Inspirasi

5 Tips Kelihatan Sentiasa Ceria Buat Anda Para Guru

Oleh Siti Asmaq Muhammad  •  5 May 2018  •  4 min baca

Menjadi seorang pendidik itu istimewa kerana anda merupakan insan yang terpilih untuk menjadi seorang guru yang bertanggungjawab demi mendidik anak bangsa dengan harapan suatu hari nanti mereka akan bergelar manusia yang berjaya.

Namun, dalam masa anda semua mengejar kejayaan, sering kali anda terlupa tentang diri anda.

Anda sentiasa memikirkan orang lain, anda sentiasa memikirkan tekanan yang diberikan oleh beberapa pihak sehinggakan anda mengabaikan amanah Allah pada anda iaitu diri anda sendiri.

Anda seakan terlupa cara untuk senyum, anda seakan terlupa untuk membawa kemesraan, anda seakan terlupa membawa ketenangan kepada sang murid. Wahai guru, bertabahlah kerana anda ini insan terpilih.

Mari perbetulkan cara duduk anda, struktur badan anda, perbetulkan tali leher atau perbetulkan tudung anda dan hayatilah pesan nabi ini. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Sedekah yang paling baik ialah seorang muslim yang belajar kemudian mengajarkan kepada muslim yang lain.’’ Riwayat Ibnu Majah

Semoga pesanan nabi ini membawa ketenangan dalam diri anda semua. Jadi mulai dari detik dan saat ini marilah anda kembali tersenyum dan meraih kegembiraan dengan mempraktikkan tip ini.

Tip ini saya perolehi daripada buku Dilema Seorang Guru hasil tulisan Saudara Naffi Mat. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

#1 – Sentiasa Berbicara Pada Diri

Perkara pertama yang anda boleh buat ialah berbicara dengan diri sendiri. Saat berbicara dengan diri itu bisikkanlah kata yang positif dan kata-kata semangat kepada diri kerana semua itu akan tinggal di dalam hati.

Saat berbicara terus tinggalkan perkataan yang negatif kerana perkataan negatif ini akan menambahkan kecelaruan dalam emosi. Perkataan negatif ini akan menganggu aktiviti seharian anda.

#2 – Menjadi Orang Yang Pertama Senyum

Dalam perjalanan ke sekolah, anda akan jumpa pelbagai orang dan pada saat itu jadilah orang yang pertama senyum dan orang yang pertama menghulurkan salam. Al-Hasan meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sebahagian daripada sedekah ialah mengucapkan salam kepada sesiapa di hadapanmu dengan wajah yang manis (tersenyum)’’ Riwayat Ibn Abu Dunya

Senyum itu bukan susah, senyum itu juga tidak perlu dibayar. Jadi, apa salahnya bermula dari saat dan detik ini anda memulakan senyum dahulu.

Apabila anda tersenyum indah, ianya membolehkan anda berada dalam emosi yang baik.

#3 – Mendengar Lagu Kegemaran

Setiap daripada anda mempunyai lagu kegemaran. Jadi dalam perjalanan untuk menuju ke tempat kerja itu dengarlah hiburan kesukaan anda.

Kalau anda suka lagu nasyid, anda boleh mendengar lagu nasyid. Kalau anda suka dengan ceramah anda boleh mendengar ceramah. Bahkan ayat suci Al Quran juga elok didengari.

Jadi, ini bergantung kepada pilihan anda. Buatlah pilihan dan InsyaAllah bibir anda akan sentiasa tersenyum indah.

Kerana dengan mendengar lagu juga anda akan mendapatkan emosi yang stabil dan akan memudahkan anda melalui hari hari di sekolah.

#4 – Lakukan Kebaikan

Mulakan awal pagi anda dengan melakukan kebaikan. Ini yang kebanyakan dari anda terlepas pandang.

Bila pagi sahaja masing masing mula kalut untuk sampai ke tempat kerja sehinggakan anda tidak mempedulikan orang lain.

Apa salahnya anda lebih prihatin, andai kata dalam perjalanan anda ke sekolah ada kereta yang mahu membelok, berilah peluang kepada orang tersebut.

Kerana di saat anda melihat orang itu mengangkat tangan dengan senyuman, anda akan merasakan yang anda ialah orang yang sangat gembira pada hari tersebut.

#5 – Memohon Doa Kepada Allah

Tips terakhir ini tidak boleh tinggal kerana yang memegang hati anda, yang mengetahui isi hati anda ialah Allah yang Maha Penyayang.

Jadi, berdoalah sentiasa pada Allah agar menganugerahkan hati yang baik kepada anda. Hati yang sentiasa memandang perkara kebaikan. Hati yang sentiasa mencari kebaikan.

InsyaAllah hati yang sentiasa memandang sesuatu perkara dengan kebaikan akan sentiasa gembira kerana ianya yakin setiap kesulitan yang berlaku akan membuahkan keindahan pada pengakhirannya nanti.

Jadi, kesimpulannya marilah bersama-sama kita praktikkan dan meraih kegembiran saat bersama dengan pelajar.

Saat bersama dengan mereka ialah saat yang sangat bermakna. Terasa pantas sahaja jam berlalu bila anda membawa emosi yang gembira bersama dengan mereka.

Ayuh muhasabah diri dan selalu ingatkan diri untuk sentiasa gembira kerana profession anda ini bukan memakan masa setahun atau dua tahun tetapi ianya akan memakan masa berpuluh-puluh tahun.

Masakan berpuluh puluh tahun itu anda mahu sentiasa ditemani dengan tekanan?

Tidak mahukan. Jom berubah menjadi orang yang lebih baik.

Semoga semuanya dipermudahkan oleh Allah kerana anda mahu jadi guru yang sebenar-benarnya guru yang sentiasa mendidik dan membimbing pelajar untuk berjaya dunia dan akhirat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Asmaq Muhammad

Anak kelahiran Kelantan. Seorang guru di Pulau Pinang, yang mengharapkan anak didiknya menjadi insan yang berjaya dan mengimpikan setiap dari anak didiknya menjadi ejen kebaikan untuk semua orang.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami