Keluarga

6 Kisah Kehebatan Keluarga Yang Wajar Dijadikan Teladan Buat Anda

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  21 Jul 2017  •  7 min baca

Keluarga yang baik adalah keluarga yang sejahtera dan aman. Sebaliknya, keluarga yang tidak bahagia adalah pembawa mudarat kepada ahlinya.

Bermula dengan individu-individu yang baik akan membentuk keluarga yang harmoni dan seterusnya masyarakat yang damai.

Berikut adalah contoh-contoh keluarga yang terdapat dalam al-Quran yang dapat dijadikan teladan dan panduan;

#1 – Keluarga Imran

Nama Imran diabadikan menjadi sebuah nama surah dalam al-Quran, iaitu surah al-Imran ini. Kisah keluarga ini banyak menyentuh tentang isteri Imran (imra`atu Imran) dan puterinya; Maryam.

Allah s.w.t ingin membuktikan kepada hambanya bahawa ketua keluarga yang baik akan menjadikan ahli keluarga juga soleh solehah.

Imran hanyalah hamba Allah yang biasa sahaja, bukanlah dari kalangan rasul atau nabi pilihan Allah, tetapi Allah s.w.t mengangkat darjatnya dengan menceritakan ketaatan beliau dalam kitab suci.

Bahkan keimananya juga melahirkan anak dan generasi seterusnya yang juga hebat dan tersohor dengan ketakwaan.

Dikisahkan bahawa Imran dan isterinya sudahpun berusia, namun masih belum dikurniaan seorang pun anak.

Sehinggakan isteri Imran bernazar, seandainya dianugerahkan seorang anak, anak itu akan akan diserahkan untuk menjadi pelayan rumah Allah (Baitul Maqdis). Ini kerana beliau sangat menginginkan anak lelaki yang lebih sesuai untuk menghambakan diri sebagai khadim (pelayan) yang baik di Baitul Maqdis.

Allah s.w.t mendengar doa isteri Imran dengan menghadiahkan mereka kelahiran seorang bayi perempuan.

Kelahiran itu tetapi disambut dengan gembira dan syukur oleh pasangan itu. Namun, isterinya tetap wajib melaksanakan nazarnya itu walaupun anaknya itu adalah perempuan.

Lalu, anak perempuan yang diberi nama Maryam itu diasuh dan dididik oleh Nabi Zakaria a.s. Imran dan isterinya tidak mengetahui bahawa kelak dari anaknya itulah akan lahirnya seorang Rasul pilihan Allah bernama Isa as.

#2 – Keluarga Nabi Ibrahim A.S

Sejak muda lagi Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang lelaki yang gagah dan sangat berani. Baginda pernah bertindak menghancurkan berhala-berhala besar milik kaum musyrikin sehingga Baginda dibakar dengan api yang sangat besar.

Selain itu, banyak kisah yang terdapat dalam al-Quran tentang Nabi Ibrahim a.s. Salah satunya adalah ketika Allah s.w.t mengurniakan Baginda seorang putera ketika usianya sudah tua.

Manakala isterinya pula adalah seorang wanita yang tidak mampu melahirkan anak. Namun, dengan kuasa Allah, dikurniakanNya kepada Baginda seorang anak lelaki yang sempurna dan diberi nama Ismail.

Penantian Baginda yang sangat lama membuatkan Baginda terlalu menyayangi anaknya itu.

Tetapi, Allah s.w.t ingin menguji Nabi Ibrahim dengan menurunkan sebuah wahyu yang memerintahkan Baginda menyembelih Ismail.

Nabi Ibrahim a.s sungguh berat hati kerana terlalu mengasihi anaknya itu. Namun, Ismail bersedia dan rela disembelih oleh ayahnya lantaran mematuhi perintah Allah s.w.t.

Ketaatan Nabi Ibrahim a.s terhadap perintah Allah, Ismail telah digantikan dengan seekor kibas, bermakna mereka telah berjaya menempuh ujian Allah s.w.t yang sangat berat itu.

Peristiwa bersejarah itu seterusnya dijadikan rangkaian ibadah korban yang dituntut kepada umat Islam pada setiap hari raya Aidil Adha. Kisah ini dirakam dalam al-Quran pada surat ash-Shaffaat, ayat 100-107.

#2 – Keluarga Luqman Al-Hakim

Luqman merupakan seorang ahli hikmah (hakim) dan ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa beliau adalah seorang Nabi. Nama beliau telah diabadikan sebagai salah satu surah dalam al-Quran.

Kebanyakan ayat dalam surah Luqman adalah tentang nasihat-nasihat Luqman kepada anak-anaknya dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Pengajarannya, dalam mendidik anak-anak, pendidikan awal dan yang pertama adalah dari orang tuanya sendiri.

Ibu bapanyalah yang paling bertanggungjawab dalam memberi didikan serta memastikan setiap anak-anaknya menuju ke jalan yang baik.

#4 – Keluarga Nabi Ya’qub A.S

Nabi Ya’qub a.s merupakan putera kepada Nabi Ishak a.s dan cucu kepada Nabi Ibrahim a.s. Baginda mempunyai seorang putera yang juga seorang Nabi, iaitu Nabi Yusuf a.s.

Sehingga Nabi Yusuf digelari dengan al-Karim ibnu al-Karim ibnu al-Karim (orang yang mulia, putera dari orang yang mulia dan cucu dari orang yang mulia).

Kisah Nabi Ya’qub a.s bersama-sama dengan anak-anaknya diceritakan dalam surah Yusuf secara sempurna. Kisah tersebut dijuluki oleh Allah sebagai Ahsanul Qashash (kisah terbaik).

