Di dalam Sahih al-Bukhari, terdapat hadis yang menceritakan kisah cinta yang terkandas.
Kisah cinta Mughits terhadap isterinya Barirah.
Mughits terlalu menyintai dan tergila-gilakan bekas isterinya Barirah, namun bekas isterinya itu tidak mahu menerima cintanya.
Mughits adalah seorang hamba dan juga sahabat Rasulullah S.A.W. Manakala Barirah pula dahulunya juga merupakan seorang hamba tetapi kemudiannya dimerdekakan oleh Saidina ‘Aisyah R.A dengan membeli Barirah dari pemilik sebelumnya.
Semasa hendak memerdekakan Barirah, Rasulullah S.A.W dan Saidina ‘Aisyah R.A sebagai tuan kepada Barirah memberi pilihan kepadanya sama ada dia ingin kekal bersama suaminya Mughits ataupun tidak.
Namun Barirah memilih untuk tidak mahu kekal bersama Mughits, yang masih lagi berstatus hamba dan ini menyebabkan hati Mughits menjadi pilu. Ibnu ‘Abbas R.A pernah berkata;
“Sesungguhnya suami Barirah adalah seorang hamba yang bernama Mughits. Aku ingat bagaimana Mughits mengikuti Barirah ke mana dia pergi sambil menangis (kerana mengharapkan cinta Barirah). Air matanya mengalir membasahi janggutnya”
Ini semua dilakukannya agar Barirah menerima cintanya kembali. Namun Barirah tetap tidak mahu kembali kepadanya. Dalam riwayat lain, Ibnu ‘Abbas R.A mengatakan;
“Itu adalah Mughits, hamba milik bani fulan, dia adalah suami dari Barirah. Mughits terus mengikuti Barirah di jalan-jalan kota Madinah, sambil mengharap belas kasihan dari Barirah.”
Berita ini sampai kepada Nabi S.A.W, lalu baginda datang berjumpa dengan Barirah seraya berkata kepadanya;
“Andai engkau mahu kembali kepada Mughits?”
Barirah menjawab kembali;
“Wahai Rasulullah, apakah engkau memerintahkanku?”
Nabi S.A.W membalasnya;
“Aku hanya ingin menjadi perantara (syafi’).”
Lantas Barirah mengatakan;
“Aku sudah tidak lagi memerlukannya”
Bahkan dalam riwayat lain Barirah juga ada mengatakan dengan tegasnya;
“Walau Mughits memberiku sekian banyak harta aku tidak mahu menjadi isterinya”.
Barirah memilih untuk tidak lagi bersama suaminya. Betapa teguh pendirian Barirah untuk tidak menerima Mughits dalam hidupnya.
Nabi S.A.W berkata kepada ayah saudaranya, Abbas bin Abdul Mutalib R.A;
“Wahai Abbas, tidakkah engkau hairan betapa besar rasa cinta Mughits kepada Barirah namun betapa besar pula kebencian Barirah kepada Mughits.”
Ternyata baginda Nabi Muhammad S.A.W, sama sekali tidak marah kepada Barirah. Persoalannya, mengapa Barirah menolak cinta Mughits?
Ini kerana mereka berdua tidak sekufu (sama taraf). Barirah orang merdeka, manakala Mughits pula seorang hamba. Barirah mempunyai hak antara memilih untuk kekal bersama Mughits ataupun berpisah dengan Mughits.
Cinta tidak boleh dipaksa, kerana cinta perlu terbit dari hati yang tulus murni. Manusia berhak untuk memilih kebahagiaannya tanpa melanggar syariat.
Inilah kisah cinta yang tidak selalunya berakhir dengan keindahan bahkan kadang kala ianya seperti bertepuk sebelah tangan.
Contohnya seperti kisah ini. Sebesar mana cinta Mughits pun, ia tidak mampu mengembalikan bekas isterinya kepangkuannya.
Sesungguhnya Cinta Itu Tidak Semestinya Memiliki.
Rujukan;
Kisah ini dinukil dalam Sahih Al Bukhari yang berkaitan dengan Bab tentang Talaq (cerai).

