Oleh Nur Ismalina Haris • 11 Jun 2017 • 4 min baca
Sesungguhnya telah tertulis dalam Al-Quran bahawa seindah-indah akhlak dan sebaik-baik pekerti ada pada Nabi SAW sanjungan kita. Seorang yang penyabar, penyantun, memiliki budi pekerti yang mulia juga seorang yang sangat pemurah.
Sikap pemurah Nabi Muhammad SAW jelas terlihat pada bulan Ramadan sepertimana Ibnu Abbas menyatakan bahawa
“Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang pemurah dan sikap pemurah baginda semakin bertambah pada bulan Ramadhan.”(H.R Al-Bukhari)
Maka seharusnya kita mencontohi sikap pemurah Rasulullah kerana baginda adalah suri teladan yang baik untuk kita ikuti dalam mengharap rahmat dan keredhaan Allah.
Siapa bilang sedekah itu boleh dilakukan jika kita kaya sahaja? Dan adakah maknanya sedekah itu dengan menghulurkan wang ringgit atau hanya boleh bersedekah dengan harta dunia semata?
Tidak, sama sekali tidak. Sedekah itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara juga dalam pelbagai bentuk waima sekadar bermanis muka dengan sekilas senyuman terhadap saudara kita.
Begitu juga dengan mendoakan kebaikan terhadap orang lain, bersedekah dengan ilmu, mempermudahkan urusan orang yang dalam kesusahan, menghalang daripada melakukan kejahatan bahkan mengucapkan perkataan-perkataan yang baik juga dipanggil sedekah.
Perkara-perkara ini jika diikutkan adalah ringan untuk kita lakukan seperti Rasulullah SAW yang bersikap pemurah melebihi angin yang berhembus iaitu sangat mudah dan cepat dalam memberi.
Kadang pernah tak terjadi dalam kehidupan kita iaitu orang yang sama sahaja kita berjumpa yang meminta sedekah dengan kita? Hingga mungkin terdetik dalam hati kita rasa kemalasan untuk memberi sedekah kepada orang yang sama sahaja.
Abu Zaid al-Khudri melaporkan bahawa pada suatu hari, beberapa orang daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah. Mereka ingin meminta sesuatu daripada baginda. Baginda pun memberikan apa yang diminta oleh mereka.
Tidak lama kemudian, mereka datang kembali dan meminta sesuatu daripada baginda. Baginda memberi apa yang mereka minta hinggalah mereka datang untuk kali yang ketiga dan meminta kepada Rasulullah. Rasulullah tetap memberi apa yang mereka minta. Tatkala keperluan itu habis, Rasulullah menyatakan;
“Sesungguhnya apa yang ada pada aku tidak pernah aku tahan dan simpan. Namun, sesiapa yang menjaga kesucian diri, Allah menjaga kesuciannya. Sesiapa memperkayakan hatinya, Allah menjadikan dirinya kaya. Sesiapa yang bersabar, Allah melapangkan jalan untuknya kerana kesabaran itu. Tidak ada anugerah yang lebih baik diberikan oleh Allah kepada seseorang daripada hati yang bersabar.”
Dan harus diingat bahawa sedekah itu haruslah diberi dengan hati yang ikhlas. Jika tiada upaya untuk bersedekah, maka tolaklah dengan baik. Dalam surah Al-Baqarah ayat 263, Allah telah memberi peringatan:
“Menolak peminta-peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar”
Tidak dapat dinafikan bahawa bersedekah dengan hati yang ikhlas akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda sehingga 700 kali ganda sepertimana Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261;
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Selain itu, terdapat pelbagai lagi ganjaran hebat bagi insan yang suka bersedekah sepertimana yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis. Antaranya ialah:
#1. Memasuki syurga melalui pintu sedekah.
#2. Terdiri daripada 7 golongan yang mendapat naungan daripada Allah di akhirat.
#3. Dapat memadamkan api siksaan di dalam kubur.
#4. Merupakan antara 3 amalan yang tidak akan terputus pahalanya.
#5. Mampu menghapuskan dosa.
Bayangkan pula jika kita beroleh rezeki sedekah kita jatuh pada hari Lailatul Qadr, Masya-Allah, dengan izin-Nya kita akan mendapat pahala yang lagi berlipat kali ganda.
Sebagai hamba yang penuh kedhaifan dan kelemahan, kita sangat dianjurkan untuk sentiasa melakukan amal kebaikan pada setiap detik kerana kita tidak tahu amalan yang mana satukah akan membantu membawa kita ke syurga-Nya.
Jangan pernah lelah dalam bersedekah, jangan pernah jemu dalam memberi. Sesungguhnya Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang suka bersedekah.
The More You Give, The More You Get. Insya-Allah.
“Janganlah kamu takut kepada kemiskinan karena membelanjakan harta di jalan Allah.”(Surah Al-Baqarah: 245)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.