Tokoh

Thariq Bin Ziyad Tokoh Pembuka Pintu Islam Di Andalusia

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  19 May 2017  •  4 min baca

Thariq bin Ziyad dilahirkan pada tahun 50H atau 670M di Kenchela, Aljazair. Beliau tidak berketurunan Arab, tetapi berasal dari kabilah Barbar yang tinggal di Maghribi.

Thariq bin Ziyad juga dikenali dalam sejarah Sepanyol sebagai ‘Taric el Tuerto’ yang bermaksud ‘Thariq yang memiliki satu mata’.

Beliau adalah seorang jeneral dari dinasti Umaiyah yang memimpin penaklukan Islam ke atas wilayah al-Andalus (Sepanyol, Portugal, Andorra, Gibraltar dan sekitarnya) pada tahun 711M.

Pada awalnya Thariq bin Ziyad adalah suruhan kepada amir dari kerajaan Umawiyah di Afrika Utara, iaitu Musa bin Nushair.

Selepas Musa membebaskannya, beliau diangkat menjadi panglima perang. Semasa perjalanan menakluki Afrika Utara, Musa sangat kagum dengan kesungguhan dan keberanian Thariq sehingga mereka berjaya menakhluk kota al-Hoceima, di Marocco.

Selepas Musa bin Nushair membuka jalan pasukan Islam ke Eropah, Thariq bin Ziyad melakukan penakhlukan ke atas Andalusia.

Atas perintah Khalifah al-Walid bin Abdul Malik, Thariq membawa pasukan Islam menyeberangi Selat Gibraltar menuju Eropah. Penakhlukan itu telah mengubah sejarah bangsa Eropah ketika itu melalui agama Islam.

Sebelum Islam menguasai Andalus, daratan Siberia itu diperintah oleh Raja Roderick yang dikatakan sangat zalim dan tidak disukai rakyatnya. Penduduk Andalusia meminta pertolongan penguasa Islam untuk menggulingkan raja mereka itu dan membebaskan mereka dari kezaliman.

Ketika itu juga, Sepanyol berada pada akhir pemerintahan kerajaan Visigoth yang sedang merosot. Pemerintahan itu sangat mementingkan keuntungan dengan memihak kepada golongan kaya dan bangsawan dengan membebankan rakyat melaui sistem pajak.

Kumpulan agamawan juga semakin berpengaruh dalam sistem pentadbiran. Negara itu juga diserang dengan wabak penyakit yang membunuh ramai penduduknya.

Atas beberapa faktor dalaman negara itu, seorang Gabenor di Ceuta yang bernama Julian menemui Musa bin Nushair untuk meminta bantuan, iaitu diminta menyerang Sepanyol.

Julian menceritakan semua kelemahan dan kekuatan Sepanyol, bahkan berjanji akan membantu pasukan Islam dalam serangan ke atas Sepanyol.

Musa bin Nushair menyampaikan hal tersebut kepada Khalifah al-Walid, lalu Khalifah memerintahkan Musa agar terlebih dahulu mempelajari kekuatan Sepanyol

Pada bulan Syaaban tahun 92H bersmaan 710M, Thariq bin Ziyad bersama 7,000 pasukan Muslimin menuju ke Sepanyol menggunakan empat kapal yang disediakan oleh Julian.

Thariq dan pasukannya berjaya sampai di Jazirah al-Khadhra (Algeciras). Mereka juga singgah di beberapa daerah seperti Buhairah, di selatan Sepanyol. Thariq dan pasukannya menakluk benteng dan beberapa kota di situ.

Sebaik saja mendengar berita kedatangan kaum muslimin, Roderick segera mempersiap tenteranya yang berjumlah 100,000 orang. Mereka menuju ke selatan negara itu untuk menyambut kedatangan Thariq bin Ziyad dan pasukan Islam.

Apabila Thariq bin Ziyad mengetahui bahawa Roderick membawa pasukan yang begitu besar, beliau segera menghubungi Musa bin Nushair untuk meminta bantuan.

Lalu dikirim pasukan tambahan yang jumlahnya 5,000 orang yang membuatkan Thariq semakin bersemangat.

“Wahai sekalian sahabat seperjuangan, ke mana jalan pulang? Laut berada di belakang kalian, musuh di hadapan kalian. Sungguh tempat kalian di semenanjung ini lebih sempit daripada tempat anak yatim di tengah-tengah orang-orang jahat. Sungguh kalian tidak memiliki apa-apa kecuali keikhlasan dan kesabaran. Musuh-musuh kalian sudah bersedia dengan senjata mereka. Kekuatan mereka, besar sekali, sementara, kalian tidak memiliki bekalan lain kecuali pedang-pedang kalian, dan tidak ada makanan bagi kalian kecuali yang dapat kalian rampas dari tangan musuh-musuh itu. Sekiranya perang ini berpanjangan, dan tidak segera mengatasinya, akan pudarlah kekuatan kalian. Ketakutan mereka terhadap kalian akan berubah menjadi kekuatan!”

Pada 28 Ramadan 92H bertepatan dengan 18 Julai 711M, dua pasukan ini bertemu di Medina Sidonia, lalu berlakulah pertempuran yang berlanjutan selama lapan hari.

Walaupun jumlah tentera muslimin sangat kecil berbanding pasukan Raja Roderick, mereka tetap bertahan menghadapi serangan orang-orang Visigoth itu. Akhirnya pasukan Islam memenangi pertempuran itu dan mengakhiri kekuasaan Roderick di Andalusia.

Selepas peperangan itu, tentera Muslim di bawah pimpinan Thariq berterusan menakhluk semua wilayah Andalusia sehingga ke sempadan di Selatan Andalusia. Selepas itu.

Lebih banyak daerah yang ditakluk dan ditawan dengan agama Islam seperti Barcelona, Arbunah (Narbonne) dan banyak lagi.

Jasa dan bukti kepahlawanan Thariq diabadikan melalui nama sebuah selat yang memisahkan Maghribi dan Sepanyol, iaitu ‘Selat Gibraltar’. ‘Gibraltar’ adalah kata dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘Jabal Thariq’ dalam bahasa Arab atau ‘Bukit Thariq’.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami