Inspirasi

Kembara Satu Kemahuan Yang Diperlukan

Oleh Azian Mohamed Isa  •  23 Mar 2018  •  3 min baca

Satu hal yang menjadi impian setiap daripada kita ialah keluar untuk mengembara.

Kembara merentasi sempadan geografi, zon waktu, adat dan budaya. Alasannya pelbagai. Mahu bersenang-senang melihat negara orang atau mungkin mahu mencabar diri, mengutip pengalaman baharu.

Apa pun sebabnya, kembara itu sentiasa ada dalam diri kerana ia kehendak naluri.

Rukun Islam yang kelima menyeru umatnya untuk menunaikan haji ke Baitullah. Tuntutan haji itu sebenarnya merupakan seruan Allah mengajak manusia keluar mengembara.

Di samping melunaskan ibadah yang wajib, adat dan budaya para jemaah berlainan ras dan negara dipelajari dan dihormati.

Ibnu Battuta, legenda penulisan kembara yang menjadi rujukan dunia hingga ke hari ini juga meninggalkan kampung halamannya di Tangier, Maghribi pada kurun ke 14 untuk menyempurnakan fardu haji.

Berusia 22 tahun, kembara ini bukan sekadar perjalanan menuju ke Mekah untuk menunaikan kefarduan, tetapi ia merupakan peluang bagi Ibnu Battuta untuk melihat dunia.

Bayangkan selama 29 tahun Ibnu Battuta mengembara melewati jarak sejauh 75,000 batu!

Di dalam ilmu hadith misalnya, rehlah atau kembara amat penting bagi menentukan sanad atau sandaran. Abu Ayyub al-Ansari sanggup bermusafir, mengembara melalui perjalanan yang jauh dan panjang untuk berjumpa dan melihat dengan mata dan mendengar sendiri hadith-hadith yang diriwayatkan.

Amalan ini sesuai dengan tiga tingkat keyakinan iaitu ‘ilmul yaqin (yakin yang didasari ilmu pengetahuan, ‘ainul yaqin (yakin dengan melihat dengan mata kepala sendiri) dan haqqul yakin (benar-benar merasai dan mengalaminya).

Ibnu Hazm al Andalusi ialah seorang sejarawan, ahli fikh dan Imam Ahli Sunnah yang disegani di Cordoba, Sepanyol sekitar abad ke 9.

Beliau begitu prolifik menghasilkan karya-karya dalam pelbagai bidang seperti hukum-hukum Islam, sejarah, etika, perbandingan agama dan akidah.

Dikatakan sepanjang hayatnya, terdapat lebih 400 karya yang telah ditulis walaupun hanya 40 yang dapat dikesan.

Terkenal dengan tulisannya yang amat tajam dan kasar sehinggakan ada pepatah yang mengatakan lidah Ibn Hazm itu bersaudara kembar dengan pedang al-Hajjaj (seorang general dah juga Gabenor Iraq pada abad ke-7).

Ada pendapat mengatakan, hal ini demikian kerana kurangnya Ibn Hazm keluar mengembara.

Imam As Syafie ada menyebut dalam syairnya yang bermaksud;

“Tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat. Tinggalkan tanah air dan mengembaralah, demi menuntu ilmu.”

Menurutnya lagi;

“Bermusafirlah kerana di situ ada 5 kebaikan.”

#1- Menghilangkan dukacita
#2- Mencari kehidupan
#3- Mencari ilmu
#4- Mempelajari adab
#5- Bersahabat dengan orang yang mulia

Jelas sekali jiwa kembara itu bukan sahaja selari dengan naluri malah ia merupakan keperluan setiap orang yang bergelar Muslim.

Sudah tiba masanya untuk memperbetul tanggapan yang kembara itu hanya untuk khalayak yang dana kantungnya banyak.

Mulalah untuk menabung sebagai bekalan kembara anda. Kembara itu kemahusn yang diperlukan!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami