Inspirasi

Kemana Hala Tuju Anda Setelah Graduasi?

Oleh Natirah Azira  •  24 Jul 2017  •  4 min baca

Alam pelajaran seringkali digambarkan sebagai fasa yang paling manis dan penuh warna yang dilalui oleh kebanyakan orang lebih-lebih lagi di pusat pengajian tinggi. Di tahap inilah, masing-masing mula mencari minat diri sendiri, memilih jurusan yang diminati, bergelumang dengan tugasan dan akhirnya penat lelah bertahun semasa di universiti berakhir dengan jubah yang tersarung pada badan di hari graduasi.

Namun, perjalanan sebenar baru sahaja bermula. Fasa selepas graduasi adalah fasa seseorang itu keluar ke ‘dunia sebenar’, melangkah ke satu lagi fasa lain dalam hidup. Fokus utama bukan lagi projek, discussion, kuliah pada waktu pagi, atau tugasan berderet yang menanti tarikh akhir. Soal wang, hutang pinjaman pendidikan, dan mungkin soal rumah tangga mula mengambil tempat.

Mungkin ada juga dalam kalangan fresh graduate yang keliru sama ada memilih untuk meneruskan lagi pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti master atau mencari pekerjaan bagi menstabilkan kewangan selepas graduasi. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diteliti bagi memilih hala tuju seterusnya:

#1 – Tepuk Dada Tanya Hati

Fasa selepas graduasi ialah fasa bagi seseorang itu mempertajamkan lagi perancangan dan hala tuju hidup, sama ada ingin terus mencari pekerjaan untuk menstabilkan kewangan atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Jika anda terlintas untuk membuat pilihan yang kedua, maka pastikan pilihan tersebut bukan kerana ikut-ikutan tetapi kerana matlamat dan tujuan yang jelas daripada diri anda sendiri. Harus diingat bahawa setiap peringkat pembelajaran mempunyai cabarannya yang tersendiri.

#2 – Job Hunting

Jika anda memilih untuk mula menceburkan diri ke dunia pekerjaan, maka persiapkanlah diri anda sebaiknya. Banyak tips-tips interview yang boleh anda jumpai di carian google mahupun perkongsian rakan-rakan Facebook yang sudah mempunyai pengalaman kerja.

#3 – Pendapatan Sampingan

Setiap orang pasti akan mengalami perjalanan hidup yang berbeza-beza. Ada yang cepat mendapat pekerjaan dan ada pula yang perlu menunggu lama dan perlu mencuba berkali-kali. Apapun yang berlaku, usah putus semangat.

Bagi mengisi masa yang terluang daripada dibazirkan, anda boleh melakukan dahulu kerja separuh masa seperti menyediakan khidmat home tutor, ejen dropship atau memulakan bisnes sendiri.

Cara ini juga boleh membantu kewangan anda terutama bagi mereka yang mempunyai pinjaman pendidikan yang harus dibayar. Dengan wang sampingan yang dijana, anda boleh membayar dahulu pinjaman pendidikan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya tunggakan.

#4 – Pengurusan Kewangan

Jika anda berjaya memperoleh pekerjaan yang baik dengan gaji lumayan, tidak salah untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri, namun kewangan harus diuruskan sebaiknya.

Usah leka kerana ramai orang yang terperangkap dengan hutang selepas graduasi malah ada yang sehingga disenaraikan muflis akibat pengurusan kewangan yang tidak betul. Rujuklah pihak yang pakar dalam urusan kewangan bagi membantu anda.

#5 – Kehidupan Berumah Tangga

Ramai juga yang memilih untuk mendirikan rumah tangga sebaik sahaja menamatkan pelajaran. Alhamdulillah bagi anda yang tidak mempunyai apa-apa masalah dan halangan. Namun, usahlah hal ini dianggap trend, contohnya anda berkahwin kerana ramai rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan anda berasa anda sudah ketinggalan.

Kenal pasti niat, matlamat dan kemampuan anda untuk berumah tangga agar sedikit sebanyak konflik dan masalah dapat dielakkan sejak dari awal. Allah telah berfirman dalam kitabNya yang agung:

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal (kepada-Nya)”(Ali ‘Imraan:159)

Allah sangat menyukai orang yang meletakkan pengharapan dan kebergantungan kepadaNya setelah usaha dan sesuatu keputusan dibuat. Seperti penerangan Sayyid Qutb dalam Kitab Tafsir Fi Zilal lil Quran; Ini adalah hubungan dengan hakikat yang besar, iaitu hakikat bahawa segala urusan kembali kepada Allah dan Allah berbuat terhadap apa yang dikehendakinya.

Maka, apa pun jalan yang kita pilih setelah bergraduasi, pastikan pilihan tersebut dinilai semasaknya. Tidak perlu mencemuh pilihan hidup orang lain atau membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain.

Setiap orang pasti mempunyai keutamaan masing-masing. Apa jua yang ditakdirkan di akhirnya pasti itu yang terbaik buat kita. Semoga Allah mengiringi kita di sepanjang jalan yang dipilih, Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami