Salah satu sifat atau gaya hidup Nabi Muhammad S.A.W adalah gaya hidup kesederhanaan. Baginda S.A.W hanya mempunyai beberapa helai baju, tinggal di rumah yang sederhana dan tidak bermegah-megahan.
Sedangkan Baginda S.A.W adalah pemimpin agama dan pemimpin negara. Beberapa tahun belakangan ini saya terinspirasi dari gaya hidup sederhana versi modern atau lebih dikenali sebagai minimalisme.
Minimalisme, dalam konteks, bermaksud hidup sekadar mencukupi, tidak berlebih-lebihan. Manakala secara islamiknya, minimalisme boleh dikaitkan dengan sikap qanaah dan zuhud.
Qanaah ialah sikap berpuas hati dengan rezeki yang ditentukan oleh Allah, terutamanya berkaitan apa yang di luar kemampuannya untuk diusahakan, atau setelah diusahakan.
Zuhud pula adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat bagi akhirat seperti berlebih-lebihan dalam hal-hal yang mubah (perkara yang tiada dosa jika ditinggalkan dan tiada pahala jika dilakukan) yang dapat membuat seseorang lalai dari ketaatan kepada Allah.
Dapat disimpulkan bahawa konsep minimalisme itu, menurut sisi Islam adalah memfokuskan perhatian kehidupan kepada perkara akhirat dengan meminimalist-kan kehidupan dunia.
Bukanlah bermakna meninggalkan terus kehidupan dunia, cuma perkecilkan ianya kepada perkara-perkara penting sahaja.
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Surah at-Takathur 102:1-2
Ayat ini menyatakan bahawa salah satu kealpaan manusia, ialah sikap tamak dan perbuatan berlumba-lumba untuk bermegahan. Dan perbuatan tamak bermegah-megahan ini telah melalaikan sehinggalah ajal menjemput seseorang itu.
Kita menjadi begitu taksub dengan bagaimana penampilan kita di mata manusia. Kita mahu memiliki barang yang paling hebat di pasaran, bergaya dengan fesyen paling terkini, mengetahui berita apa yang paling sensasi.
Sehinggakan kita kehilangan nilai kehidupan yang sebenar. Sebagai contoh, demi sebuah telefon pintar yang paling hebat di pasaran, atau percutian mewah ke luar negara, seseorang mungkin terpaksa mengorbankan masa santai bersama keluarga, untuk bekerja lebih masa bagi memenuhi keinginannya itu.
Lebih memudaratkan apabila seseorang itu sanggup terdorong untuk memburu segala keinginannya dengan menggunakan segala cara tanpa menghiraukan batas halal dan haram seperti mencuri dan mengambil rasuah. Sesungguhnya, harta hanyalah ujian sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah al-Hadiid 57:20
Kerapkali juga kita mendengar orang yang mengeluh akan kesuntukan masa dan tenaga untuk beribadah hanya kerana masa dan tenaga yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka, telah disalurkan kepada tujuan bermegahan sesama manusia.
Di sini, konsep Minimalisme hadir untuk memberi kesedaran kepada kita bahawa perkara keduniaan seperti memiliki barang terkini, menjadi kaya, berpangkat besar dan mempunyai ramai kawan, bukanlah definisi kepada kehidupan yang bermakna.
Kehidupan minimalisme yang berlandaskan kepada mempunyai sedikit atau memiliki apa yang perlu sahaja, membantu kita untuk meringankan beban secara fizikal dan juga mental.
Rumah yang tidak memiliki banyak barang, memerlukan hanya sedikit masa untuk dikemas, dan minda yang tidak dibebankan dengan kehidupan duniawi, membolehkan untuk memberi lebih fokus kepada kehidupan akhirat.
Secara ringkasnya, Minimalisme dapat membantu kita untuk:
#1- Merebut kembali waktu yang berharga.
#2- Hidup di saat ini.
#3- Mengalami kebebasan nyata.
#4- Fokus kepada kesihatan.
#5- Membersihkan diri kita dari hal-hal berlebihan.
#6- Menemukan tujuan dalam hidup kita
#7- Memperolehi kebahagiaan yang hakiki
Itulah yang kita semua cari bukan? Kita semua ingin untuk menjadi bahagia. Minimalists mencari kebahagiaan tidak melalui hal-hal kebendaan tetapi melalui kehidupan itu sendiri.
Berikut adalah langkah-langkah mudah yang boleh diikuti untuk mengamalkan konsep minimalisme di dalam kehidupan kita:
#1- Sedikit lebih baik
Memiliki sedikit lebih membahagiakan. Kita cenderung untuk menghabiskan waktu dan tenaga untuk menjaga dan merawat harta kepemilikan kita.
Dengan memiliki sedikit barang, waktu yang diperuntukkan untuk menjaga dan merawat itu dapat disalurkan kepada aktiviti yang lebih bermakna.
Marie Kondo dalam bukunya yang berjudul “The Life-Changing Magic of Tidying Up: The Japanese Art of Decluttering and Organizing” memberi saranan bahawa kita hanya perlu memilih untuk memiliki barangan yang 1. berfungsi dan digunapakai, dan 2. memberi bahagia dalam kehidupan kita.
#2- Makan secara sederhana
Makanlah makanan yang berkhasiat, secara seimbang dan secukupnya. Ini bukan bukan sahaja baik pada kesihatan, malah untuk jangka masa panjang juga baik untuk kita.
Zaman ini kos perubatan adalah sangat mahal, maka mencegah penyakit (dengan memakan makanan yang sihat secara sederhana) adalah lebih mudah dari merawat sakit di masa depan.
#3- Berpakaian sederhana
Dapat dilihat bahawa kebanyakan mereka yang berjaya seperti mendiang Steve Job dan Mark Zuckerberg memakai pakaian yang sama setiap kali berhadapan dengan awam. Ini kerana mereka begitu menghormati masa sehinggakan untuk memikirkan pakaian apa yang perlu dipakai tidak termasuk dalam agenda harian mereka.
Maka, kita boleh untuk memilih memakai pakaian yang sederhana sempurna menutup aurat dan kemas apabila ketika keluar bersiaran atau beriadah.
Tips mudah adalah memilih untuk memakai pakaian pada warna asas kerana ini mudah untuk disepadankan dengan tudung atau kasut.
#4- Hidup sederhana, bebas tekanan
Kurangkan menonton televisyen, bersosial secara atas talian atau secara realiti, atau sibuk melayari internet. Aktiviti ini kadang kala secara tidak sengaja mencetuskan nafsu untuk membeli walaupun kita belum tentu lagi akan menggunakan barang tersebut.
Hargai masa senggang dengan membaca buku, berinteraksi dengan ahli keluarga dan manfaat waktu dengan melakukan solat sunat, refleksi bersama Al-Quran dan berdoa.
Luangkan wang yang kita ada untuk bersedekah atau membuat kerja-kerja amal. Dengan menjalani hidup minimalisme, kita mampu menjadi lebih bahagia.
Kesimpulannya, saya mendapati bahawa kehidupan berlandaskan konsep minimalisme ini menyebabkan kita tidak terikat kepada kebendaan dan sekaligus membebaskan kita dari belengu materialisme.
Kita hadir di dunia ini dalam tempoh waktu yang singkat dengan tujuan untuk kembali kepada Allah S.W.T.
Justeru itu, kita perlu berusaha keras untuk kembali dengan mendapat redha-Nya. Kehidupan secara minimalisme mampu memberi solusi berkesan dalam mencapai objektif hidup kerana Allah S.W.T.
Rujukan:
Being Minimalist website – www.beingminimalist.com
Majalah Solusi isu Hidup Mewah dengan Qanaah
Buku “The Life-Changing Magic of Tidying Up: The Japanese Art of Decluttering and Organizing” oleh Marie Kondo
Buku “Menghayati Erti Zuhud” oleh Prof Madya Dr Basri bin Ibrahim
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.