Selepas kuliah malam tadi saya beritahu bahawa minggu depan saya tidak dapat hadir. Kemungkinan saya ke Putrajaya, insya Allah.
Selepas solat Isyak, ada sedikit jamuan. Ketika saya berkata,
“Terlupa mahu beritahu Pok Joh itu tentang kuliah saya minggu depan. Nanti dia datang pula.”
Jemaah sebelah saya berkata,
“Oh tidak mengapa, Pok Joh memang selalu datang dan solat di sini, ada kuliah atau tidak ada, beliau tetap datang.”
Ya, Pok Joh selalu datang. Kenapa saya mahu beritahu beliau tentang hal itu? Beliau kurang dengar, ada kemungkinan beliau tidak dengar pengumuman saya sewaktu kuliah tadi.
Sambung jemaah tadi,
“Pok Joh selalu solat di masjid surau yang dia mahu. Kadang kala jarak yang jauh ke Kampung Anak Ikan, Kampung Jabi, dengan motosikal sahaja.”
“Ada juga sampai ke Kampung Bintang,”
sambung jemaah lain.
Terbeliak biji mata saya,
“Kampung Bintang sana?“
“Ya, dia pergi dengan motor sahaja.”
Jemaah seorang lagi berkata,
“Beliau tidak suka solat di surau berhampiran dengan rumahnya. Beliau tidak suka pada imam. Mungkin imam itu hisap rokok. Beliau tidak suka orang hisap rokok.”
Jarak kampung-kampung itu dari rumahnya lebih kurang 20km hingga 27km.
“Dia juga tidak pernah makan di rumah,”
kata seorang jemaah.
Saya tambah kaget.
“Tidak pernah?”
“Dia pernah beritahu, mungkin sudah tiga puluh tahun tidak makan di rumah. Beliau selalu makan di kedai. Selalunya di kedai Sate Lanang, ada juga kedai nasi di Gong Nering.”
Dalam hati terdetik mungkin hari raya beliau makan di rumah.
Kita tidak tahu apakah amalan kita yang akan menarik kita ke syurga. Mungkin daripada usaha kita ke sana ke mari membantu orang. Atau mungkin daripada kesabaran kita melayan karenah pasangan kita, atau mungkin ibadat solat dan puasa yang kita usahakan setiap hari.
Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad S.A.W mengisahkan tentang seorang pelacur yang masuk syurga dengan berusaha memberi minum seekor anjing yang dahaga.
Kita memang tidak tahu, yang penting, kita buat apa yang membuatkan kita bahagia dan rasa tenang hati. Selagi mana menepati nas agama, kita buat-buat sehingga Allah menarik nafas kita.
Mungkin kita masuk syurga daripada perbuatan kita membuang kayu di jalan raya. Atau membantu kucing yang terjatuh ke dalam longkang, atau mungkin juga membantu rakyat negara ini memilih pemimpin yang baik dalam pilihan raya. Kita tidak tahu.
Pok Joh ke sana ke mari pergi ke surau yang dia suka. Solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu. Itulah bahagia buatnya.
Apa yang penting, kita buat kebaikan sebanyaknya. Kita buat kebaikan tanpa lelah, tanpa resah. Di dunia kita buat, di syurga kita berehat.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.