Ramai mengetahui bahawa kuasa talak di tangan suami. Ada 3 jenis talak yang selama ini diketahui umum iaitu talak soreh, talak kinayah, dan talak taklik.
Namun begitu, isteri juga boleh menuntut perceraian daripada suami iaitu sama ada secara khuluk (tebus talak), fasakh dan taklik.
Sebenarnya ada satu lagi kaedah oleh isteri yang jarang diketahui iaitu Hakam.
Apabila suami tidak mahu menceraikan isteri, mahkamah akan melantik suatu jawatankuasa pendamai. Jawatankuasa pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama, seorang wakil suami, dan seorang wakil isteri.
Keutamaan diberikan kepada saudara atau ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Penubuhan jawatankuasa pendamai ini adalah untuk mencapai perdamaian di antara suami dan isteri. Mereka diberi tempoh selama enam bulan dari tarikh jawatankuasa dibentuk.
Oleh itu, dalam tempoh tersebut, suami dan isteri diberi peluang untuk memberikan pendapat termasuk memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan.
Namun begitu, tempoh 6 bulan tersebut juga boleh menjadi lebih lama jika mahkamah memutuskan adanya keperluan untuk melanjutkan tempoh perdamaian.
Jika selepas tempoh perdamaian itu, suami dan isteri bersetuju untuk berdamai, maka permohonan perceraian boleh ditarik balik. Tapi, jika suami dan isteri enggan berdamai atau suami tidak mahu melafazkan cerai, maka kes akan dirujuk kepada hakam.
Sebelum itu, kita perlu tahu apa maksud ‘hakam’. Hakam ertinya seorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (syiqaq) antara suami dan isteri.
Hakam diperuntukkan di bawah Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 di bawah akta yang sama.
Hakam terdiri daripada saudara karib suami dan isteri yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pihak suami dan pihak isteri.
Hakam mestilah lelaki beragama Islam, berakal, mukalaf, adil dan amanah, serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.
Hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati, perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku dalam tempoh perkahwinan walaupun selepas usaha perdamaian dilakukan pada peringkat jawatankuasa pendamai.
Pemilihan Hakam adalah penting. Sebagai contoh, Hakam mestilah tidak bersifat berat sebelah dan tidak mempunyai kepentingan peribadi. Oleh itu, Hakam mestilah seorang yang jujur, adil, bersabar, dan berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan suami dan isteri.
Jika suami dan isteri gagal mengemukakan Hakam masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang Hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam atau Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.
Fungsi Hakam adalah untuk menamatkan perkelahian antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.
Hakam mesti mempunyai kuasa penuh daripada prinsipal di mana Hakam juga boleh melafazkan talak atau khuluk di hadapan Mahkamah bagi pihak suami.
Hakam bagi isteri pula mempunyai kuasa untuk menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamh.
Namun, jika hakam berpendapat pasangan itu patut bercerai tapi tidak dapat memerintahkan perceraian atas sebab lain seperti Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau menarik diri, maka Mahkamah boleh melantik Hakam yang lain untuk proses yang sama.
Jika Hakam suami enggan melafazakan cerai dan meminta perceraian secara tebus talak dan Hakam isteri bersetuju, mahkamah boleh mengarahkan perceraian secara tebus talak.
Prosiding tidak diteruskan jika pihak suami gagal menghadirkan diri ke mahkamah dan tidak melantik Hakam. Pada masa itu, perceraian akan diteruskan melalui proses fasakh atau taklik.
Prosiding hakam mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun dengan syarat kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang baik.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.