Thabit Ibn Qurra adalah pakar dalam bidang matematik dan astronomi. Ketinggian ilmunya dikagumi seorang ahli matematik iaitu Muhammad Ibn Musa Ibn Shakir.
Justeru, Muhammad Ibn Musa memilih Thabit untuk menyertai kumpulan ahli sains di Baghdad yang diperintah oleh Khalifah Abbasiyah.
Thabit Ibn Qurra dilahirkan pada tahun 836 C.E di Harran yang mana sekarang digelar sebagai Turki. Di Baghdad, beliau berguru dengan Banu Musa.
Dalam tempoh itu, Thabit menyumbangkan kebijaksanaannya dalam pelbagai cabang ilmu terutamanya matematik, astronomi dan mekanik. Beliau juga telah mentafsirkan sejumlah besar karya daripada Greek ke bahasa Arab.
Sumbangan terbesar Thabit adalah dalam bidang matematik dan astronomi. Ini mungkin kerana latar belakang Thabit yang berasal daripada kaum yang menyembah bintang.
Kaum tersebut mempelajari bintang untuk mengenali apa yang mereka sembah. Rasa ingin tahu ini membuatkan mereka tidak berhenti melakukan kajian. Oleh itu, secara tidak langsung, mereka melahirkan ramai cendekiawan dalam bidang matematik dan astronomi.
Golongan itu mengambil budaya Greek dalam kehidupan mereka selama ini sehinggalah Islam menjajah mereka. Jadi, Thabit bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Greek, malah dalam Bahasa Arab juga.
Pada masa yang sama, penduduk di tempat kelahiran Thabit bertutur menggunakan sejenis bahasa dari Tenggara Turki yang dinamakan Syriac. Ini menjadi satu lagi kelebihan yang dimiliki oleh Thabit.
Menyahut jemputan Muhammad Ibn Musa Ibn Shakir ke Baghdad, beliau menerima latihan matematik dan perubatan yang mana adalah suatu kebiasaan di kalangan cendekiawan pada masa itu.
Beliau kemudiannya kembali ke Harran. Tetapi falsafah liberalnya telah menyebabkan beliau dipanggil ke mahkamah agama. Beliau digesa untuk menarik balik pemikiran ‘bidaah’nya.
Lalu, beliau meninggalkan Harran dan menjadi ahli astronomi di Baghdad. Di sana, beliau berada di bawah naungan Khalifah al-Mu’tadid iaitu salah seorang khalifah terhebat dalam empayar Abbasiyah.
Pada masa itu ada ramai penaung yang menjadi ahli sains berbakat untuk menterjemahkan teks Greek kepada bahasa Arab. Oleh itu, Thabit yang mahir dalam bahasa, selain pakar dalam matematik, telah menterjemahkan dan menyemak banyak karya penting Greek.
Malah, banyak teks Greek yang masih ada sehingga kini adalah kerana adanya usaha untuk membawa ilmu Greek ke dalam dunia Arab.
Oleh itu, Thabit bukan sahaja fasih dalam ilmu Greek, malah beliau juga merupakan cendekiawan bijaksana yang telah menyumbang kepada penemuan-penemuan baru dalam bidang matematik dan astronomi.
Kitab Fi’l-qarastun adalah karya Thabit yang penting yang membincangkan tentang mekanik. Karya ini lahir sebagai karya penting sehingga menarik minat Gherard dari Ceremona untuk menterjemahkannya dalam bahasa Latin. Hasilnya, Fi’l-Qarastun bertambah popular.
Thabit mempunyai seorang pelajar bernama Abu Musa Isa Ibn Usayyid. Beliau merupakan seorang penganut Kristian yang berasal dari Iraq.
Ibn Usayyid telah bertanya pelbagai soalan kepada gurunya itu semasa berada di bawah didikan beliau. Maka jawapan-jawapan yang diberikan oleh Thabit untuk persoalan itu dikumpulkan menjadi sebuah manuskrip.

