Segala puji bagi Allah S.W.T yang menjadikan kita sebagai makhluk yang paling mulia penciptaannya. Penciptaan yang sangat mengagumkan sehinggakan ia tercatat di dalam Al-Quran.
Allah S.W.T berfirman;
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. Surah Al Isra’:70
Kesempurnaan yang kita miliki kini tidaklah bermakna tanpa akal. Akal merupakan sesuatu yang besar, yang menjadi kita selayaknya dipanggil manusia. Jadi untuk apa akal itu?
Akal menjadikan kita hidup bertujuan dan menjadikan kita berupaya untuk menyingkap rahsia penciptaan Tuhan.
Tidak seperti binatang yang paginya bangun berfikir untuk mengeyangkan perut dan apabila datang ajalnya dia pun pergi meninggalkan dunia.
Hidup binatang hanya dibekalkan naluri untuk hidup dan dengan itu terlahirlah fitrah yang tidak akan berubah sampai bila-bila. Tetapi tidak manusia. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan;
“Antara nikmat yang besar yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita adalah akal, akal merupakan kurniaan yang mahal dan dengannyalah membezakan kita manusia dengan haiwan”
Akal juga berperanan untuk memilih mana yang baik dan buruk bahkan dengan akal menjadikan makhluk bermaruah kerana kurniaan itu digunakan untuk menjaga diri, mengatur hidup. Kata Buya Hamka dalam karyanya Falsafah Hidup menyatakan;
“Manusia itu sejenis haiwan juga, tetapi Tuhan memberikannya kelebihan dengan akal. Kepada akal itulah bersandar segala perkara wajib dia lakukan atau wajib dia tinggalkan. Adapun haiwan jenis lain, yang dirasainya hanyalah semata-mata kelazatan perasaan kasar. Dikejarnya kelazatan itu dengan tidak menimbang dan memikirkan lebih dahulu. Sedang bagi manusia, akal itulah yang menjadi penjaganya dan yang menguasainya…”
Kerana itu bersyukurlah! Lihat bagaimana dengannya kita mempunyai jiwa ingin memajukan diri. Daripada dulu manusia hanya tinggal di dalam gua tetapi kini tinggal di dalam bangunan pencakar langgit yang indah.
Daripada dahulu hanya berjalan kaki atau menggunakan kapal laut untuk menunaikan haji yang mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun untuk sampai.
Tetapi hari ini hanya menggambil masa beberapa jam untuk menatap bangunan yang paling indah di dunia. Kerana apa? Kerana akal kita.
Ketika mana manusia diciptakan, manusia dalam kehinaan. Tetapi dengan akal dan ilmu telah memuliakan Adam.
Janganlah kita lupa bahawa nafsu juga menjadi sebahagia daripada jisim yang ada di dalam manusia. Tetapi dengan akal menjadikan kita boleh mengawalnya.
Bayangkan jika kita manusia tidak mempunyai nafsu, tiada berketurunan, tiada berkehendak untuk makan makanan yang sedap, bahkan bagi lelaki dan perempuan tiada nilai hanya sama!
Nafsu itu sebenarnya perlu bagi manusia tetapi akal yang berperanan memandunya ke jalan yang betul dan indah, kata Dr. M. Amir seorang ahli ilmu yang mana beliau menyatakan dalam ceramahnya;
“Bahawasanya perasaan (syahwat dan kemarahan, atau hawa nafsu) adalah laksana kuda yang berlari. Dan akal laksana kusir (yang mengawal tali kuda) yang memegang kekangnya”
Nafsu yang ada pada manusia bukan suatu yang tidak baik tetapi ia perlu disulami dengan akal yang bersih supaya tindakan yang dibuat itu betul.
Sesungguhnya akal yang dapat membezakan baik dan buruk dan seterusnya menjadikan kita makluk yang berjaya di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang berakal, supaya kamu berjaya.” Surah Al-Maidah :100
Agama dan akal tidak dapat dipisahkan. Barangsiapa yang mengunakan akal tanpa agama itulah orang yang tiada akal!
Dan barangsiapa yang mengunakan agama tanpa akal, sesungguhnya dia lagi buruk daripada orang durjana.
Sebab itu penggunaan akal amat penting dalam penilaian setiap perkara yang dilakukan agar kita menjadi mulia.
Diriwayatkan oleh Jabir pada sisi al-Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda;
“Agama manusia ialah akalnya, dan siapa yang tiada berakal, tiada agama baginya”
Tiadalah dipanggil orang yang berakal jika dia tiada agama. Tiadalah dia dipanggil manusia jika dia tidak berakal.
Orang yang berakal adalah orang yang sentiasa berfikir dan orang yang tidak berfikir bukanlah dipanggil orang yang berakal.
Bahkan orang yang malas berfikir adalah satu simbol kemusnahan akal dan peribadi. Amirul Mukminin Umar Al-Khatab pernah berkata;
“Jika malas itu adalah seseorang, maka aku akan pancung dia”
Sebab apa? Kerana malas itu adalah musibah yang besar yang membawa manusia ke dalam lembah kebinasaan.
Jika orang itu malas berfikir bagaimana dia akan bertemu kebenaran dan hakikat kehidupan? Bukankah Allah S.W.T berfirman:
“Allah menukarkan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang celik mata hatinya berfikir” Surah an-Nur: 44
Penciptaan yang agung di sekeliling kita, aturan malam dan siang. Bukanlah dicipta untuk ditatap sahaja tetapi untuk mengajak kita supaya berfikir tentang kekuasaan di sebalik semua yang diciptakan. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;
“Dan Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia-lah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah Al-Mu’munun : 80
Kerana itu orang yang berakal itu perlu kepada berfikir untuk menyingkap kebenaran yang telah terbentang di mata meraka.
Hidup kita ini jika diperhalusi, bukan hanya untuk kerja semata-mata atau menikmati hari demi hari sehingga tiba masa masuk ke kubur.
Sebab itu pentingnya akal untuk merungkai persoalan yang besar ini. Dan dengan ini saya tinggalkan ungkapan apa yang pernah dikatakan oleh Buya Hamka supaya dengan akal kita tahu hakikat penciptaan kita dengan ungkapan;
“kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau bekerja sekedar bekerja, kera juga bekerja”
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.