Gaya Hidup

Kisah Teladan: Akhlak Dan Adab Menegur Seorang Guru

Oleh Rizal Alhaj  •  12 Jun 2018  •  2 min baca

Ini adalah kisah teladan teguran rahsia seorang guru. Harun Ibn ‘ Abdillah, seorang ulama Ahli Hadith yang juga pedagang kain di Kota Baghdad bercerita;

Suatu hari saat larut malam, pintu rumahku di ketuk. Aku bertanya;

“Siapa ?”

Jawab orang di luar perlahan;

“Ahmad”

Tanyaku kehairanan;

“Ahmad yang mana?”

Jawabnya perlahan;

“Ibn Hanbal”

Kataku di dalam hati;

“Subhanallah.. itu guruku”

Lalu aku pun membuka pintu. Kupersilakan beliau masuk dan kulihat beliau berjalan terjingkit-jingkit, seolah-olah tidak ingin langkahnya didengari.

Saat kupersilakan beliau untuk duduk, beliau amat berhati-hati agar kerusinya tidak mengeluarkan bunyi. Aku bertanya;

“Wahai guru, urusan penting apakah sehingga dirimu mendatangiku selarut ini?”

Guruku menjawab;

“Maafkan aku ya Harun. Aku tahu biasanya pada waktu ini engkau masih terjaga meneliti Hadith. Maka aku pun memberanikan diri mendatangimu. Ada perkara yang menyentuh hatiku dari siang tadi”

Aku terkejut.

“Sejak siang?”

Tanya aku kehairanan;

“Apakah itu wahai guruku ?”

Suara Ahmad Ibn Hanbal sangat perlahan seakan berbisik.

“Begini. Siang tadi, aku lalu berhampiran tempat mengajarmu. Waktu kamu sedang mengajar murid-muridmu, aku menyaksikan murid-muridmu terkena terik sinar mentari saat mencatat Hadith-Hadith sementara dirimu bernaung di bawah bayangan pepohonan. Lain kali, janganlah seperti itu wahai Harun. Duduklah dalam keadaan yang sama sebagaimana murid-muridmu duduk”

Aku terperanjat dan tidak mampu berkata apa-apa. Setelah itu beliau berbisik lagi meminta izin untuk pulang dan melangkah kaki terjingkit-jingkit serta menutup pintu dengan amat berhati-hati.

Masya Allah… Inilah guruku Ahmad Ibn Hanbal. Begitu mulia ahlak beliau dalam menyampaikan nasihat.

Beliau boleh sahaja membetulkan kesalahanku saat melintasi tempat mengajarku tetapi perkara tersebut tidak dilakukannya. Demi menjaga darjatku di hadapan murid-muridku.

Beliau juga sanggup menunggu hingga larut malam agar tidak ada orang lain yang mengetahui kesalahanku.

Bahkan beliau berbicara dengan suara yang sangat perlahan dan berjingkit saat berjalan agar tidak ada anggota keluargaku yang terjaga demi menjaga darjatku sebagai imam yang menjadi teladan buat keluargaku.

Teringat perkataan Imam Asy Syafi’e :

“Nasihati aku saat sendiri, jangan di saat ramai dan banyak saksi sebab nasihat di tengah khalayak, terasa hinaan yang membuat hatiku pedih dan koyak. Maka maafkan jika hatiku memberontak tidak dapat menerima”

Mudah-mudahan ianya bermanfaat buat kita semua.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rizal Alhaj

Berasal dari Selangor

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami