“Si Meow” gelaran yang sinonim dengan haiwan comel, jinak dan manja. Kucing atau “Si Meow” merupakan haiwan peliharaan.
Ramai yang membelanya sehingga wujudnya pertandingan kucing. Pelbagai gaya, aksi dan perhiasan dikenakan kepada “Si Meow” bagi menambat hati sang juri. Nabi SAW bersada yang bermaksud;
“Kucing itu tidak najis. Ia adalah termasuk haiwan yang suka berkeliaran di rumah (haiwan peliharaan)” Riwayat At Tirmizi
Kisah yang ingin dikongsikan kali ini berkaitan dengan kucing. Ia kisah benar yang berlaku di sebuah taska. Pengalaman yang dialami oleh penulis sewaktu berpeluang bertugas di taska milik sahabat.
Penulis menyukai kanak-kanak dan dikatakan mempunyai “chemistry” kuat dengan insan fitrah ini. Maka taska dan tadika adalah syurga bagiku. Gelagat kanak-kanak amat mencuit hati.
Walaupun ada yang menyakitkan hati. Namun itulah hakikatnya, mereka masih dalam fasa mengenali dunia. Cuma sebagai orang dewasa kita sering mementingkan kesempurnaan hingga mengabaikan proses pembelajaran.
Taska yang menampung seramai 15 orang kanak-kanak dari bayi hingga 4 tahun ini meriah dengan hilai tawa dan jerit tangis, ia scenario biasa.
3 orang guru taska dan seorang pembantu taska yang bertugas di dapur, bekerjasama memastikan amanah disempurnakan sebaik mungkin.
Kasih sayang dicurah bagaikan anak sendiri. Terutama bagiku yang masih belum dikurniakan zuriat. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Dikelilingi malaikat-malaikat kecil ini menghilangkan sebentar duka di hati.
Anak-anak kecil ini dihantar ke taska seawal jam 6.30 pagi. Majoritinya masih memakai lampin pakai buang yang telah penuh dari semalam dan tahi mata melekat, ia normal.
Tugas guru memandikan setiap seorang. Namun ada segelintir anak kecil yang datang kemas bersiap dengan rambut tersisir rapi dan wangi. Bergantung kepada ibubapa masing-masing.
Semua diraikan sama rata. Lumrah setiap Isnin atau sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke taska, drama airmata lazimnya tidak dapat dielakkan. Ia sindrom biasa.
Namun ia agak berbeza saat kami menerima seorang pelajar lelaki baru berusia 4 tahun. Dia datang seawal 6.00 pagi di hari pertama. Berbaju tidur watak Disney dengan wajah tanpa ekspresi. Matanya merenung tepat ke mataku.
Namun renungannya kurasakan kosong. Tiada kesedihan mahupun keceriaan di wajahnya. Bibir mungilnya diketap. Ibunya berpesan agar anaknya diberikan makan cukup-cukup sebelum diambil pulang. Itu sahaja pesanan ringkas penaja setelah beg bekalan dihulurkan.
Tiada peluk cium dari si ibu dan tiada respons dari si anak sewaktu ditinggalkan. Realitinya tiada drama. Alhamdullilah, hebat bisikku. Aku cuba bercakap-cakap dengannya namun tiada sebarang jawapan. Aku merasakan mungkin dia masih malu.
Selesai dimandikan, anak kecil itu terus melarikan diri ke sudut taska. Duduk mencangkung sambil memerhati para guru menyambut ketibaan para pelajar silih berganti.
Kesibukan di awal pagi melupakan aku sebentar dengan anak kecil tadi. Dia masih diam di sudut yang sama.
Segalanya berjalan seperti biasa, ada anak-anak yang ceria bermain. Ada yang sedang menyusu dan ada yang masih berair mata kerana ditinggalkan. Yang kekal “status quo” cuma si kecil tadi.
Dia hanya memerhati, tiada reaksi malahan mainan yang diberi pun tidak dipedulikan. Aku mulai pelik. Tiada kanak-kanak yang menolak mainan. Aku mendekatinya sekali lagi.
Niatku untuk bermesra kerana mungkin dia takut atau tidak selesa di tempat baru. Sekali lagi aku gagal. Dia masih membatu.
Aku gunakan teknik lain, aku suruh anak-anak lain mendekatinya. Diajak agar main bersama. Masih gagal. Malahan kali ini dia terus berlari dan menyorok di belakang pintu.
Langkah seterusnya abaikan sebentar. Aku terus beraktiviti dengan anak-anak lain, dengan harapan si dia akan ikut serta. Nyata harapan tinggal harapan. Belakang pintu tetap menjadi pilihan.
Untuk menjadi guru yang baik, aku perlu “bonding” dengan setiap anak-anak kecil jagaanku. Salah satu caranya adalah dengan menyuapkan mereka makanan. Kerana aku yakin air tangan mampu eratkan hubungan.
Sebaik sahaja mangkuk nasi diletakkan ke atas meja. Si comel belakang pintu berlari mengangkat mangkuk itu dan menuangkan isi kandungannya ke lantai.
Baru sahaja aku mahu menjerit (reaksi spontan). Namun terhenti apabila melihat anak kecil itu menjilat makanan di lantai. Satu taska terpaku. Anak-anak lain juga tergamam.
Tingkahnya tidak ubah seperti kucing sedang makan. Memang mirip seekor kucing lapar. Menjilat dan menelan makanan tadi tanpa sisa. Lagaknya seperti teramat lapar. Aku terpaku tanpa tahu apa perlu dilakukan.
Jeritan anak-anak lain mengejek aksi kucing itu menyedarkan aku. Aku lantas ke dapur mengambil tuala dan secawan air untuk diberikan kepadanya. Dengan rakus cawan direntap dan dituang airnya ke lantai dan dia menjilat air itu.
Sekali lagi aku terngaga. Namun kali ini, aku pantas mengawal diri. Aku bersuara lembut;
“Abu (bukan nama sebenar}lapar yer”
Dia lantas menjilat tanganku yang sedang memegang pipinya. Sambil mengeluarkan bunyi;
“meow”
Astagfirullah hal azim. Tiba-tiba watak Mowgli dalam filem “Jungle Book” terbayang di fikiranku. Ini bukan filem. Ini realiti depan mata.
“Ya Allah, tabahkan hatiku”
Kolam air mata ku semakin penuh namun ku tahan agar tidak pecah di hadapan anak-anak kecil ini yang belum mengerti. Mereka tertawa melihat aksi kucing itu. Tanggapan mereka ia satu lawak.
Bagiku ia satu pengajaran yang amat bermakna. Abu kembali ke posisi belakang pintu setelah kenyang. Aku terus menyuap anak-anak yang lain makan sambil dia hanya memerhati.
Hari pertama Abu berlalu dengan penuh persoalan dibenakku. Abu pelajar terakhir pulang hari itu. Jam 8 malam baru si bapa datang menjemput. Soalan pertama ditanya bapanya;
“Dia dah makan kan?”
Aku menjawab ringkas;
“Sudah”
Aku lantas mahu bertanya tentang peristiwa ketika sesi makan tadi, namun pantas dipintas bapanya yang memaklumkan perlu segera pulang kerana telah lewat.
Rutin Abu berlanjutan hampir 2 minggu. Alhamdullilah setelah 2 minggu Abu mulai menunjukkan reaksi biasa seorang kanak-kanak normal.
Dia juga kini mahu untuk disuap makanan. Tiada lagi aksi kucing. Mula mesra denganku dan rakan-rakan sebayanya. Masih tiada perkataan diucapkan sekadar bahasa isyarat.
Pihak taska cuba mendapatkan maklumat daripada ibu bapa Abu namun usaha kami sia-sia. Soal siasat ringkas dipatahkan dengan hujah pedas si ibu;
“Orang dah bayar untuk jaga, jaga jer lah, Tak payah nak banyak soal”
Kami akur namun tetap cuba menyelidiki punca sebenar. Itu amanah kami. Usaha mendidik Abu diteruskan dengan beberapa pengubahsuaian.
Sesuai dengan kondisinya. Anak normal yang “istimewa”. Takdir Allah SWT, salah seorang ibu kepada pelajar taska itu mengenali ibu bapa Abu.
Beliau pernah berjiran dengan mereka. Melaluinya persoalan yang bermain di minda ku terungkai. Rupanya sejak lahir Abu telah beberapa kali bertukar taska. Ia berlaku setiap kali pihak taska mula menyiasat dan kisah sebenar terbongkar maka Abu akan ditukarkan.
Ibu bapa Abu bekerjaya profesional. Sejak lahir, Abu dijaga oleh pengasuh di rumah, namun ramai yang lari kerana tidak tahan dengan layanan majikan.
Setelah ketiadaan pengasuh, Abu akan diletakkan di dalam katil bayi sepanjang masa sewaktu di rumah. Bila pagi, Abu akan terus di hantar ke taska memakai baju yang dipakainya semalam sewaktu balik dari taska.
Peneman Abu di rumah hanya seekor kucing peliharaan keluarga. Itulah “gurunya” selama ini. Kolam air mataku pecah jua akhirnya. Abu ku dakap penuh emosi, kini renungannya penuh kasih saying, tidak lagi kosong.
Kes Abu perlu dirujuk kepada pihak berwajib kerana ia satu penderaan. Namun ia usaha separuh masak. Abu telah diberhentikan dari taska kami dengan alasan berpindah negeri.
Namun aku bersyukur kerana saat Abu berhenti, dia sudah pandai makan seperti biasa dan bermain dengan ceria.
Aku doakan agar Abu terus ceria dan semoga Allah memelihara Abu walau dimana sahaja Abu berada. Abu mangsa keadaan.
Cerita “Abu” ku anggap cara Allah SWT mengajar aku untuk belajar ilmu ‘parenting’ di kala aku belum dikurniakan zuriat kerana mendidik anak tidak semudah membela anak.
Jika memelihara anak hanya perlu diberi makan dan minum tanpa sebarang didikan, sama konsepnya seperti membela haiwan.
Tahap pendidikan juga tidak menjamin kita menjadi ibu bapa yang terbaik. ‘Parenting’ adalah ilmu yang wajib dipelajari waima untuk si teruna dan si dara yang teruja menyandang status suami isteri.
Ikatan itu bakal melahirkan amanah yang amat berat. Anak itu “Anugerah Terindah”, bak kata Dato’ Siti Nurhaliza sewaktu mengumumkan bahawa beliau sedang mengandungkan Siti Aafiyah binti Khalid setelah 11 tahun menanti.
Bagi yang telah dikurniakan anugerah terindah ini, jagalah mereka dengan penuh tanggungjawab. Ingatlah bahawa kita akan dipersoalkan kelak.
Tuntutlah ilmu kekeluargaan kerana ia ilmu kehidupan yang tidak diajar di sekolah dan universiti.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.