Cut Nyak Dien dilahirkan di Lampadang pada tahun 1848. Beliau berasal dari keturunan sultan dan bangsawan Aceh.
Ayahnya bernama Teuku Nanta Seutia adalah seorang bangsawan dari Minangkabau, manakala ibunya adalah puteri dari golongan bangsawan Lampagar.
Dari kecil Cut Nyak Dien dididik dengan ajaran agama yang baik. Beliau juga membesar sebagai wanita Aceh yang cantik, berbudi pekerti, cekap dalam ilmu rumahtangga.
Dengan itu beliau membesar sebagai seorang wanita yang baik dan taat, sehinggakan digilai oleh ramai pemuda ketika itu.
Pada tahuan 1862, ketika Cut Nyak Dien berusia 12 tahun beliau dinikahkan dengan Teuku Ibrahim Lamnga, putera dari bangsawan Lamnga XIII. Teuku Ibrahim merupakan tokoh yang berjuang menentang penjajahan Belanda ketika itu.
Cut Nyak Dien pada awalnya terlibat dalam melawan Belanda dengan mengajar para wanita dalam hal mendidik bayi, selain menanam semangat kepahlawanan melalui syair-syair yang bertemakan semangat jihad kepada anak-anak mereka.
Namun, sewaktu peperangan kian memuncak, Cut Nyak Dien melibatkan diri dalam peperangan dengan semangat yang menggunung.
Ketika Perang Aceh meletus pada tahun 1873, Cut Nyak Dien menjadi pemimpin pasukan di barisan paling hadapan, mereka bersama-sama melawan Belanda tanpa sedikit pun gentar walaupun persenjataan Belanda jauh lebih lengkap dan canggih.
Setelah bertahun-tahun bertempur, pasukan Cut Nyak Dien dan Teuku Ibrahim terpaksa berundur ke daerah yang lebih terpencil, sehinggakan dalam pertempuran di Glee Tarun pada 29 Jun 1878 Teuku Ibrahim gugur.
Cut Nyak Dien amat sedih dengan kematian suaminya itu, namun tetap tekad untuk meneruskan perjuanganya.
Pada tahun 1880, Cut Nyak Dien dilamar oleh Teuku Umar, iaitu rakan pejuangan. Pada awalnya beliau menolak, namun dengan menikahi Teuku Umar akan memudahkan usahanya menentang musuh.
Mereka bernikah dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Cut Gambang. Lalu mereka beruda beterusan berganding usaha dan tenaga menentang Belanda dengan semangat berapi-api.
Pelbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan penjajahan, termasuklah serangan senjata secara gerila.
Teuku Umar pula berpura-pura menjalinkan hubungan baik dengan pihak Belanda sehingga mendapat kepercayaan daripada pihak penjajah itu.
Teuku Umar, Cut Nyak Dien dan pasukan tentera Islam terus menerus membina kekuatan dengan menyerang dan menghancurkan markas tentera Belanda.
Teuku Umar yang dianggap mengkhianati Belanda diburu dengan dilancarkan operasi besar-besaran bagi menangkap mereka berdua.
Pengkhianatan ini disebut sebagai ‘Het verraad van Teukoe Oemar’ (Pengkhianatan Teuku Umar).
Pada 11 Februari 1899, usaha pihak Belanda berjaya membunuh Teuku Umar di Meulaboh akibat ditembak.
Walaupun sedih dengan kehilangan suaminya itu, Cut Nyak Dien masih tetap bersemangat meneruskan perjuangannya dan memimpin pasukan kecilnya melawan Belanda di daerah pedalaman Meulaboh. Beliau sesekali tidak patah semangat dan bersumpah;
“Demi Allah, selama pahlawan Aceh masih hidup, peperangan tetap ku teruskan demi kepentingan agama, kemerdekaan bangsa, dan negara!”
Lalu beliau meneruskan perjuangan dengan gerilanya selama 16 tahun dalam hutan dan membuat serangan terhadap Belanda sehinggalah pasukannya kian mengecil.
Menurut catatan, beliau akhirnya tertangkap oleh tentera Belanda pada 6 November 1905, dalam keadaannya yang sudah lanjut usia dengan matanya yang buta.
Demi mengelakan semangat perjuangan masyarakat Aceh kembali semula, Cut Nyak Dien diasingkan di daerah pedalaman Sumedang.
Dikatakan beliau sendiri merahsiakan identiti sebenarnya, selain meneruskan kehidupannya dengan mengajar ilmu agama kepada penduduk setempat.
Cut Nyak Dien meninggal dunia pada 6 November 1908 dengan membawa bersama-sama semangat perjuangan yang sedikit pun tidak pernah luntur.
Semoga jasa dan nyawa yang dipertaruhkan oleh beliau dibalas dengan doa dan kebaikan kepadanya, Amin.

