Inspirasi

Sepanyol Wilayah Kegemilangan Islam Suatu Masa Dahulu

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  31 Mar 2017  •  4 min baca

Islam mula menapak ke Sepanyol sekitar tahun 92H di bawah pimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa.

Dalam pemerintahan Islam, Sepanyol telah tumbuh menjadi sebuah negara Islam yang makmur. Bahkan telah meluaskan empayar sehingga ke Perancis, termasukklah kota-kota besar seperti Carcassone, Lyon, Nimes, Poitou, Tours dan wilayah-wilayah di sekitarnya.

Ayuh kita singkap lipatan sejarah kegemilangan dan kejatuhan Islam di Sepanyol;

#1 – Islam Bersikap Tolernasi

Pemerintahan Islam ketika itu tetap bertoleransi dengan masyarakatnya yang bukan beragama Islam, termasuklah di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan dan wilayah yang masih dikawal oleh pemerintahan Kristian.

#2 – Kewibawaan Pemerintah Islam

Dengan keindahan Islam dan sikap pemerintah yang baik dan berwibawa, semakin ramai penduduk memeluk Islam, bahkan terdapat ramai penduduk yang bukan Islam mengamalkan cara hidup Islam dan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Muslim.

Pada awal pemerintahan dan kecemerlangan pemerintahan Islam di sana, Sepanyol pernah dipimpin oleh Abdul Rahman al-Dakhil, iaitu seorang pemerintah dan pemimpin Islam yang sangat berwibawa dan digeruni. Beliau juga mendirikan Khilafah bani Umayyah di Andalus.

Suatu waktu, seorang pemimpin Kristian pernah mempelawa Abdul Rahman al-Dhakil untuk bersamanya minum arak. Namun beliau menolak dengan cara yang baik dengan berkata;

“Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Maka fahamlah pemimpin Kristian itu akan penolakan tersebut.

#3 – Ancaman Berkali-Kali Pihak Kafir

Walaupun masyarakat Islam berada dalam keadaan aman damai, mereka tetap diintai oleh orang kafir yang hanya menanti masa sesuai untuk menjatuhkan Islam di negara itu. Banyak kali percubaan penentangan dilakukan namun tetap gagal.

Sehinggalah suatu ketika mereka mendapat akal dan berpakat untuk menghantar perisik bagi mengkaji kelemahan orang-orang Islam.

Lalu mereka mendapat kesimpulan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk melemahkan iman orang-orang Islam supaya jauh dari ajaran Islam. Mereka juga mahu mengubah pemikiran serta budaya masyarakat Sepanyol yang kebanyakannya menerima Islam.

Kaum kafir yang licik itu secara diam-diam menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah pendudukan Islam. Mereka juga memperkenalkan muzik dan hiburan kepada golongan muda. Tidak lama kemudian, mereka mengirim pula ramai ulama palsu yang mengajar ajaran yang merosakkan Islam, di samping memecahbelahkan fahaman umat Islam di Sepanyol.

Usaha mereka berhasil apabila semakin ramai golongan muda yang lebih suka mendengar dan menghafal lagu daripada membaca al-Quran. Bahkan berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat, sehinggakan semakin ramai umat Islam ketika itu tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dan menjadi lalai dengan amal ibadah.

Akhirnya usaha puak kafir membuahkan kejayaan apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh ke tangan orang kafir.

#4 – Perbalahan Sesama Umat Islam

Sesungguhnya, 800 tahun bukan masa yang singkat. Islam sudah bertapak selama itu di sebuah wilayah besar yang berjaya digemilangkan oleh kaum Muslimin. Islam muncul dengan budaya dan tamadunnya lalu menjadikan Sepanyol sebagai sebuah negara milik Islam sepenuhnya.

Berlaku perbalahan daripada umat Islam sendiri sehinggakan berpecah menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai wilayah sendiri. Antaranya bani Jahur, bani Nun, bani Ibad, bani al-Aftas dan lain-lain lagi. Ini memudahkan lagi usaha kaum kafir memecahbelahkan masyarakat Islam yang sudah terbahagi kepada banyak fahaman.

Namun dengan punca dan permasalahan yang dilakukan oleh umat Islam sendiri, Islam seolah-olah tidak pernah muncul di wilayah itu. Granada, dan al-Hambra lenyap sinarnya. Cahaya Islam yang pernah meresap masuk menguasai Eropah sehingga ke tembok Vienna tiba-tiba terpadam.

“Menangislah anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.”

Kata-kata kekesalan ini diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897H.

Raja Abdullah telah memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Itulah perjanjian yang telah menjual wilayah itu seterusnya membunuh ratusan ribu penduduk Islam Sepanyol.

#5 – Penghinaan Terhadap Umat Islam

Umat Islam Sepanyol dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika, namun mereka dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Ribuan lagi yang bersembunyi dalam rumah turut dibakar, begitu juga dengan yang berada di perlabuhan di kapal, semuanya dibunuh dengan zalim sehingga air laut yang membiru bertukar menjadi kehitaman dengan darah.

Umat Islam terkepung dan tidak mampu berbuat apa-apa. Nyawa mereka ketika itu menjadi murah dan tak berharga di hujung libasan pedang tentera kafir.

Selepas itu, tidak pernah kelihatan lagi apa-apa tanda keislaman di Sepanyol. Umat Islam yang masih berbaki hidup dalam ketakutan dan diugut bunuh tanpa apa-apa belas kasihan dan kemanusiaan. Sehinggakan untuk mengaku sebagai penganut Islam sekalipun mereka tidak mampu. Islam hanyalah ada pada keturunan sahaja.

Orang Kristian di Sepanyol betul-betul tidak mahu Islam wujud lagi di wilayah itu. Jadi dengan apa sekalipun mereka takkan izinkan Islam kembali bertunas dan memucuk di negara yang sudah lama mereka inginkan.

Dan kini, tinggalan gah suatu ketika dahulu hanyalah sebagai bekas atau tanda kepada umat hari ini bahawa suatu ketika dahulu Islam pernah gemilang di sana. Dan bilakah akan kembali semula?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami