Keluarga

Adakah Anak Anda Bermasalah?

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  26 Mar 2018  •  2 min baca

Jika terlampau dilayan anak, nanti anak tidak tahu berdikari. Jika terlalu diberi tumpuan, nanti anak melampau. Benarkah?

Sebagai manusia kita akan sentiasa berusaha mencari dan berebutkan perkara yang kita rasakan perlu dan penting dalam hidup.

Contohnya seperti yang sering kita lihat sekarang. Ramai yang tidak kisah berkampung dan beratur dari awal pagi di luar premis perniagaan jika ada promosi produk yang dirasakan ‘perlu’ bagi mereka.

Ada yang tidak rasa bersalah bertolak-tolakkan dan berhimpit-himpit asalkan dapat apa yang dirasakan perlu itu.

Ada yang menangis-nangis, meraung-raung kerana sakit, ataupun kecewa kerana gagal mendapatkan apa yang dihajati.

Apakah Yang Diperlukan Oleh Kanak-Kanak?

Kanak-kanak perlukan perhatian, belaian, dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui perbuatan oleh orang dewasa yang menjadi penjaga utama kanak-kanak.

Kasih sayang bukan hanya kata nama, kasih sayang adalah juga kata kerja. Melayan anak adalah contoh perhatian dan kasih sayang.

Memberi tumpuan kepada anak adalah contoh perhatian dan kasih sayang. Apabila kita menunjukkan perhatian dan kasih sayang melalui perbuatan, kanak-kanak yakin dan percaya bahawa kita sayangkan mereka.

Rasa yakin ini menjadikan kanak-kanak tenang dan tidak perlu berebut-rebut untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang kita lagi.

Dengan ini mereka akan berupaya untuk berdikari kerana mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kita.

Mereka tahu kasih sayang itu sedia ada dan kita akan menyokong mereka kiranya bantuan diperlukan ketika berdikari.

Apabila kanak-kanak tidak perlu berebutkan keperluan utama tersebut, mereka lebih bebas untuk meneroka keupayaan dan potensi diri.

Tenaga mereka tidak perlu digunakan untuk mencari perhatian dan kasih sayang. Mereka boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pembelajaran.

Apabila mereka tidak perlu merebutkan perhatian dan kasih sayang, tingkah laku mereka juga menjadi lebih positif kerana tingkah laku anak bergantung kepada perhatian yang diberikan oleh ibubapa.

Kenapa sekarang ini ramai anak yang bermasalah? Cuba fikir kembali apakah prioriti kita.

Adakah peluang untuk meluangkan masa dengan anak digunakan sepenuhnya untuk membina hubungan yang rapat dengan anak?

Ataupun mungkin kita hanya hadir secara fizikal di sisi anak tetapi kita tidak menunaikan keperluan emosi dan kasih sayang kepada anak?

Ayuh fikirkan dan lakukan perubahan demi anak-anak yang kita sayangi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami