Gaya Hidup

Bahayanya Jika Anda Bersifat Adu Domba!

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  18 Mar 2017  •  5 min baca

Adu domba merupakan sebuah sikap yang sangat bahaya dan memberi kesan buruk kepada tertuduh, termasuklah kepada seluruh umat masyarakat. Ada sebuah kisah terkenal tentang keburukan sikap ini.

Di sebuah pasar bangsa Arab, seorang saudagar sudah lama menawarkan seorang pemuda lelaki untuk dijual sebagai hamba. Namun masih tiada sesiapa pun yang mahu membeli pemuda itu.

Ini kerana setiap kali ada bakal pembeli yang berminat untuk membelinya, saudagar ini akan memberitahu bahawa pemuda itu sangat rajin dan cekap dalam melakukan semua pekerjaan, tetapi pemuda tersebut memiliki satu sikap buruk, iaitu gemar mengadu domba.

Dengan itu, ramai yang ingin membeli pemuda itu membatalkan niat mereka. Saudagar itu bersedih kerana hanya pemuda itu sahaja yang belum dibeli oleh sesiapa. Lalu dia menurunkan harga pemuda menjadi lebih murah.

Tidak berapa lama kemudian, datang seorang lelaki yang kaya dan tertarik untuk membeli pemuda itu kerana dia mahukan hamba yang rajin dan boleh melakukan banyak kerja. Dia juga tidak peduli akan sifat buruk pemuda itu.

“Tidak mengapa, saya akan tetap membelinya kerana sikapnya itu akan tidak mempengaruhi kerja-kerjanya nanti. Lagi pula saya hanya mencari hamba yang rajin dan boleh melakukan kerja-kerja di ladang saya,”

Lalu, terjuallah pemuda tersebut kepada orang kaya itu.

Beberapa tahun bekerja dengan orang kaya itu, pemuda itu sangat rajin dan tidak pernah curi tulang dalam bekerja. Bahkan hampir tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan pun. Orang kaya itu sangat menyukai hambanya itu dan sering memujinya. Pemuda itu juga menjadi hamba yang paling dipercayai oleh orang kaya itu.

Pada suatu hari, pemuda itu bertemu isteri orang kaya itu.

“Wahai puan, puan sangat cantik. Pasti malang sekali sekiranya puan tidak disayangi sepenuhnya oleh tuan. Mahukah puan aku berikan beberapa petua dan cara agar tuan menyayangi puan dengan lebih lagi sehinggakan tidak memandang langsung akan wanita lain yang lebih muda dan rupawan?”

Isteri orang kaya itu pun segera bersetuju.

“Apakah rahsianya wahai hambaku, sudah tentu aku sangat mahu disayangi oleh suamiku sendiri!”

katanya.

“Ah, cara sangat mudah. Begini, puan dapatkan saja tiga helai janggut tuanku. Nanti puan berikan kepadaku. Biar aku selesaikan semuanya. Sesudahnya nanti pasti tuanku akan lebih menyayangi puan dengan lebih lagi.”

Isteri orang kaya itu sangat gembira mendengar kata-kata hambanya itu. Lalu segera berjanji untuk memberikan tiga helai janggut suaminya itu kepada pemuda itu secepatnya.

Petangnya pula, pemuda hamba itu menemui pula tuannya dengan tergesa-gesa.

“Wahai Tuanku, Tahukah tuan bahawa selama ini isteri tuan telah melakukan curang terhadap Tuan?”

Orang kaya yang mendengar kata-kata itu sangat terperanjat dan naik marah.

“Betulkah apa yang kau cakapkan ini? Dari mana kau mendapat berita ini?”

soalnya dengan suara kuat.

“Wahai Tuanku, saya melihatnya sendiri. Pernahkah selama ini saya berbohong pada tuan?”

Orang kaya itu terdiam sebentar sambil berfikir bahawa hamba di hadapannya itu adalah orang suruhannya yang terbaik.

“Tuanku, isteri tuanku juga mahu membunuh tuanku kerana tidak mahu tuanku menganggu hubungannya dengan lelaki itu.”

Orang kaya itu semakin marah dan mahu segera menemui isterinya.

“Sabar dulu Tuanku. Puan akan melaksankan niatnya itu pada malam nanti. Berhati-hatilah tuan kerana saya sayang kepada Tuan.”

Pada malam harinya, isteri orang kaya memasuki bilik suaminya sambil memegang gunting untuk mengunting tiga helai janggut suaminya. Orang kaya yang terlihat isterinya memegang gunting itu terus teringat dan mempercayai kata-kata pemuda suruhannya itu.

Akhirnya orang kaya itu bingkas bangun dan merebut gunting itu dari isterinya sehingga tertikam dada isterinya lalu meninggallah isterinya itu.

Dengan segera pemuda suruhan orang kaya itu menghebohkan kejadian itu kepada keluarga isteri orang kaya itu. Dengan segera ahli keluarganya mencari lalu membunuh pula orang kaya itu.

Tidak berapa lama kemudian, berita terbunuhnya orang kaya itu tersebar dan diketahui oleh kabilahnya. Maka berlakulah peperangan antara dua kabilah tersebut, iaitu kabilah orang kaya dan isterinya.

Demikian dasyatnya kesan adu domba ini. Disebabkan itulah namimah atau mengadu domba ini termasuk dalam dosa besar dan dicela oleh Allah s.w.t. FirmanNya;

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kalian seorang fasik membawa suatu berita, maka telitilah berita tersebut, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sebuah kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian itu.”Surah al-Hujuraat:6

Dengan itu, apa tindakan kita sekiranya didatangi oleh golongan pengadu domba ini? Imam an-Nawawi berkata;
Dan setiap orang yang disampaikan kepadanya perkataan adu domba, dikatakan kepadanya:

‘Fulan telah berkata tentangmu begini begini. Atau melakukan ini dan ini terhadapmu,’

Maka hendaklah ia melakukan enam perkara berikut:

#1 – Tidak Membenarkan Kata-katanya

Penyampai namimah adalah orang fasik.

#2 – Mencegahnya Dari Perbuatan Tersebut

Menasihatinya dan mencela perbuatannya itu.

#3 – Membencinya Kerana Allah

Kerana ia adalah orang yang dibenci di sisi Allah. Dengan itu, wajib membenci orang yang dibenci oleh Allah s.w.t.

#4 – Tidak Berprasangka Buruk Kepada Tertuduh Dan Berita Yang Diterima.

#5 – Tidak Mencari-cari Aib Saudaranya Lantaran Adu Domba Yang Didengarnya.

#6 – Menghalang diri sendiri dari ikut melakukan adu domba tersebut.

Dengan itu sebagai manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan salah dan dosa, marilah kita berusaha dan bersungguh-sungguh dalam menjaga dan menahan lisan dari perkataan yang tidak berfaedah.

Lebih baik berdiam daripada berkata-kata akan hal yang dimurkai Allah. Semoga Allah melindungi kita dari kejahatan pendengaran, penglihatan, lisan, dan hati. Amiin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami