“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah (penghuni gua) Ashabul Kahfi’ dan Al-Raqim itu sahaja yang menakjubkan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan kami?”Surah al-Kahfi:9
Kisah pertama di dalam surah al-Kahf adalah mengenai beberapa pemuda yang mengakui kebenaran dan menolak sikap masyarakat di sekelilingnya yang berpegang kepada ajaran yang salah.
‘Kebenaran’ di sini ialah kepercayaan dan menyembah hanya kepada Allah yang mentadbir seluruh alam.
Kepercayaan ini bertentangan dengan kaum para pemuda itu yang menyembah selain daripada Allah. Apa yang dilakukan oleh kaumnya adalah satu perbuatan yang syirik.
Maka, mereka pun melarikan diri daripada kesesatan itu dan berlindung di dalam sebuah gua bersama-sama dengan seekor anjing.
Kemudian, Allah menidurkan mereka sehingga beberapa lama, sehinggalah mereka dibangkitkan semula dari tidur mereka.
Apabila salah seorang dari para pemuda itu dihantar untuk membeli makanan, dia dinasihatkan untuk berhati-hati agar tidak diketahui orang lain.
Perkara ini adalah bagi tujuan keselamatan kerana menyangka diri mereka tidur hanya untuk seketika. Sedangkan mereka telah tidur selama berabad lamanya. Jadi, negara, pemimpin dan penduduknya juga telah berubah.
Semasa dia memberikan wang untuk membayar harga makanannya, penjual tersebut tidak dapat mengenalpasti matawang yang digunakan lelaki itu.
Maka, ditunjukkan wang tersebut kepada yang lain. Pemuda itu menjelaskan tentang dirinya yang datang dari tempat itu dan pemimpin ketika itu ialah Decanius.
Hal itu sampai kepada pengetahuan pemerintah ketika itu iaitu Raja Tedosis yang beriman kepada Tuhan yang satu.
Maka, Raja dibawa ke gua tersebut di mana mereka bertemu para pemuda yang ditidurkan Allah.
Justeru, terbuktilah janji Allah menghidupkan manusia selepas mati adalah benar. Selepas itu, para pemuda tidur semula. Pada masa inilah, Allah mengambil nyawa mereka.
Pengajaran daripada kisah ini adalah:
#1 – Jauhilah Perbuatan Syirik Iaitu Meyakini Dan Menyembah Selain Dari Allah S.W.T
#2 – Allah Berkuasa Termasuk Menghidupkan Dan Mematikan Makhluknya
Ini terbukti semasa para pemuda itu ditidurkan selama bertahun-tahun, kemudian terjaga, dan mati.
#3 – Membuktikan Kebenaran Mengenai Hari Kebangkitan
Ketika zaman itu isu hidup selepas mati menjadi perdebatan.
#4 – Apa Yang Tidak Diketahui Dengan Jelas, Hendaklah Diletakkan Dalam Pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui
Contohnya, ada perbezaan pendapat mengenai jumlah pemuda dan jumlah tahun mereka ditidurkan.
Justeru, Allah mengingatkan kita agar tidak perlu membahaskan secara lebih melainkan sederhana sahaja.
#5 – Pengetahuan Kita Mengenai Masa Depan Kita Tidaklah Dapat Dipastikan
Oleh itu, sekiranya menyebut tentang sesuatu yang melibatkan masa hadapan, satukanlah ia dengan ucapan “InsyaAllah”.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.