Ibadah

Ramadan Sudah Tiba, Bagaimana Kita Melaluinya?

Oleh Tim Tazkirah  •  29 May 2017  •  4 min baca

Bulan Ramadan sudah menjelma. Ia adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk menggandakan ibadat dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Namun, selama bertahun-tahun kita menjalani bulan Ramadan, pernahkah kita terfikir mengapa momentum ibadah yang dilakukan itu tidak konsisten selepas Ramadan berakhir.

Contohnya berapa ramai orang yang boleh mendirikan solat isyak berjemaah di masjid pada bulan Ramadan dan berhenti melakukannya selepas Ramadan berakhir. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Mengapakan perubahan itu tidak konsisten?

Lazimnya, manusia suka memulakan perubahan apabila sesuatu peristiwa berlaku. Contohnya;
“Saya akan mulakan qiamullail apabila masuk 10 malam terakhir”

“Saya akan mula membaca Quran apabila Ramadan tiba”

Percayalah, permikiran seperti ini tidak akan membawa sebarang perubahan kerana kita melakukan sesuatu disebabkan ransangan sekeliling. Sebab bulan Ramadan, sebab Lailatul qadar. Bukan dengan kefahaman kita mengenai hikmah Ramadan dan Lailatul qadar itu sendiri.

Hakikatnya kita tidak bersedia pun menghadapi Ramadan atau merancang memperkuatkan keimanan kita. Kita hanya ikut sahaja dan mengharapkan perubahan berlaku. Tetapi, malang seribu kali malang, perubahan itu tidak berlaku.

Oleh itu,pernahkah anda membayangkan untuk menjadikan Ramadan sebagai agen perubahan atau transformasi hidup anda? Jika mahu, baca 6 tips ini supaya Ramadan yang ditempuhi berjaya meningkatkan kualiti diri anda dan membawa perubahan yang positif.

#1 – Buat Ramadan Count Down

Mengira detik tibanya Ramadan terutamanya di rumah atau di tempat kerja akan membantu mewujudkan aura keterujaan dalam kalangan keluarga dan rakan taulan. Letakkan kalendar count down Ramadan di tempat terbuka supaya kita sentiasa melihat dan memikirkannya.

Kegembiraan akan bertambah apabila kita sentiasa bercakap tentangnya bersama orang sekeliling. Di media sosial, kita juga boleh mengingatkan netizen lain akan kehadiran Ramadan dengan mengemaskini detik masa yang akan dilalui untuk menyambut Ramadan.

#2 – Perbaharui Info Tentang Ramadan

Info berkaitan Ramadan sangat penting kerana ia akan membantu kita membuat persiapan yang rapi sebelum bulan baraqah itu menjelma. Memahami hikmah di sebalik Ramadan akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk menghadapinya.

Contohnya, fahami kembali hikmah berpuasa, mengapa ibadah tarawih hanya wujud di bulan Ramadan. Lazimi diri kita untuk memahami perkara ini supaya bulan Ramadan itu berjaya dihayati dengan baik dan sempurna.

#3 – Rancang Ramadan Kita

Sesetengah orang akan mengisi Ramadan mereka dengan aktiviti umrah. Ada juga yang mengambil cuti bekerja selama sebulan semata-mata ingin memfokuskan pada ibadah. Itu pelan Ramadan mereka, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita menyusun strategi untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya?

Dengan hanya membuat pelan, barulah kita tahu sasaran yang ingin dicapai. Contohnya berapa kali qiamullail kita dalam seminggu, siapa yang akan dijemput untuk berbuka puasa dan sebagainya. Tulis semua perancangan anda dan fikirkan bagaimana untuk menjayakannya.

#4 – Bersedia Dengan Sebarang Kemungkinan

Sila lihat kembali bagaimana Ramadan yang bakal anda lalui. Adakah anda mempunyai peperiksaan dalam bulan Ramadan atau anda ingin mendaftar di mana-mana kolej untuk menyambung pengajian. Lihat jadual anda. Pastikan ibadah anda di bulan puasa tidak terganggu oleh apa-apa aktiviti yang berlaku sepanjang Ramadan.

Contohnya, di akhir Ramadan pasti umat Islam akan sibuk dengan persiapan hari raya. Oleh itu, ada baiknya kita membuat persiapan raya sebelum Ramadan. Sangat rugi untuk kita meninggalkan ibadah semata-mata memfokuskan pada persiapan raya terutamanya di akhir- akhir Ramadan.

#5 – Aktifkan Persediaan Rohani

Kita semua maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan berpuasa, bulan mujahadah, bulan membaca Quran dan sebagainya. Lantaran itu, bagaimanakah persediaan rohani kita untuk menghadapinya. Sudahkah kita melazimi diri kita dengan puasa-puasa sunat, menambahkan bacaan Quran atau bersedekah?

Sebelum Ramadan,Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memperbanyakkan puasa di bulan Rejab dan Syaaban. Ibadah ini dibuat supaya mereka lebih bersedia menghadapi Ramadan.

#6 – Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Tabiat Buruk

Kenal pasti apa tabiat buruk anda? Tidur selepas subuh, ketagih media sosial atau ketagih merokok. Sebelum tiba bulan Ramadan buat perubahan secara beransur-ansur. Jika rasa mengantuk selepas subuh, pergilah bersenam. Jika terasa sangat lalai dengan media sosial, cuba belajar menahan diri daripada membukanya.

Alihlah perhatian dengan membaca buku atau berbual santai dengan teman. Banyakkan bacaan buku-buku berfaedah yang memotivasikan kita untuk kekal bersemangat menempuhi Ramadan.

Kesimpulannya, bulan Ramadan hanya hadir setahun sekali dalam hidup kita. Dalamnya terdapat rahmat Allah, keampunanNya dan pembebasan daripada api neraka jika kita benar-benar besungguh menghayatinya. Oleh itu, rebutlah peluang ini dengan membuat persiapan rohani, fizikal dan mental dengan sebaiknya agar peluang yang ada berjaya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sesiapa yang mendirikan ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu”(HR Muttafaqun Alayhi)

Semoga bulan Ramadan yang dilalui akan memberi impak positif untuk kehidupan dunia dan akhirat kita. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami