Keluarga

Mari ‘Melangkah’ Ke Dalam Rumah Rasulullah S.A.W Yang Penuh Cahaya

Oleh Marina  •  18 May 2017  •  3 min baca

“Apa ertinya dunia bagiku! Kehadiranku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang pengembara yang berada di tengah panas terik matahari, lalu berteduh di bawah naungan pohon beberapa saat, kemudian segera meninggalkannya untuk kembali melanjutkan perjalanan.”Hadis Riwayat at-Tirmizi

Begitulah ungkapan atau sabda Rasulullah s.a.w tatkala menjelaskan tentang ‘dunia’. Tahukah kita, Baginda Nabi s.a.w ini merupakan seorang yang teramat zuhud dengan dunia.

Sekalipun dalam sejarah, Baginda pernah ditawarkan dengan pelbagai harta benda mahupun kemewahan agar Baginda meninggalkan ajaran Islam, hal itu langsung tidak memalingkan hatinya. Bahkan, Baginda lebih rela memilih Islam daripada mengambil harta dunia yang ‘dilimpahkan’ kepadanya.

Zuhud Baginda itu bukan sahaja dilihat dari aspek luaran mahupun fizikal, akan tetapi dari sisi kehidupan Baginda secara keseluruhannya termasuklah kediaman yang didiami bersama keluarga.

Mari kita jejaki dan tinjau bagaimana keadaan kediaman Baginda yang kita sanjungi, bukan untuk layangkan pandangan secara sembarangan akan tetapi sekadar mengambil teladan dari rumah yang penuh cahaya tawaduk dan cinta itu.

#1 – Tiada Gambar-Gambar Tergantung

Dinding rumah Baginda Nabi s.a.w itu bersih daripada gambar-gambar makhluk bernyawa seperti yang dilihat dalam kebanyakan rumah atau bangunan pada hari ini. Rasulullah s.a.w telah bersabda;

“Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya anjing atau gambar.”Hadis Riwayat al-Bukhari

#2 – Tempat Tidur

Tempat pembaringan Rasulullah s.a.w hanyalah tikar yang diperbuat daripada pelepah kurma dan dialas dengan tanah. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a, dia berkata;

“Sesungguhnya, tempat tidur yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w hanyalah diperbuat daripada kulit binatang (yang telah disamak) yang diisi dengan sabut (pelepah) kurma.”Hadis Riwayat Muslim

Bahkan, pernah suatu hari Umar bin Al-Khattab datang menjenguk Rasulullah s.a.w. Tatkala melihat keadaan Baginda, Umar lantas menangis kerana terlihat kesan tikar yang berbekas di badan Rasulullah s.a.w.

Bahkan, pernah isteri Baginda menyediakan tempat pembaringan yang lebih selesa untuknya, akan tetapi diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengembalikannya pada keadaan asal kerana menurut Baginda, keselesaan itu akan menghalang dirinya untuk melaksanakan solat malam.

#3 – Atapnya Boleh Dicapai Dengan Tangan

Al-Hasan berkata;

“Aku pernah masuk ke dalam rumah Rasulullah s.a.w pada masa Khilafah Uthman bin Affan r.a. Langit-langit (atap) rumah tersebut dapat aku jangkau dengan tanganku.”Kitab at-Tabaqat al-Kubra karangan Ibnu Sa’ad hal 499/501 & kitab as-Sirah an-Nabawiyyah karangan Ibnu Katsir

#4 – Rumah Yang Sangat Sederhana

Kediaman Rasulullah s.a.w amatlah sederhana. Tiada apa-apa perabot mahupun peralatan mewah di dalamnya. Hanya terdapat bilik-bilik kecil yang menjadi tempat beristirehat buat Baginda dan keluarga.

#5 – Tempat Makan Baginda Sekeluarga

Anas bin Malik r.a meriwayatkan yang bermaksud;

“‘Rasulullah s.a.w tidak pernah makan di atas meja makan dan tidak pula menggunakan piring kecil. Baginda tidak pernah memakan roti yang sudah dihaluskan.’ Yunus (salah seorang periwayat hadis ini) berkata, ‘Aku bertanya kepada Qatadah, ‘Lalu di manakah mereka makan?’ Ia menjawab, ‘Di atas sufrah-sufrah (kulit atau kain yang dihamparkan)’.”Hadis Riwayat Tirmizi, Bukhari, Ibnu Majah dan Ahmad

Begitulah serba sedikit gambaran kediaman Baginda Nabi s.a.w yang penuh dengan cahaya keimanan, tawaduk dan kesederhanaan dalam melayari kehidupan bersama keluarga tercinta.

Sekalipun Baginda adalah pemimpin paling utama dan agung buat seluruh umat Islam, hal kehidupan Baginda yang begitu sederhana langsung tidak menggugah kepercayaan buat umat terdahulu dan kini untuk terus meyakini bahawasanya hanya Islam agama yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Sungguh, seluruh kehidupan Baginda itu terdapat pelajaran dan teladan untuk kita semua. Wallahua’lam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Alangkah beruntungnya orang yang mendapatkan hidayah kepada Islam, lalu dia mencukupkan dirinya dengan kehidupan yang sederhana serta bersikap qana’ah (berpada-pada).”Hadis Riwayat Tirmizi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami