Oleh Anas • 23 Apr 2017 • 1 min baca
Media sosial menjadi tempat penting berkomunikasi pada masa kini. Berita dan cerita yang didengari tidak lagi terhad kepada berita di media cetak dan televisyen. Hal-hal berkaitan manusia sampai terlalu pantas dan kerap dibincangkan oleh umum.
Kini kita dapat melihat bagaimana sikap manusia terhadap sesuatu cerita. Malangnya, seringkali kita melihat sikap bersangka buruk dalam melontarkan komen. Bersangka buruk adalah apabila kita berprasangka, rasa ragu dan membuat tuduhan-tuduhan tanpa bukti dan alasan yang jelas.
Lebih teruk lagi,apabila mereka ini mendapat sokongan pengikut yang dengki dan iri hati. Jeliknya buruk sangka itu sehingga Allah SWT berfirman (maksud):
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”(Surah al-Hujurat: 11)
Nabi SAW juga mengingatkan agar tidak bersangka buruk (maksud):
“Jika engkau menyangka buruk, jangan sampai engkau mengiyakannya.”(Riwayat al-Tabrani)
Ini kerana ada sifat tercela dalam bersangka buruk (maksud):
“Awas kamu daripada sangkaan itu, kerana sangkaan itu adalah sebohong-bohong percakapan.”
Kesan bersangka buruk amatlah besar iaitu:
Hati yang bersangka buruk sentiasa ada rasa benci dan dendam. Dirinya tidak senang melihat orang yang tidak disukainya sedangkan apa yang disangkanya belum ada kepastian dan kebenaran.
Lebih teruk bila sangkaan buruk itu disampaikan pula kepada pihak lain. Maka, timbullah fitnah yang lebih besar sehingga menjadi dosa yang menghitamkan hati pemiliknya. Ketenangan yang sebenarnya adalah satu bentuk rezeki dari Allah kini tidak mampu masuk ke dalam jiwanya yang kotor.
Bersangka buruk adalah andaian negatif (yang tiada kepastian) kepada individu lain, lalu menyebabkan berlakunya pergaduhan dan terpisahnya hubungan dalam jangka masa panjang.
Malang sekali jika semua itu hanya penipuan semata-mata yang didasarkan oleh rasa ego dan amarah yang tidak dikawal. Sedangkan dalam Islam, berselisih faham melebihi 3 hari pun tidak dibenarkan.
Nasi sudah menjadi bubur. Tidak berguna lagi suatu hal apabila sudah berlaku dan memberi kesan yang mendalam. Ia akan tertanam dalam diri sepanjang hayat hanya kerana sikap gelojoh dalam menerima suatu berita dan mengikut perasaan. Firman Allah SWT (maksud):
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”(Surah al-Hujurat : 6)
Lawan kepada buruk sangka ialah baik sangka atau husnudzon. Ingatlah Allah selalu dan tambahlah ilmu agama. Bersikaplah dengan sikap merendah diri dengan niat sentiasa mahu belajar dan memperbaiki diri. Duduk diam tidak akan mengajar anda apa-apa.
Kerana itu bergaullah dengan baik dengan ramai orang untuk membuka minda anda. Apabila anda menerima berita yang tidak baik, siasatlah terlebih dahulu. Sabarlah dalam menilai. Berfikir secara positif mampu mengelakkan diri daripada sifat buruk sangka.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.