Inspirasi

Jan Koum: Pengasas Whatsapp Bijak Menyempurnakan Idea

Oleh Anas  •  19 Jul 2017  •  3 min baca

“Saya mahu melakukan satu perkara dan melakukannya dengan bagus.”

Dilahirkan pada 24 Februari 1976 di Ukrainian SSR, Soviet Union, Jan Koum merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Beliau tinggal di sebuah pekan kecil yang terkesan oleh masalah politik dan anti-semitik.

Keadaan itu menyebabkan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1992. Turut serta ialah neneknya, manakala bapanya merancang untuk menyusul pada waktu yang lain. Walau bagaimanapun, bapanya jatuh sakit di Ukraine dan tidak dapat ke Amerika. Bapa Jan Koum meninggal dunia pada tahun 1997.

Usia Koum ialah 16 tahun ketika berhijrah ke Amerika. Menyesuaikan diri di tempat baru yang amat asing bukanlah perkara mudah. Ibunya mengambil upah menjaga kanak-kanak untuk mendapatkan wang, manakala Koum bekerja sebagai tukang cuci di kedai runcit.

Semasa berada di sekolah menengah, Koum jatuh hati dengan pemprograman. Dia juga menyedari bakatnya ada dalam bidang itu. Semasa tamat sekolah iaitu pada usianya 18 tahun, dia sudah pun menjadi jurutera rangkaian komputer yang mahir kerana usaha belajar sendiri.

Koum diterima untuk belajar di Universiti San Jose State. Bagi menampung kos pengajian, beliau bekerja dengan Ernst & Young, iaitu sebuah syarikat perakaunan global. Beliau menjadi penguji keselamatan di situ. Semasa bekerja, Koum ditugaskan untuk memeriksa tahap keselamatan di sistem pengiklanan Yahoo.

Koum berkenalan dengan Acton iaitu salah seorang pekerja terawal di Yahoo. Ditakdirkan mereka berdua mempunyai banyak persamaan, sekaligus menjadikan hubungan keduanya amat baik. Beberapa bulan selepas itu, Koum menyertai Yahoo sebagai jurutera infrastruktur.

Pada masa itu, beliau masih lagi seorang pelajar di Universiti San Jose State. Namun, hanya beberapa hari bekerja, Yahoo mengalami kerosakan sistem. Koum yang sedang berada di dalam kuliah, terus dipanggil bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut. Saat inilah Koum menyedari dia perlu memilih sama ada untuk belajar di universiti atau bekerja. Koum memilih untuk bekerja.

Koum dan Acton bekerja bersama-sama selama 9 tahun. Mereka bukan sahaja sahabat karib, tapi juga memiliki minat yang sama dalam dunia media sosial yang berkembang dengan pantas. Tapi, Yahoo tidak menawarkan peluang untuk mereka meneroka media sosial, jadi mereka meletakkan jawatan pada tahun 2007 untuk mencari ruang lain.

Koum dan Acton berehat selama setahun di mana mereka menjelajah ke serata Amerika Selatan. Selepas itu, kedua-duanya memohon untuk bekerja di Facebook dan Twitter. Malangnya, permohonan mereka ditolak.

Pada tahun 2009, Koum membeli iPhone. Semasa melawat App Stores, beliau menyedari potensi pasaran untuk aplikasi yang sesuai dengan iPhone. Beliau mendapat idea untuk menghasilkan aplikasi berkaitan komunikasi yang rendah kos.

Koum bekerjasama dengan Acton untuk menghasilkan aplikasi tersebut. Mereka menubuhkan sebuah syarikat bernama WhatsApp Inc. Lebih menarik, ia berlaku semasa tarikh hari lahir Koum. Salah satu prinsip asas mereka adalah syarikat mereka tidak akan menerima apa-apa bentuk keuntungan pengiklanan.

Whatsapp Messenger dilancarkan pada awal 2010. Messenger yang awal kerap kali bermasalah sehingga menyukarkan Koum dan Acton mempromosikan aplikasi mereka. Koum hampir-hampir berputus asa tetapi Acton memintanya agar bertahan untuk beberapa lama lagi.

Pada masa itu, tidak banyak messenger serupa dihasilkan. Lama-kelamaan Whatsapp menjadi terkenal di kalangan pengguna. Ia sangat popular sehingga membolehkan Koum dan Acton mendapatkan dana tambahan.

Setakat 2013, jumlah pengguna Whatsapp adalah sebanyak 200 juta orang. Ini telah menarik Facebook untuk membeli WhatsApp dengan harga US$ 19 bilion pada tahun 2014. Pada tahun 2016, jumlah pengguna WhatsApp meningkat kepada 1 bilion orang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami