Oleh Baha'uddin Hamizan • 6 Jul 2018 • 7 min baca
Jika kita sering meneliti hubungan cinta Rasulullah daripada beberapa hadis yang ada, pastinya kita temui betapa cinta ini adalah salah satu bentuk rezeki kurniaan Tuhan.
Seperti mana hadis apabila Rasulullah S.A.W berkata kepada isterinya, Aisyah, berkenaan Khadijah, isteri pertama baginda, yang sangat disayanginya.
إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
“Aku telah dikurniakan rezeki cinta”Riwayat Muslim
Dari itu kita boleh memahami bahawa cinta ini adalah rezeki yang boleh kita usahakan seperti mana rezeki-rezeki lain seperti kesihatan, kepandaian, wang duitan, pengaruh sosial, dan macam-macam lagi.
Dalam masa yang sama, kita mengimani bahawa adanya penentuan dari Allah bagaimana Dia mahu mengaturkan rezeki kepada siapa, pada bila masa dan beberapa persoalan lain.
Penulisan ini cuba merungkaikan beberapa konsep dan persoalan dalam percintaan yang mungkin ada antara pembaca cuba memahaminya dalam menelusuri kehidupan ini.
Berbalik kepada hadis yang dikongsikan tadi, kita semua bersetuju bahawa sememangnya cinta itu adalah rezeki.
Secara peribadi, saya tertarik untuk nyatakan bahawa tanda kita cintakan seseorang adalah dengan adanya usaha dalam perhubungan tersebut. Rezeki itu bukanlah datang secara tiba-tiba dan tanpa ada sebarang bentuk usaha.
Ya, ada juga dalam beberapa situasi yang kita didatangi rezeki yang tidak disangka-sangka, namun itu adalah atas budi bicara ketentuan Allah.
Namun, keadaan umumnya, kita dianjurkan oleh Allah untuk berusaha mendapatkan rezeki dari-Nya seperti mana yang telah diajarkan kepada ibu kepada Nabi Isa, Maryam.
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”Surah Maryam: 25
Ayat tersebut menerangkan meskipun Maryam adalah insan yang berada di kedudukan mulia, Allah tetap menyuruhnya berusaha mendapatkan rezeki makanan, bukannya jatuh dari langit atau muncul secara tiba-tiba di tepi.
Dalam hubungan cinta, usaha perlu lahir dari kedua belah pihak untuk menjayakan sebuah perhubungan. Usaha boleh jadi dalam bentuk bantuan wang, tenaga keringat, masa kualiti, sandaran emosi dan teman perbincangan intelektual.
Terdapat ungkapan Inggeris menyebut;
“It takes two to tango”
Hubungan hanya akan berjaya apabila kedua-duanya memainkan peranan.
Adalah menjadi sesuatu kerisauan apabila cinta itu dijadikan alasan untuk mengeksploitasi seseorang, dengan idea bahawa kita perlu usaha.
Trend bercinta dalam kalangan orang muda bukanlah sesuatu yang buruk tetapi betapa banyaknya berlaku situasi-situasi yang membazirkan masa dan perhatian mereka terhadap hal ehwal percintaan yang tidak matang.
Apabila anak muda begitu asyik dengan budaya berpasangan dalam kehidupan harian mereka, masyarakat seharusnya mengambil langkah untuk mengawalnya.
Sepatutnya anak muda sibuk usaha dan berfikir tentang kebajikan masyarakat, hal ehwal subjek pelajaran, aktiviti membina peribadi, dan perancangan kewangan sebagai contoh.
Tetapi apa yang berlaku, masing-masing sibuk dengan orang ini single atau tidak, orang itu baru putus dengan pasangannya, orang sana curang dengan kekasih, dan orang situ kita boleh try.
Dalam kebanyakan budaya, pemberian dan penerimaan dalam hubungan cinta adalah berdasarkan stereotaip jantina. Kebiasaannya, orang lelaki dianggap perlu memberi terlebih dahulu berbanding wanita.
Memberi dalam konteks ini ialah perbuatan dalam menjayakan sesebuah hubungan. Contoh yang mudah ialah memulakan langkah seperti mendahulukan bayaran jika keluar makan bersama dan menelefon atau mesej terlebih dahulu.
Ada yang mengaitkan hal ini dengan psikologi manusia sejak zaman dahulu yang mana orang lelaki menjadi pemburu untuk mencari makanan manakala wanita menunggu di rumah bagi menyediakan hidangan, sebagaimana dikemukakan oleh Helen Stancey daripada Hammersmith and West London College.
Manakala di dalam masyarakat Melayu pula, terdapat istilah ‘perigi mencari timba’ yang bermaksud wanita terlebih dahulu memulakan langkah dalam hubungan percintaan.
Di dalam Sahih Bukhari terdapat kisah seorang wanita yang menawarkan dirinya kepada Rasulullah. Anak perempuan sahabat Rasulullah S.A.W, Anas, ketika itu mengeluarkan kata-kata yang bersifat gender stereotype apabila melihat situasi itu namun disanggah oleh Anas sendiri.
هِيَ خَيْرٌ مِنْكِ رَغِبَتْ فِي النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَرَضَتْ عَلَيْهِ نَفْسَهَا
“Wanita itu lebih baik daripada kamu, sebab dia suka pada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, hingga dia menghibahkan dirinya kepada baginda”Riwayat Bukhari
Di dalam periwayatan yang lain, seorang sahabat lain meminta izin kepada Rasulullah untuk menikahi wanita tersebut apabila melihat Nabi hanya diam tidak memberi jawapan. Rasulullah pun membenarkan dengan syarat lelaki itu mempunyai sesuatu untuk dijadikan mahar kepada wanita tersebut meskipun dengan hafalan al-Quran.
Justeru di dalam Islam kita diajar bahawa tiada istilah ‘perigi mencari timba’ sebenarnya. Kerana apa yang penting ialah niat kita sendiri.
Jika niat hanyalah sekadar untuk bersuka-suka, lebih baik lupakan dahulu impian untuk mendirikan rumah tangga kerana dikhuatiri kita hanyalah terjebak dengan romanticising.
Istilah tersebut bermaksud kita hanya melihat sesuatu perkara berdasarkan sudut yang sempit atau idea luarannya sahaja. Contoh mudah untuk difahami ialah niat berkahwin untuk punyai orang yang akan jaga makan minum kita, kemaskan rumah kita dan jaga anak-anak kita.
Kedengaran sungguh manis tetapi sangat bersifat ke’tuan’an. Lebih baik upah sahaja orang gaji jika itu adalah impian kita untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, cinta adalah satu bentuk perasaan yang dinilai dengan manifestasi perbuatan. Apabila benar cinta, kita tidaklah berapa kisah untuk memberikan yang terbaik kepada seseorang yang kita kasihi itu.
Malah, wujud naratif yang sanggup berkorban jiwa raga semata-mata demi cinta. Ajaibnya kuasa cinta sehingga mampu membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak disukai namun bertukar menjadi suka dek kerana orang lain.
Mudah-mudahan cinta kita membuatkan kita memberi kebaikan-kebaikan kepada orang lain.
Pepatah Arab ada menyatakan;
حُبُّكَ الشَّيْءَ يُعْمِي وَيُصِمُّ
Cintamu kepada sesuatu, menjadikanmu buta dan tuli
Begitu juga salah satu lirik di dalam lagu Elvis Presley yang menyatakan;
“Wise man say only fools rush in, but I can’t help falling in love with you”
Umum mengetahui bahawa cinta itu ibarat ubat yang boleh memberi mujarab dan racun yang boleh memberi derita. Sehinggakan terdapat satu kata-kata yang disandarkan kepada Plato, ahli falsafah terkenal, bahawa;
“At the touch of a love, everyone becomes a poet”
Begitulah sedikit sebanyak kita mengerti tentang cinta. Persoalan cinta yang mendebarkan jiwa, menggusarkan hati dan menenangkan perasaan telah lama dibahaskan oleh para ulama’ dan ahli falsafah sejak dahulu kala lagi.
لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ
“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah”Riwayat Ibnu Majah
Islam tidak melarang kita bercinta, bahkan memberikan penyelesaian nikah. Tidak ada jalan terbaik selain nikah bagi dua orang yang saling bercinta.
Begitu pun solusi yang diberikan dalam Islam, bukanlah bermaksud kita memilih sebarangan orang kerana kelak akan merugikan diri jika tidak berhati-hati memilih pasangan hidup.
Ramai dalam kalangan kita yang sedia maklum dengan nasihat Rasulullah S.A.W supaya memilih wanita yang baik agamanya. Dalam membuat pilihan iperlulah kita bersikap dengan rasional sehabis baik untuk mencorak perjalanan kita pada masa hadapan.
Ini kerana begitu banyak berlaku kes-kes perceraian mengikut statistik Jabatan Agama sehingga merisaukan pihak berkuasa.
Yang bercerai pun pada awalnya masing-masing saling mencintai satu sama lain, namun cinta semata-mata tanpa ada bimbingan yang betul bakal menatijahkan perpisahan yang menyakitkan kedua belah pihak dan malangnya jika terdapat anak-anak yang turut sama terkesan.
إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ
“Sesungguhnya dalam dirimu ada dua hal yang Allah sukai, sabar dan perlahan-lahan”Riwayat Tirmizi
Hidup kita adalah cantuman kepada pilihan-pilihan yang kita tentukan sendiri. Islam mengajar kita untuk tidak terburu-buru dalam bercinta. Kerana perkenalan dua orang dari dua latar belakang yang berbeza sangatlah perlukan masa dan pertimbangan yang waras.
Orang kita kata “benda baik, mestilah dipercepatkan”. Dalam satu sudut, kenyataan itu benar. Namun, dari sudut yang lain kita haruslah melihat dari pelbagai faktor realiti.
Sebagai contoh yang mudah difahami ialah status kewangan. Adakah sudah punya pendapatan yang boleh menanggung keluarga dan adakah boleh hidup berdua sendiri tanpa mengharap bantuan orang lain.
Justeru, adalah baik bagi kedua-dua individu membina karier dan memantapkan kewangan peribadi dalam masa yang sama saling mengenali hati budi masing-masing.
Saya teringat kepada satu buku yang sedang dibaca bertajuk L’art de la Simplicite, karya seorang warga Perancis yang menetap lama di Jepun.
Buku tersebut merungkaikan pandangan-pandangan penulis berdasarkan konsep minimalis, satu bentuk gaya hidup yang mengutamakan perkara-perkara perlu sahaja. Orang kita sebut sebagai “hidup tanpa ropol”.
Saya tertarik akan konsep ini dengan kaitan cinta adalah kerana bersederhana dalam cinta itu perlu. Usah terikut-ikut dengan gaya percintaan orang lain yang dipaparkan di dalam media sosial mahupun skrip drama televisyen.
Barangkali kita kerap melihat pada kaca kerana mengharapkan permata, sedangkan di tangan kita adalah permata itu sendiri.
Mudah-mudahan para pembaca beroleh manfaat daripada tulisan ringkas ini.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.