Selain itu, kisah tentang Nabi Ya’qub ini sangat menarik, selain mempunyai hikmah dan pengajaran yang besar dan berharga.

Kisah ini bermula dengan mimpi dari Yusuf yang ketika itu masih kenak-kanak. Baginda melihat sebelas bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya.

Yusuf menceritakan mimpinya itu kepada ayahnya. Lalu Nabi Ya’qub mengetahui bahawa anaknya itu akan menjadi seseorang yang dihormati dan disanjungi kelak.

Lalu Nabi Ya’qub meminta anaknya tidak menceritakan mimpinya itu kepada adik-beradiknya yang lain.

Sejak saat itu, kasih sayang dan perhatian Nabi Ya’qub kepada anaknya Yusuf semakin bertambah, lalu menjadikan anak-anaknya yang lain cemburu pada Yusuf. Lalu mereka melakukan khianat dengan melemparkan Yusuf ke dalam sebuah telaga tua.

Mereka pulang dengan membawa baju Yusuf yang telah dilumuri darah kambing, sambil mengadu pada ayah mereka bahawa Yusuf telah dimakan serigala.

Nabi Ya’kub sangat sedih, tetapi beliau mengetahui bahawa anak-anak itu berdusta kepadanya. Yusuf kemudian diselamatkan oleh kafilah dagang yang sedang menuju negeri Mesir lalu dijual sebagai hamba.

Yusof kemudiannya dibeli oleh seorang pemerintah istana kerajaan Mesir. Dipendekkan cerita, Yusuf membesar dengan melalui pelbagai dugaan (seperti digoda oleh isteri tuannya yang membuatnya Baginda dipenjarakan).

Sehinggalah Baginda akhirnya menjadi tokoh berpengaruh di Mesir. Pada suatu masa, Nabi Ya’qub menyuruh anak-anaknya meminta bantuan kepada penguasa Mesir.

Baginda Nabi Ya’qub tidak mengetahui sama sekali bahawa penguasa itu adalah anaknya sendiri yang sangat disayanginya.

Akhirnya selepas beberapa kali pertemuan, Nabi Yusuf a.s memberitahu kepada saudara-saudaranya bahawa dialah budak kecil yang mereka lemparkan ke dalam perigi buta dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, Nabi Ya’qub berjumpa kembali dengan puteranya itu dan hidup bersama Nabi Yusuf sebagai seorang pembesar berpengaruh di negeri itu.

#5 – Keluarga Nabi Daud A.S

Nabi Daud a.s merupakan salah seorang tentera dalam pasukan yang dipimpin oleh Thalut. Baginda berjaya membunuh Jalut (al-Baqarah: 251) dan akhirnya Baginda menjadi seorang raja besar dalam kalangan Bani Israil.

Puteranya, Nabi Sulaiman a.s juga seorang Rasul yang kelak mewarisi kekuasaan ayahnya. Jadi, keluarga Nabi Daud as adalah keluarga yang dikurniakan Allah s.w.t dengan kekuasaan dan pemerintahan yang besar.

Walaupun diberi kuasa dan pengaruh yang hebat, Nabi Daud dan keluarganya sangat taat kepada Allah. Baginda selalu memerintahkan ahli keluarganya untuk sentiasa mengerjakan solat dan berzikir kepada Allah s.w.t.

Selain banyak beribadah kepada Allah s.w.t, keluarga Nabi Daud juga mempunyai banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Nabi Daud a.s adalah manusia pertama yang mampu melenturkan besi dengan menggunakan tangannya, seperti membuat alat persenjataan dan pelbagai lagi.

Nabi Daud juga terkenal sebagai seorang raja yang adil dan bijaksana yang mampu menyelesaikan banyak masalah walaupun rumit dan sukar.

Semua sifat kepimpinan ini diwarisi kepada Nabi Sulaiman. Bahkan dalam beberapa hal, Nabi Sulaiman a.s memilik kelebihan yang lebih daripada bapanya.

Oleh itu, keluarga ini berkuasa dengan kekuatan ilmu dan kebijaksanaan.

#6 – Keluarga Nabi Syu’aib A.S

Selepas melarikan diri dari dikejar oleh tetera Firaun, Nabi Musa as tiba di negeri Madyan.

Di sana Nabi Musa melihat kerumunan manusia yang sedang berasak-asak untuk mengambil air dari sebuah telaga untuk mengambil air.

Tidak jauh dari kerumunan itu, kelihatan dua orang gadis sedang berdiri. Nabi Musa mendekati kedua gadis tersebut dan bertanya, kedua-dua gadis itu menjawab mereka menunggu sehingga orang ramai berkurangan.

Dengan segera Nabi Musa membantu kedua-dua orang gadis itu mengambil air. Tidak berapa lama kemudian, Nabi Musa diundang ke rumah mereka oleh ayah gadis-gadis itu iaitu Nabi Syuaib a.s.

Dalam surah al-Qashash ayat 25 disebutkan bahawa; salah seorang gadis yang disuruh oleh ayahnya itu datang mengundang Nabi Musa dengan penuh malu-malu.
Rasa malu gadis itu dibalas oleh Nabi Musa a.s dengan penuh bijak dengan meminta gadis itu untuk berjalan di belakangnya untuk menjaga pandangan dan bisikan nafsu.

Harga diri sebagai seorang lelaki muslimlah yang mendorong Nabi Musa untuk menjaga hati dan juga kesucian gadis itu.

Ternyata Nabi Syuaib sememangnya bermaksud menawarkan Nabi Musa untuk menikahi salah seorang puterinya.

Tawaran itu dibalas oleh Nabi Musa dengan pengabdian diri selama lebih kurang lapan tahun sebagai mahar pernikahan tersebut.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami