Ibadah

10 Amalan Rasulullah Di Bulan Ramadan

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  24 May 2017  •  4 min baca

Ramadan adalah bulan suci yang lebih baik dari seribu bulan. Ramadan juga adalah bulan yang dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya. Tersangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang itu, bahkan membiarkan peluang itu pergi begitu sahaja.

Nabi Muhammad SAW banyak memberikan contoh kepada umat Islam dalam mengamalkan ibadah sunat dalam bulan Ramadan. Berikut adalah amalan yang dianjurkan untuk diperbanyak selama sebulan Ramadan.

#1 – Melaksanakan Makan Sahur

Bersahur merupakan perkara paling penting dalam ibadah puasa. Bukan sahaja mendapat ganjaran pahala, sahur juga membantu mengekalkan tenaga untuk berpuasa pada keesokannya.

“Bersahurlah kalian, kerana pada santap sahur itu ada keberkahan.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

#2 – Menyegerakan Berbuka Puasa

Rasulullah juga mengajarkan kepada kita untuk segera berbuka apabila sudah masuk waktunya. Ini kerana perbuatan ini banyak kebaikan dan keberkatannya. Rasulullah SAW bersabda;

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

#3 – Bertadarus Dan Mengkhatamkan al-Quran

Bulan Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran. Selain itu, mengaji al-Quran juga sudah sinonim dengan bulan Ramadan al-Mubarak.

Dengan itu, bertadarus serta mengkhatam al-Quran menjadi pengisian utama Baginda Rasulullah SAW dan para solihin. Seharusnya amalan itu diteruskan oleh umat Baginda pada bila-bila masa pun.

#4 – Menyebarkan Kebaikan

Bulan Ramadan juga dijadikan Rasulullah sebagai waktu untuk berdakwah. Lalu, ketika ini juga sesuai kita jadikan sebagai cara untuk mengajak ke arah kebaikan. Ini kerana pada waktu ini ramai yang sedang cuba berubah ke arah kebaikan, dan mudah untuk orang ramai menyahut seruan kebaikan itu.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung.”(al-Imran: 104)

#5 – Memberi Makanan Berbuka Puasa Kepada Orang Lain

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”(Hadis Riwayat Nasa’i dan Tirmidzi)

Sungguh besar bagi golongan yang bersedekah makanan berbuka kepada orang yang berpuasa. Hal ini juga merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sangat baik sekali untuk diikuti dan dijadikan sebagai satu tindakan wajib dalam bulan Ramadan.

#6 – Solat Tarawih

Solat tarawih merupakan ibadah sunah yang dilakukan hanya dalam bulan Ramadan. Solat ini boleh dilakukan secara berjemaah di masjid ataupun secara bersendirian di rumah.

Rasulullah SAW turut mendirikan solat Tarawih dan Baginda pernah mendirikan solat sunat tersebut secara berjemaah dan bersendiri.

#7 – Bertaubat

Bulan Ramadan sangat sesuai dijadikan waktu untuk bertaubat kepada Allah SWT. Ini kerana Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu keampunan kepada semua hambaNya pada bulan yang mulia ini.

#8 – I’tikaf

Iktikaf merupakan sebuah perbuatan berdiam diri di masjid dengan niat untuk beribadah kepada Allah SWT. Baginda Rasululllah sering beriktikaf pada awal, pertengahan dan pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan. Bahkan Baginda juga sangat kerap beriktikaf di luar bulan Ramadan. Imam az-Zuhri berkata:

“Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan iktikaf padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak beliau datang ke Madinah sampai beliau wafat.”

#9 – Menghidupkan Malam Lailatul Qadar

Dalam bulan Ramadan terdapat satu malam yang sangat istimewa, iaitu malam Lailatul Qadar yang kebaikannya melebihi kebaikan seribu bulan. Baginda SAW sangat menjaga sepuluh malam-malam terakhir demi mendapatkan Lailatul Qadar.

Dengan itu, Baginda pula menyuruh kita mencarinya di setiap malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW;

“Barangsiapa yang melakukan ibadah salat di malam Lailatul Qadar berdasarkan iman dan ihtissab, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

#10 – Umrah

Pahala menunaikan umrah di bulan Ramadan adalah sangat besar dan berlipat kali ganda. Rasulullah SAW berkata kepada Ummu Sinan,

“Apabila datang bulan Ramadhan, hendaklah ia melakukan umrah, kerana nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah SAW.”(HR. Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW telah menunjukkan cara bagi menjalani bulan Ramadan dengan penuh keberkatan. Dan kita sebagai umat Baginda seharusnya menjadikan amalan-amalan ini sebagai panduan dalam memperoleh Ramadan yang lebih bermakna. Semoga setiap amalan kita di bulan Ramadan ketika ini dan pada masa akan datang sentiasa diterima oleh Allah SWT.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami