PANG!!!
Asma’ mengaduh dan anting-antingnya terjatuh. Asma’ tetap mengunci mulutnya, tidak akan memberitahu ke mana ayahnya, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq telah pergi.
Apatah lagi untuk memberitahu tentang lokasi persembunyian insan mulia, Muhammad bin Abdullah SAW.
Selepas para pembesar kafir Quraisy mendapati bahawa Ali bin Abi Talib yang tidur di katil Rasulullah SAW, mereka jadi bertambah gelisah.
Rasulullah SAW berjaya melepasi kawalan mereka tanpa mereka menyedarinya! Mesyuarat diadakan untuk mencari baginda dengan sahabat baik baginda iaitu Sayidina Abu Bakar.
Para pembesar Quraisy menawarkan hadiah kepada penjejak handalan untuk menjejaki Rasulullah SAW dan Abu Bakar.
Sementara itu, Abu Jahal telah pergi ke rumah Asma’ binti Abu Bakar untuk mencungkil rahsia tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakar.
Pintu diketuk dan selepas pintu dibuka, Abu Jahal bertanya kepada Asma’;
“Di mana Muhammad dan ayahmu?”
Dengan tegas wanita itu menjawab;
“Mengapa kamu bertanya kepada aku? Sejak bilakah seorang lelaki Arab memberitahu anaknya jika dia hendak pergi ke mana-mana? Lagipun bukankah dia selalu pergi berdagang ke sana sini tanpa memberitahuku?”
Darjah kemarahan di hati Abu Jahal meningkat demi mendengar jawapan itu. Dia mengulang pertanyaannya kepada Asma’.
Namun jawapan yang diterima masih sama, iaitu tidak tahu. Asma’ bertegas, sedangkan ayahnya tidak pernah memberitahu ke mana hendak pergi, apatah lagi Muhammad bin Abdullah yang bukan ayahnya. Sudah tentu dia tidak tahu.
Jawapan tegas Asma’ itu membuatkan tahap kemarahan Abu Jahal meningkat.
Tangannya terus naik menampar kepala Asma’, membuatkan anting-anting wanita itu terjatuh dan kepala wanita itu berdarah.
Selepas menampar Asma’, Abu Jahal terus meninggalkan rumah wanita itu dengan kemarahan menggunung. Sejarah mencatatkan Abu Jahal sebagai seorang yang hina kerana telah memukul seorang wanita merdeka.
Bukanlah cara orang Arab pada masa itu untuk melakukan sedemikian, dan Abu Jahal telah melampaui batas.
Asma’ pula telah disanjung sebagai wanita yang sanggup berkorban demi kemaslahatan Islam. Namanya pasti disebut-sebut dalam sejarah peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar.
Bukan itu sahaja, dia telah diberi gelaran yang mulia iaitu “Zatun Nithaqain” (wanita yang memiliki dua tali pinggang.)
Selepas keluar dari rumahnya, baginda SAW dan Abu Bakar tidak terus ke Madinah. Sebaliknya mereka bersembunyi di Gua Tsur.
Asma’ diberi tanggungjawab untuk menghantarkan makanan. Jarak dari rumah Asma’ ke Gua Tsur adalah tujuh kilometer pergi dan tujuh kilometer balik, menjadikannya 14 kilometer.
Perjalanan pula tidaklah mudah, perlu mendaki, menuruni lembah, debu padang pasir yang tidak menentu dan berbatuan di bawah sinar matahari.
Pada masa itu, Asma’ menyedari yang dia tidak ada tali pengikat yang cukup untuk mengangkut makanan.
Oleh yang demikian, dia telah membelah pengikat pinggangnya kepada dua. Satu sebagai pengikat pinggangnya dan satu untuk mengikat makanan.
Berkenaan peristiwa itu, apabila diketahui oleh Rasullulah SAW, baginda SAW telah berdoa.
Semoga Allah SWT menggantikan tali pinggang Asma’ dengan dua tali pinggang yang lebih baik dan indah di syurga. Subhana-Allah.
Asma’ binti Abu Bakar ialah kakak kepada Ummul Mukminin, Sayiditina Aisyah. Dia 13 tahun lebih tua daripada adiknya dan Asma’ merupakan wanita Muhajirin yang terakhir wafat.
Selain cantik seperti adiknya, Asma’ juga terkenal dengan kemurahan juga mempunyai pemikiran yang bijak dan berhikmah.
Pada suatu hari, datuk Asma’ datang menemuinya lalu merungut;
“Memang sudah kuduga, Abu Bakar telah menyebabkan kamu semua susah. Tentu seluruh hartanya telah dibawanya bersama.”
Kejadian ini berlaku selepas peristiwa Hijrah. Demi menenangkan hati datuknya (yang telah buta) itu, Asma’ telah membungkus beberapa ketul batu dalam sehelai kain lalu ditunjukkan kepada datuknya, dia berkata;
“Inilah yang ditinggalkan untuk kita.”
Jawab datuknya;
“Kalau begitu, tidak mengapalah,”
Dengan itu, tenanglah hati tua itu dan tenteramlah perasaannya, tidak lagi marah-marah dan syak-wasangka ataupun sedih terhadap Abu Bakar.
Sesungguhnya pada saat sukar, harta bukanlah keutamaan tetapi keselamatan. Lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mengembangkan agama Islam yang suci ini sendiri.
Seterusnya, marilah kita lihat lagi contoh sifat mulia yang ada pada diri Asma’. Wanita ini telah bertemu jodoh dengan Zubair, seorang lelaki yang tidak punya apa-apa kecuali seekor kuda.
Namun begitu Asma’ sangat taat kepada suaminya dan sangat mengutamakan reda suami terhadap dirinya.
Di saat kesukaran, Asma’ melakukan sedaya upaya untuk rumah tangganya. Pada saat rezekinya dimudahkan, dia menjadi seorang wanita yang amat dermawan. Malahan Asma’ rajin menasihati anak dan pembantunya tentang sedekah.
“Hendaklah kamu selalu membelanjakan harta di jalan Allah. Janganlah menunggu-nunggu lebihan harta daripada keperluan-keperluan kita (iaitu jika ada baki pada harta setelah dibelanjakan untuk keperluan rumah tangga, barulah baki itu disedekahkan.) Janganlah kamu berfikir tentang lebihan perbelanjaan itu. Jika kamu selalu menunggu-nunggu adanya baki, sedangkan keperluan kamu pula bertambah banyak, maka baki itu tidak akan mencukupi keperluan kamu sehingga kita semua tidak memiliki kesempatan untuk membelanjakannya di jalan Allah. Sebaliknya jika harta itu disumbangkan di jalan Allah, maka kamu tidak akan rugi selama-lamanya.”
Rujukan;
kisahhikmah.com
http://mselim3.blogspot.my/2014/01/tokoh-wanita-di-zaman-rasullulah-SAW.html
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.