Inspirasi

Kisah Nabi Yusuf, Kesabaran Yang Membawa Penyatuan

Oleh Anas  •  7 Aug 2017  •  5 min baca

Nabi yang tampan. Itulah yang diingati ramai orang apabila mendengar namanya. Rupanya yang kacak dikatakan diwarisi dari ibu, bapa, datuk dan neneknya. Yusuf merupakan anak kepada Nabi Yaakub dan ibunya, Rahil binti Laban. Manakala adik-beradiknya yang lain seramai 11 orang adalah daripada ibu-ibu yang berlainan. Yusuf adalah seorang anak yang berakhlak mulia dan dimuliakan.

Pada suatu hari, Yusuf bermimpi akan 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya. Ibn Kathir mengatakan 11 bulan itu bermaksud 11 orang saudara-saudara lelakinya, manakala matahari dan bulan mewakili kedua ibu bapanya. Setelah diceritakan mimpi tersebut kepada bapanya, Yusuf dinasihatkan agar tidak menceritakan tentang mimpi itu kepada saudara-saudara lelakinya.

Ini kerana menurut Ya’qub, Yusuf akan mendapat kedudukan yang tinggi sama ada di dunia, mahupun di akhirat kelak. Justeru, jika kisah mimpi itu sampai kepada abang-abangnya, pasti mereka akan berasa cemburu dan merancang melakukan perkara yang tidak baik kepada Yusuf.

Begitulah kita perlu berhati-hatilah dengan menyampaikan sesuatu kelebihan. Usah terlalu banyak bercerita mengenainya kepada orang lain. Pada masa kini kita melihat ramai orang menggunakan media sosial untuk menceritakan tentang diri mereka sehingga mendatangkan rasa dengki kepada orang lain. Manakala, diri pula terdedah dengan sikap riak jika tidak berjaga-jaga.

Adil dalam setiap perkara adalah amat penting kerana ia memberi kesan kepada insan lain walaupun ia berlaku tanpa disedari. Cemburu abang-abangnya bukan kerana mimpi itu dan mereka tidak mengetahui tentangnya. Cemburu mereka telah lama berakar umbi iaitu apabila melihat kasih bapa mereka kepada Yusuf dan abangnya, Bunyamin. Lalu, mereka pun memikirkan jalan menyingkir Yusuf daripada keluarga mereka.

Dipujuknya si bapa agar membenarkan mereka membawa Yusuf bermain-main, sedangkan Allah mengetahui niat sebenar di dalam hati mereka. Akhirnya, si bapa bersetuju kerana mereka berjanji akan melindungi Yusuf dari bahaya.

Di sini terlihat syaitan dengan tujuan asalnya iaitu untuk memecah-belahkan umat sehingga Hari Kiamat nanti. Jika kita tidak berhati-hati, maka dengan mudah kita terperangkap di dalam bisikan jahat syaitan.

Peluang itu digunakan oleh abang-abang Yusuf sebaik mungkin. Yusuf dicampakkan ke dalam sebuah perigi buta. Setelah itu, pakaian Yusuf yang dibuka semasa bermain tadi, dicelup dengan darah.

Mereka balik ke rumah sambil berpura-pura sedih dan menangis. Mereka memberitahu bapa mereka yang Yusuf telah dimakan oleh serigala. Ditunjukkan baju Yusuf yang berlumuran darah yang sebenarnya adalah darah kambing.

Jadi, berjayalah syaitan menghasut mereka menyingkirkan Yusuf dengan rasa cemburu yang keterlaluan. Cemburu mendatangkan kesan yang amat buruk kepada diri sendiri dan orang lain. Orang yang cemburu tidak mustahil melakukan sesuatu yang dibenci Allah.

Yusuf yang kini duduk di dalam telaga buta menanti pertolongan dari Allah SWT. Tidak lama kemudian, muncullah kumpulan pedagang yang dalam perjalanan ke Mesir. Mereka berhenti untuk meminum air dari perigi. Semasa baldi diturunkan ke dalam perigi, Yusuf pun masuk ke dalamnya.

Kumpulan pedagang itu menganggap Yusuf sebagai barang dagangan. Yusuf boleh dijual sebagai hamba abdi di Mesir nanti. Maka, Yusuf pun dibeli dan dijadikan sebagai hamba kepada seorang Menteri.

Hari demi hari, Allah memberi Yusuf ilmu mentafsir mimpi dan kebijaksanaan sehinggalah Yusuf dewasa. Yusuf membesar dengan gambaran seorang lelaki sempurna. Tampan dan bagus penampilannya sehingga isteri menteri pun tertarik kepadanya.

Isteri menteri cuba menggodanya untuk melakukan perbuatan yang tidak baik, namun ditolak oleh Yusuf yang sentiasa mengingati Allah. Isteri menteri cuba mengejarnya sehingga terkoyak belakang baju Yusuf ditarik olehnya. Sampai di pintu, muncul Menteri secara tiba-tiba.

Melihat suaminya di depan pintu, si isteri terus memfitnah Yusuf dengan mengatakan yang Yusuf cuba melakukan perbuatan terkutuk terhadapnya. Namun, seorang saksi mengatakan jika baju Yusuf koyak di bahagian depan, isteri menteri berkata benar tapi jika koyaknya di belakang, maka Yusuflah yang benar. Dalam hal ini, ternyata Yusuf tidak bersalah.

Menteri meminta agar Yusuf melupakan kisah itu. Isterinya diminta agar segera bertaubat. Namun, cerita mengenai isteri menteri cuba menggoda Yusuf sampai ke pengetahuan wanita-wanita sekitar kota. Mereka mengejek isteri menteri yang jatuh cinta kepada budak suruhan.

Isteri cuba membuktikan yang Yusuf bukan seperti budak suruhan lain. Lalu, wanita-wanita itu dijemput menghadiri jamuan di rumahnya. Sengaja dia menyediakan makanan yang memerlukan pisau untuk dimakan. Jadi, semasa Yusuf keluar, wanita-wanita itu terpegun dengan ketampanan Yusuf sehingga terpotong jari mereka.

Benarlah ujian datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Selain godaan, membuat tuduhan palsu, mengumpat, memfitnah adalah sebahagian ujian perosak kepada jiwa yang boleh mendatangkan bencana.

Godaan dari para wanita membuatkan Yusuf berharap kepada Allah bahawa dia lebih rela dipenjarakan daripada terperangkap oleh rancangan dan godaan mereka. Doa Yusuf dimakbulkan Allah.

Inilah yang dilakukan oleh Yusuf selama ini iaitu takut kepada Allah Maha Pencipta. Jika keburukan yang ditawarkan, tolaklah ia dengan baik atau dengan nasihat agar mereka kembali mengingati Allah. Allah sentiasa menyelamatkan mereka yang beriman kepadaNya. Yusuf ternyata lulus dalam semua ujian dan mendapat kasih Allah sepanjang laluan hidupnya.

Semasa di dalam penjara, Yusuf membantu dua orang banduan mentafsirkan mimpi mereka. Seorang akan bebas dan seorang lagi akan dihukum mati. Yusuf juga mengajak mereka menyembah Allah Yang Maha Esa. Kepada yang akan bebas, Yusuf meminta agar dia memberiatahu kepada tuannya kelak yang Yusuf dipenjarakan tanpa kesalahan. Tetapi. Lelaki itu terlupa mengenai hal itu selepas dibebaskan kerana syaitan membuatkan dirinya terlupa.

Ditakdirkan Raja bermimpi. Lalu, baginda meminta para pembesar untuk mentafsirkannya namun tiada siapa yang dapat memberi jawapan. Lelaki yang pernah ditafsirkan mimpinya oleh Yusuf teringat akan Yusuf dan memberitahunya kepada Raja. Raja memanggil Yusuf dan Yusuf mentafsirkan mimpi Raja. Selepas itu, Yusuf dibebaskan.

Bukan sahaja kerana dia mentafsirkan mimpi Raja, tetapi juga kerana kebijaksanaanya dan dirinya yang jelas dipenjarakan tanpa kesalahan. Yusuf kemudian dilantik menjadi Menteri.

Antara tafsiran mimpi Raja itu ialah akan berlakunya kemarau panjang. Pada masa inilah, abang-abang Yusuf pergi ke Mesir untuk mencari makanan dan terkejut apabila melihat Yusuf memerintah negara.

Abang-abangnya menyesali perbuatan mereka dan meminta maaf kepada Yusuf. Akhirnya, Yusuf dan bapanya serta abang-abangnya bersatu kembali sebagai sebuah keluarga.

Penantian Yusuf bukan singkat. Dugaan yang diterimanya seperti jatuh ditimpa tangga. Selepas satu ujian, muncul lagi satu ujian dan memakan masa bertahun-tahun lamanya. Selama itu, dia tidak pernah gagal. Rahsianya adalah kesabaran dan keyakinan yang tak putus kepada Allah SWT. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan kita melainkan Allah SWT pada masa yang terbaik di atas kehendakNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami