kebingungan tetapi selepas itu, baharulah mereka tahu maksud sebenar kata-kata Nabi dan memahami bahawa Rasulullah S.A.W hanya hendak bergurau dengan mereka sahaja.

Dan dari kisah ini juga, semua kita sedia maklum, Rasulullah S.A.W turut berjenaka dan bergurau senda dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Tetapi Rasulullah S.A.W. tidak pernah berbohong ketika bergurau. Walaupun jika di dalam situasi kita, mungkin ianya perkara kecil. Tetapi tidak bagi Nabi. Sebab apa? Kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud;

“Celakalah orang yang berkata kemudian berbohong supaya orang lain ketawa, maka celakalah baginya, maka celakalah baginya.”Riwayat Abu Daud

Itu jika bergurau yang disulami dengan pembohongan untuk orang lain ketawa. Lain pula jadinya jika kita bergurau dengan tujuan nak mengenakan orang lain.

Bila kita asyik nak bergurau dan ‘membahan’ bak kata orang sekarang. Kita akan terlampau seronok dalam bergurau sehingga perkataan yang keluar itu kemungkinan besar boleh menjadi cacian.

Bahkan adanya cemuhan seperti memperlekehkan orang lain, mengutuk dan merendah-rendahkan individu tertentu yang kita usik.

Ya, asalnya kita nak bergurau. Tetapi gurauan sedemikian hanya akan menyakiti hati dan perasaan orang lain tanpa kita sedar.

Dari asal kononnya ingin bergurau, tidak mustahil ia boleh bertukar menjadi ejekan yang mampu menguris hati dan perasaan apatah lagi maruah serta harga diri orang yang kita usik.

Akibat dari gurauan seperti itu akhirnya akan menimbulkan permusuhan, kecil hati, tuduh menuduh, perkataan kotor yang terpacul keluar dari mulut dan pelbagai lagi perkara negatif lain yang akan timbul.

Dan apa yang pasti, selalunya bila bergurau berlebihan ini, sudah tentu akan disambut dengan hilai ketawa yang berlebihan oleh kawan kita atau orang lain yang ada bersama.

Bukan tidak boleh ketawa. Tetapi bila kita terlampau banyak bergurau senda sehingga ketawa tanpa batasan sehingga terbahak-bahak dan ketawa berdekah-dekah, ia sedikit sebanyak boleh membentuk peribadi yang mampu menjatuhkan harga diri.

Cuba kita renungi dengan cermat peribadi Rasulullah SA.W ini ketika baginda bersama dengan para sahabatnya.

Diriwiyatkan bahawa Nabi S.A.W duduk dalam majlis bersama para sahabatnya. Mereka menceritakan sesuatu yang lucu dan Rasulullah S.A.W hanya tersenyum sahaja. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:

“Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi

Ya, bergurau senda boleh membawa bahagia tetapi tidak kurang juga boleh membawa bencana, seperti yang disebut tadi.

Oleh itu berwaspadalah ketika bergurau senda supaya tidak berlebihan dan melampaui batas.

Bersederhanalah dalam setiap hal termasuklah ketika bergurau dan itu lebih baik. Berpada-padalah dalam bergurau. Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami