Oleh Rabiatul Adaweeyah • 26 Jul 2017 • 4 min baca
Dalam membina sesebuah institusi kekeluargaan yang baik dan menuju sempurna kita seharusnya mempunyai dua model.
Pertamanya contoh atau model yang dinyakini terbaik untuk diikuti dan diteladani, manakala sebuah lagi adalah model yang wajar dijadikan sempadan dan pengajaran.
Model keluarga yang baik semestinya yang mempunyai ciri-ciri tuntutan Islam yang sejati, iaitu yang meletakkan unsur takwa sebagai tunjangnya.
Manakala contoh keluarga yang wajar dielak adalah yang terdapat keburukan dan kecelaan yang semestinya dijauhi.
Sebagai umat Islam, kita sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai panduan, iaitu dengan menelusuri ayat-ayat al-Quran tentang bagaimana kehidupan berkeluarga para nabi dan golongan alim yang diceritakan.
Bahkan dalam al-Quran juga terdapat empat model keluarga yang sangat baik untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam;
Kisah kehidupan Nabi Nuh a.s adalah keimanannya terhadap Allah s.w.t tinggi, namun tidak bagi isteri dan anak-anaknya. Begitulah dikatakan iman tidak dapat diwarisi.
Nabi Nuh a.s, Allah utuskan untuk menyeru kaumnya ke jalan Allah namun hampir semua daripada kaumnya tidak mahu mengikutinya bahkan mempermain-mainkan Baginda.
Lebih-lebih Allah mengutuskan perintah bahawa Nabi Nuh membina sebuah bahtera besar di atas gunung yang tinggi.
Hal itu semakin menjadi permainan kaumnya yang pelik dan hairan melihat sebuah bahtera besar dibina di atas gunung, tidak berdekatan lautan.
Nabi Nuh mengkhabarkan kepada kaumnya bahawa akan terjadi sebuah banjir besar tidak lama lagi. Namun kaumnya masih ingkar termasuklah ahli keluarganya. Nabi Nuh terus ditertawakan.
Sewaktu Allah menunjukkan kekuasaan-Nya, dengan melandakan sebuah banjir yang begitu dasyat dan hampir menenggelamkan wilayah, golongan ingkar masih mentertawakan Baginda dan enggan menaiki kapal yang dibina oleh Baginda.
Nabi Nuh a.s bersama orang-orang yang taat menyelamatkan diri dengan menaiki kapal tersebut.
Di saat hampir tenggelam pun isteri dan anak-anaknya masih ingkar dan tenggelam bersama kaumnya yang juga sama ingkar.
Asiyah adalah seorang isteri yang taat kepada agama namun beliau mempunyai suami yang ingkar pada Allah s.w.t, bahkan mengakui bahawa dirinya adalah ‘Tuhan’.
Bukan itu sahaja, suaminya juga seorang yang zalim dan kejam. Beliau ialah Firaun iaitu pemerintah sebuah kerajaan besar ketika itu.
Manakala Asiyah adalah seorang wanita yang solehah, lurus hatinya selain sangat taat pada Allah s.w.t Allah menguji beliau dengan suaminya tidak mahu mengikuti ajaran Allah s.w.t.
Sungguhpun begitu Asiyah tetap menjaga keteguhan dan ketakwaannya pada Allah s.w.t sehingga akhir usianya.
Ali Imran bukanlah seorang rasul mahupun nabi, beliau merupakan hamba Allah yang biasa. Tetapi Allah s.w.t memberi kemuliaan kepadanya dengan mengabadikan namanya dalam kitab al-Quran.
Ali Imran adalah seorang lelaki yang sangat soleh, taat pada ajaran agama dan bertakwa pada Allah s.w.t. Begitu juga dengan isterinya yang solehah dan mempunyai keimanan yang tinggi sepertinya.
Dari pasangan hebat inilah lahirnya seorang wanita solehah yang hebat kedudukanya di sisi Allah s.w.t, iaitu Maryam: ibu kepada Nabi Isa a.s.
Rasulullah s.a.w, merupakan model keluarga yang terbaik sehingga akhir zaman. Sejak dari dilahirkan sehingga baginda wafat, keluarga Baginda mempunyai teladan yang baik untuk dicontohi dalam pelbagai aspek.
Dari kecil lagi Baginda sudahpun digelar sebagai ‘al-Amin’ kerana kebaikan budi pekerti Baginda walau masih kanak-kanak ketika itu.
Rasulullah s.a.w juga memberikan teladan dan mengajarkan pada umatnya dalam berhubungan dengan sesiapa jua, sama ada isteri, anak-anak, sahabat handai, jiran dan sebagainya.
Sudah semestinya kehidupan Baginda layak ditelusuri sebagai teladan dalam mengharungi kehidupan berkeluarga kita.
Empat model keluarga yang Allah s.w.t abadikan dalam al-quran yang tentu juga untuk pembelajaran bagi kita seharusnya diambil sebagai teladan dan sempadan.
Setiap satunya mempunyai ujian yang berbeza, namun Allah tetap memberi kemuliaan kerana kesabaran dan keutuhan iman yang berjaya diharungi oleh mereka.
Lantas kita wajib menjadikan model ini sebagai inspirasi bagi melahirkan generasi yang juga memiliki ketaatan dan ketakwaan pada Allah s.w.t seperti yang diceritakan di dalam al-Quran.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.