Inspirasi

Surah Al-Kahfi: Pelindung Diri Anda Dari Dajjal

Oleh Anas  •  4 Aug 2017  •  5 min baca

Terdapat empat kisah tauladan di dalam surah Al-Kahfi. Setiap satunya mendidik diri bagi menghadapi fitnah Dajjal.

Dajjal akan hadir sebelum Hari Kebangkitan dengan ujian-ujian berikut untuk menyesatkan manusia:

#1 – Ujian Keimanan

Beberapa pemuda melarikan diri dari pemerintah dan penduduk yang menyembah selain dari Allah.

Pemuda-pemuda beriman kepada Allah ini ditidurkan di dalam sebuah gua sebelum dibangkitkan kembali setelah bertahun lamanya.

Menerusi ujian keimanan, manusia akan dihasut untuk menyembah selain daripada Allah. Dia memerlukan kuasa lain yang diyakini dapat membantu dalam urusan hidupnya tetapi sebenarnya telah membawa dirinya dalam kesesatan dan kehancuran.

#2 – Ujian Kekayaan

Kesenangan boleh menjadi satu ujian terbesar kepada seorang hamba Allah. Dua lelaki yang berbeza status bertukar pendapat mengenai kemewahan.

Si kaya yang memiliki banyak harta terlalu takjub dengan harta yang dimilikinya sehingga melupakan Allah yang memberi dan juga mampu menarik kembali kemewahan tersebut.

Harta telah melupakannya kepada akhirat dan jikalau ada pun akhirat, dia yakin nasib yang menyebelahi dirinya adalah baik juga sebagaimana dia menerima kemewahan di dunia. Akhirnya, Allah memusnahkan semua harta yang dipinjamkan kepadanya.

Ujian kekayaan adalah ujian dari apa yang boleh dilihat dengan pandangan mata kita. Manusia yang lemah akan mengejar dunia yang dirasakan amat menyeronokkan sehingga tidak lagi peduli dengan alam yang kekal abadi.

#3 – Ujian Ilmu

Musa yang mahu menguasai ilmu yang tidak dimilikinya telah bertemu dengan Khidir. Khidir mendidiknya tentang ilmu menerusi peristiwa-peristiwa yang menguji kesabaran Musa.

Akhirnya, pembelajaran Musa terhenti selepas pertistiwa keempat dan Khidir menjelaskan semua hikmah yang dilalui mereka.

Orang yang berilmu selalu diuji dengan bagaimana dia menggunakan ilmunya, dan bagaimana pandangannya kepada manusia dan sesuatu situasi.

#4 – Ujian Kuasa

Dhul-Qarnayn merupakan seorang raja yang hebat. Dia lah yang telah membina tembok tinggi dan teguh bagi menghalang Ya’juj dan Ma’juj agar tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia.

Dengan kuasa, manusia mempunyai pilihan sama ada menggunakan kuasanya untuk kebaikan atau pun kehancuran. Kisah Dhul-Qarnayn adalah contoh ujian kepada mereka yang berkuasa.

Di Tengah-tengah surah ini, dinyatakan tentang Iblis yang memperhebatkan lagi 4 ujian di atas menerusi firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Maka, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu.”Surah al-Kahf:50

Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Ujian yang berat pasti ada benteng penghalangnya.

Maka, Allah telah menyediakan beberapa langkah untuk menghadapi semua ujian tersebut dengan;

#1 – Ikhlas Kerana Allah
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; maka, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadat kepada Tuhannya.”Surah Al-Kahf:110

#2- Berdakwah Tanpa Mengira Darjat
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan bacakan apa yang diwahyukan kepadamu daripada kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sama sekali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.”Surah Al-Kahf:27

#3- Mengingati Hari Akhirat
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkarkan dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah; dan Kami himpunkan mereka (di padang mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorang pun daripada mereka.Surah Al-Kahfi:47

Dan mereka tetap akan dibawa menghadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka), “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (hari kebangkitan untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan).Surah Al-Kahfi:48

Dan “kitab-kitab amal” juga tetap akan dibentangkan, lalu engkau akan melihat orang yang berdosa itu, berasa takut dengan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata, “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka lakukan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”Surah Al-Kahfi:49

#4- Memilih Untuk Bersahabat Dengan Mereka Yang Soleh
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi roang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami dalam al-Quran, serta dia mengikut nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”Surah Al-Kahf:28

#5- Mengenali Hakikat Dunia
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Dan kemukakanlah kepada mereka perumpamaan: kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian ia menjadi kering hancur ditiup angina; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”Surah Al-Kahf:45

#6- Bersikap Merendah Diri
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Musa berkata, “Engkau akan dapati aku, insya Allah, orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu.”Surah Al-Kahf:69


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami