Semalam aku berpeluang untuk menghadiri sebuah diskusi atau sembang santai bersama Sohibus Samahah Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin , Dr Rozaimi Ramlee, Ustaz Abu Hafiz Saleh Hudin dan beberapa lagi tokoh-tokoh ilmuwan Malaysia yang hebat-hebat belaka ini. Iya mereka bukanlah sepertimana yang aku sangkakan.
Cuma disini aku sangat tertarik dengan keperibadian mereka yang sangat merendah diri dan rahmah kepada masyarakat sekeliling. Mereka benar-benar ingin mendekati orang awam seperti kita dengan memberikan peluang untuk kami bertanyakan soalan-soalan yang terpacul di minda untuk mereka jawab. Kita ini cuma dinilai dengan iman dan taqwa. Bukan harta dan pangkat.
Apa-apa pun, niat aku bukanlah untuk memuji mereka melampau-lampau tetapi cuma aku sangatlah kagum dengan ilmu yang mereka miliki dan keberanian mereka dalam menolak kebatilan serta teguh berprinsip. Dalam Malaysia ini , aku rasa merekalah yang lantang bersuara apabila mengupas sesuatu isu dan masalah yang timbul.
Aku sebenarnya ingin berkongsi sedikit ibrah daripada taujihat yang diberikan oleh Dr Rozaimi Ramlee di dalam sesi tersebut berkenaan ayat ini. Dalam Surah As Shaff (surah ke 61) ayat ke 10. Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”
Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”
Disini Allah SWT menceritakan tentang bagaimana Nabi Isa AS mengajak serta mempelawa kaumnya untuk bersama-sama menjadi pendukung kepada agama yang amat mulia ini. Ini merupakan suatu peluang untuk mereka berjuang bersama-sama dakwah ini.
Namun sebahagian daripada mereka tidak menyahut seruan itu malah tidak beriman dengan perintah itu tatkala Nabi Isa tiada bersama mereka. Sebahagian mereka beriman seolah-olah bergantung pada sesuatu masa atau keadaan. Sungguh saja boleh dilabel sebagai hipokrit.
Entahlah, mungkin hati aku yang rasa berat bilamana mengambil kesempatan mentaddabur tentang ayat-ayat Al-Quran yg menceritakan tentang dakwah, pastinya termenung jauh. Mungkin saja merenung diri atau mungkin saja memikir keadaan ummat yang sedang tenat ketika ini.
Aku pasti kita tak nak menjadi seperti umat-umat yang terdahulu. Allah menurunkan azab kepada mereka sungguh pedih. Namun kita harini jarang sekali mengambil iktibar atas kisah-kisah silam mereka.
Antara nasihat Dr Rozaimi yang aku amati adalah,
“Kita teruskan dakwah ini tanpa henti tatkala ramai orang disekeliling kita benar-benar tidak menyukai apa yang kita sampaikan. Amanah ini sangat mulia maka beruntunglah bagi sesiapa yang bersama dalam jalan ini kerana yang haq akan tetap menjadi haq dan yang batil akan tetap jadi batil. Teruskan melangkah!”
Maka disini gunakanlah segala kebolehan dan kecekapan kita dalam menyahut seruan dakwah ini dengan penuh rasa kecintaan dan tanggungjawab.
Jadikanlah sirah sebagai pedoman dan pencetus semangat untuk kita terus kehadapan. Apapun moga debat Dr Rozaimi Ramlee dan Tn Guru Nurruddin Banjari menjadi kenyataan!
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.