Inspirasi

‘Iman’ Lafaz Yang Ringan Disebut Namun Menjadi Dambaan Setiap Insan

Oleh Nur Ismalina Haris  •  27 Apr 2017  •  4 min baca

“Mati tidak punya rumah Allah tak marah. Mati tidak punya wang, Allah tak marah. Tapi kalau mati tidak punya Iman? Bagaimana?”

Itulah antara bait-bait yang bisa menyentap jiwa sesiapa yang mendengar lagu nyanyian kumpulan Medina ini.

Iman jika ditafsirkan daripada bahasa Arab adalah bermaksud percaya. Manakala dari segi istilah pula, iman adalah membenarkan dengan hati segala sifat dan keagungan Allah, diucapkan dengan lisan, dan diamalkan dengan tindakan yakni perbuatan.

#1 – Dalil Al-Quran Tentang Rukun Iman

Iman itu umpama akar yang menjalar dan mencengkam sebagai penyokong bagi mengukuhkan pohon. Jika kuat cengkaman akarnya, maka berdiri teguhlah sang pohon.

Jika teguh kental imannya, maka jadilah kita hamba yang bertakwa dan sabar dalam melakukan amalan kebaikan.

Setiap umat Islam diwajibkan percaya kepada 6 Rukun Iman seperti mana firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman. Tetaplah beriman kepada Allah dan RasulNya (Muhammad) dan kepada Kitab (Al Qur’an) yang diturunkan kepada RasulNya, serta kitab yang diturunkan sebelumnya. Barangsiapa ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasulNya, dan hari kemudian, maka sungguh orang itu telah tersesat sangat jauh.”Surah An-Nisaa’:136

Justeru, orang yang beriman wajib menafikan kelebihan makhluk lain sekaligus menisbatkan ketauhidan kepada Allah. Sentiasa berwaspada dalam melakukan setiap perbuatan kerana yakin dengan kehadiran para malaikat di sisinya.

Menjadikan kalam Allah sebagai panduan dalam kehidupan. Juga redha dengan setiap ketetapan Allah kerana yakin dengan qada’ dan qadar-Nya.

#2 – Bagaimana Mengetahui Iman Kita?

Hamba yang beriman akan merasakan diri bertanggungjawab dalam menjalankan syariat Allah dan dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Jika melakukan kesalahan dan kesilapan, cepat-cepat teringat akan Allah dan memohon keampunan daripada-Nya. Dari Abu Umamah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya oleh seorang lelaki;

“Wahai Rasulullah, apakah iman itu?”

Beliau menjawab;

“Bila amal baikmu membuatmu berasa senang, dan perbuatan burukmu membuatmu berasa bersedih, maka kamu adalah orang yang beriman.”Hadis Riwayat Hakim

Bukan itu saja, orang yang melakukan amalan kebaikan pun akan beristighfar selepas melakukannya.

Takut kalau amalannya ditolak kerana sifat mazmumah yang mungkin tidak disedarinya seperti riya’ (menampakkan amal soleh supaya dilihat manusia) dan sum’ah (memperdengarkan amal kepada manusia ertinya menampakkan amal yang sebelumnya dirahsiakan).

Sifat riya’ dan sum’ah ini sangat dibenci oleh Allah sekaligus merosakkan pahala amal soleh yang dilakukan.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk menghindari sifat-sifat keji ini? Sudah semestinyalah dengan ikhlas dan iman.

#3 – Cara Memperbaharui Iman

Seringkali juga menjadi pertanyaan tentang bagaimana cara untuk mengatasi naik turunnya iman, kerana kita sebagai hamba yang lemah memang tidak terlepas daripada dugaan pasang surutnya iman.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Perbaharuilah iman kalian.”

Para sahabat bertanya;

“Bagaimana cara memperbaharui iman kami, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. kemudian menjawab, “Perbanyakanlah ucapan La Ilaha Illallah.” Hadis Riwayat Bukhari

Lazimilah lidah kita dengan kalimah ‘La Ilaha Illallah’ kerana kalimah toyibbah itu juga merupakan kunci syurga. Muaaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya;

“Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah ‘La Ilaha Illallah’.” Hadis Riwayat Imam Ahmad

#4 – Bagaimana Jika Tidak Punya Iman?

Seperti mana firman Allah yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian. Kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, dan saling nasihat-menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.”Surah al-‘Asr

Manakala dalam hadis, dari Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

“Wahai Ibnul-Khaththab! Pergilah kamu dan umumkan kepada orang-orang bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang beriman.” Hadis Riwayat Muslim

Justeru, kembalilah kepada Allah. Dialah pemilik segala hati yang boleh memberikan ilham, hidayah dan petunjuk jalan yang lurus untuk memiliki cahaya keimanan.

#5 – Janji Allah Kepada Orang Beriman

Kehidupan kita di dunia ini adalah sebagai satu ujian untuk menentukan apakah kita nanti akan tergolong dalam golongan kiri (ashabul syimal), golongan kanan (ashabul yamin) ataupun golongan ‘muqorrobun’ (dekat kepada Allah).

Maka Allah akan menguji kita seperti mana firman Allah s.w.t:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”Surah al-Ankabut:2

Ingatlah ayat Allah ini setiap kali kita diuji dan diduga. Sesungguhnya tidaklah Allah memberikan ujian dan cubaan kepada kita hanya untuk suka-suka.

Allah berjanji di dalam Al-Quran bahawa Dia akan membantu orang yang beriman, diselamatkan di dunia dan di akhirat, mendapat keberkatan, hidayah serta jalan yang lurus, memperolehi keuntungan bahkan syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.

Sentiasalah berusaha untuk mempertingkatkan iman dalam meraih cinta dan kasih sayang-Nya. Yakinlah, bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nur Ismalina Haris

Nur Ismalina Haris merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik. Beliau juga aktif menulis artikel yang telah diterbitkan di majalah berbentuk islamik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami