Oleh Tim Tazkirah • 26 Jun 2018 • 4 min baca
Setiap tahun, komuniti Muslim Amerika Utara mengakhiri Ramadan dengan debaran. Dan ketidakpastian. Meskipun kebanyakan pihak menetapkan tarikh Aidil Fitri (akhir Ramadan) menggunakan pengiraan astronomi, yang lain masih sabar menunggu kehadiran bulan sabit muda pada malam ke-29 Ramadan. Kelibat bulan baru ini menandakan Aidil Fitri jatuh pada keesokan harinya; ketiadaannya pula bermakna bertambah satu hari lagi untuk berpuasa.
Ketidakpastian pada minggu lalu seolah terpadam dengan ketidakpastian sama ada Mohamed Salah, yang sedang pulih dari kecederaan, akan muncul dalam pasukan Piala Dunia Mesir keesokan paginya. Bintang bola sepak Muslim berprinsip ini sedang mencipta lensa baru bagaimana dunia melihat agama kita, bukan lagi terikat dengan ekstremisme dan keganasan. Kecemerlangan sukan telah diseimbangkan dengan tuntutan agama. Walau bagaimanapun, masih timbul persoalan: Adakah orang Islam perlu menjadi luar biasa untuk menentang semua pemikiran streotaip ini?
Saya bertanya kepada diri sendiri soalan ini pada Khamis lepas, ketika orang Islam tertanya-tanya adakah bintang sepak bola kita akan muncul, sama seperti bulan sabit yang telah kelihatan lebih awal.
Pada pagi Jumaat, konflik mula muncul di pantai timur Amerika Utara semasa persiapan dibuat untuk solat Aidil Fitri (atau ‘salah’). Perlawanan antara Mesir-Uruguay telah bertindan dengan waktu solat. Sesetengah dari mereka bergurau: Patutkah saya menunaikan salah Eid atau melihat Mohamed Salah? Zikir dan bacaan sebelum solat kedengaran agak perlahan tahun ini, kerana ramai yang memeriksa telefon bimbit untuk melihat skor. Ditutup sementara semasa solat, telefon bimbit mula dibuka dengan segera selepas itu dengan harapan peminat yang turut berdoa, agar hero mereka akan bermain sebagai pemain gantian nanti.
Impak Salah kepada ibadah umat Islam telah bermula lebih awal lagi pada bulan Ramadan. Sewaktu Liverpool mara ke akhir kejuaraan UEFA menentang Real Madrid, dilaporkan bahawa Salah telah berpuasa semasa latihan. Itu bermakna tiada sebarang cecair (tiada minuman) atau makanan dari subuh sehingga terbenam matahari. Sementara peminat Liverpool meragui kecergasan Salah untuk perlawanan besar ini, umat Islam mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau adalah atlet berprofil tinggi, bersiap untuk pertandingan terbesar dalam kerjayanya, tanpa mengorbankan kepercayaannya. Ketaatan dan disiplinnya sangat menginspirasikan. Anak perempuan saya sendiri, seorang pemain bola sepak yang berdaya saing, menemui motivasi tambahan untuk berpuasa semasa latihannya – melalui contoh yang diberikan oleh Salah.
Impian Piala UEFA telah hancur apabila beliau cedera dijatuhkan oleh pemain Real Madrid, Sergio Ramos. Air mata yang mengalir di wajah Salah telah menyebabkan tsunami kesedihan dan kemarahan di dunia Twitter. Ramos telah berjaya melakukan misi mustahil untuk menyatukan umat Islam. Sesetengah orang mula menghadiri solat malam Ramadan buat kali pertama- hanya untuk berdoa agar bahu Salah sembuh dengan cepat untuk bermain di Piala Dunia.
Populariti Salah turut melanda peminat bola sepak di seluruh dunia untuk musim pecah rekodnya bersama Liverpool FC. Beliau telah memenangi kedua-dua anugerah Pemain Liga Perdana Terbaik dan Kasut Emas Liga Perdana. Gaya permainannya yang menarik, dengan gaya ceria, mengingatkan kita dengan pemain hebat Brazil Ronaldinho. Terdapat sebuah video di mana peminat Liverpool yang sedang memegang bir mengatakan: “Kalau dia menjaring beberapa gol lagi, maka saya akan menjadi Muslim juga. Jika dia cukup baik untuk anda, dia juga cukup baik untuk saya; jika dia duduk di masjid, itulah tempat yang saya mahu pergi!”.
Satu refleksi semulajadi kepercayaan Salah adalah cara beliau meraikan setiap jaringan. Selepas berkongsi saat gembira dengan rakan sepasukan dan peminat, beliau menjarakkan diri dan khusyuk bersujud dengan penuh rendah hati. Sujud syukur boleh dilakukan oleh seorang Muslim untuk menyatakan rasa syukur kepada Tuhan. Menurut ajaran Islam, seseorang paling dekat dengan Tuhan sewaktu sujud. Ia juga merupakan waktu yang jarang berlaku apabila jantung seseorang secara fizikal berada lebih tinggi daripada kepala.
Melihat Encik Salah sujud selepas setiap jaringan gol adalah mendamaikan, kerana beliau tidak menyedari apa-apa persepsi negatif terhadap perbuatannya. Beliau adalah Muslim dan berbangga, tanpa menghadapi masalah tentangnya. Beliau secara diam-diam mengunjungi masjid Liverpool tempatan untuk beribadah, yang telah menyebabkan peningkatan kehadiran dan terwujudnya liga bola sepak antara agama. Beliau menjauhkan diri dari alkohol dan sering menderma kepada mereka yang kurang bernasib baik di wilayah asalnya Tanta di Mesir.
Beliau adalah contoh untuk belia Islam, dengan menunjukkan bahawa kerja keras yang digabungkan dengan mematuhi asas agama dapat membawa kepada kejayaan dan penghormatan. Mesejnya mudah: Bangga dengan siapa diri anda, layan orang lain dengan baik dan memberi kembali kepada komuniti anda. Beliau juga mengubah persepsi Islam di Eropah untuk menjadi lebih baik dengan keperibadiannya yang merendah diri dan menjadi atlit yang cemerlang.
Tetapi adakah ini bermakna umat Islam mesti memenangi Kasut Emas, hadiah Nobel dan pingat Olimpik untuk dihormati? Adakah pencapaian luar biasa satu-satunya cara untuk menghentikan pelampau stereotaip? Bolehkah umat Islam hanya menjadi biasa-biasa sahaja dan diterima untuk siapa mereka?
Walaupun tidak ada jawapan yang mudah, namun contoh yang diberi oleh Mo Salah yang sentiasa rendah hati, bersyukur, membantu orang lain dan peribadi yang cemerlang memberikan kita semua peta perjalanan yang berbaloi untuk diikuti.
Penulis: Sheema Khan / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: The Globe And Mail
Kredit Gambar: Christophe Simon
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.