Wanita

Asmaul Husna Untuk Setiap Wanita Muslim

Oleh Anas  •  7 Mar 2017  •  5 min baca

Sulaiman Al-Kumayi pernah membahaskan Asmaul Husna dan cara mengamalkannya bagi wanita supaya anda menjadi wanita hebat. Berikut adalah 19 nama Allah yang pertama bermula dari Ar-Rahman sehingga Al-Qabidh sebagai panduan wanita luarbiasa.

1# Ar-Rahman (Maha Pengasih) Dan Ar-Rahim (Maha Penyayang)

Mulakan hari kita dengan kasih-sayang di dalam jiwa dan bukan dengan kebencian.

Pastikan apa jua yang kita lakukan dan yang kita ingin ucapkan adalah berdasarkan kepada kasih-sayang. Hasilnya, bukan kita sahaja yang bahagia, malah orang lain juga turut berasa bahagia.

2# Al-Malik (Pemerintah/Maharaja/Raja Seluruh Alam)

Hendaklah kita mematuhi perintah Allah dan bukan sebaliknya. Amanah yang diberikan kepada kita, hendaklah dijaga dengan baik. Kerana kekuasaan Allah, kita semua amat memerlukan dan bergantung kepadaNya.

Maka, dalam setiap urusan, tanamkanlah keyakinan bahawa kita semua berada di dalam ‘genggaman’ Allah.

3# Al-Quddus (Maha Suci)

Jagalah hati daripada unsur-unsur negatif yang mampu merosakkan diri. Langkah menjaga hati adalah dengan berwaspada dengan permainan syaitan.

Fikirkan dahulu sebelum bertindak dan kekal berfikiran positif.

4# As-Salam (Maha Sejahtera)

Sebagai seorang muslimah, cuba jadikan kehadiran diri kita sebagai ‘cahaya’ yang menerangi insan lain di sekeliling kita.

Jika kita merasa letih, merasa berat untuk melakukannya, tanamkan keyakinan bahawa Allah tetap ada untuk memimpin kita. Justeru, bergantung haraplah kepadaNya.

5# Al-Mukmin (Maha Pemberi Keamanan)

Apabila kita berasa takut, ketahuilah bahawa Allah mampu memberi keamanan terhadap hati yang dilanda perasaan itu tanpa keraguan.

Kita menjadi orang yang berani berusaha mencapai cita-cita kerana keyakinan Allah akan menolong kita.

6# Al-Muhaimin (Maha Mengawasi)

Usahlah kita berkeluh-kesah sedangkan lebih banyak milikan kita yang masih sempurna.

Allah sejak awal telah melindungi para wanita. Kita dilindungiNya dan diuruskan segala keperluan kita sama ada yang diminta atau pun tidak.

7# Al-Aziz (Maha Perkasa)

Kita hanya insan kerdil di dunia ini. Elakkan menghina orang lain atau mengukur kemuliaan seseorang berdasarkan harta, jawatan atau popularitinya.

Bukan penilaian manusia yang menjadikan kita mulia tapi penilaian Allah terhadap kita.

Apa yang membezakan antara seorang individu dengan individu yang lain adalah tahap ketaatannya kepada Allah.

8# Al-Jabar (Maha Pemaksa)

Kita seringkali melalui kegagalan dan kesilapan.

Kerana itulah kita diperintahkan untuk menuruti perintah Allah.

Malah, siapa yang hatinya tunduk kepada Allah akan mendapat pertolongan khusus dariNya.

9# Al-Mutakabbir (Pemilik Segala Keagungan)

Sifat sombong, walau sekecil mana pun, bukanlah milik kita. Hanya Allah yang berhak kerana keagungannya.

Sebagai seorang muslimah, hendaklah kita bersifat tawaduk kerana itulah yang akan mengangkat darjat kita di sisiNya.

10# Al-Khaliq (Maha Pencipta)

Allah mencipta seluruh alam ini yang asalnya tidak memiliki apa-apa.

Menurut Sulaiman al-Kumayi, seorang wanita boleh mendapatkan motivasi dari nama Allah ini bagi membentuk pemikiran dan tindakan. Kita boleh menjadi kreatif dengan cuba mencipta sesuatu yang baru.

11# Al-Bari’ (Maha Mengadakan)

Allah telah memberikan kita kecerdasan yang dengannya kita mampu membuat sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia dan makhlukNya.

Oleh itu, usahlah kita lekas berputus asa atau menyerah kalah.

12# Al-Mushawir (Maha Pembentuk)

Ciptaan Allah adalah berbeza kerana Allah mencipta sesuatu menurut keinginanNya.

Bukanlah sesuatu yang baik jika kita menghina atau memberi gelaran yang buruk kepada yang lain.

Selain itu, masa yang dicipta Allah pula bergerak secara ke hadapan. Oleh itu, janganlah kita membuang masa melainkan kita juga perlu berfikiran dan bergerak maju ke hadapan.

13# Al-Ghaffar (Maha Pengampun)

Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa hambaNya dan menutupnya.

Oleh itu, jika ada dosa yang membuatkan hati kita gelisah, segeralah memohon keampunan dari Allah.

14# Al-Qahhar (Maha Gagah Perkasa)

Allah menguasai dan menakluki sesiapa dan apa jua di alam ini. Inilah bukti kita adalah makhluk yang lemah. Dalam surah Ali Imran, ayat 159, Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Apabila kamu berazam atau berbulat hati, bertawakallah kepada Allah.”

15# Al-Wahab (Maha Pemberi Kurnia)

Allah tetap memberi, tetap memenuhi keperluan kita setiap saat walaupun kita melanggar perintahNya.

Sebagai wanita super, kita perlu menghayati pemberian ini kerana semuanya atas ketentuan Allah jua. Semaikan rasa bersyukur dengan pemberian Allah agar terbit sifat murah hati dalam diri untuk membantu dan mengutamakan orang lain.

16# Al-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki)

Kerana Allah Maha Pemberi Rezeki, wanita yang hebat tahu hidupnya bukan untuk meminta atau mengemis kerana rezeki Allah itu melimpah-ruah.

Manusia hanyalah perantara yang menyampaikan rezeki dari Allah.

17# Al-Fattah (Maha Pemberi Keputusan)

Allah memberi rahmatNya kepada siapa yang diinginiNya. Allah membuka pintu rezeki, jalan dan kebenaran kepada manusia.

Oleh itu, jika ditimpa musibah, ingatlah bahawa Allah sentiasa membuka jalanNya kepada kita. Hanya kita sahaja yang mungkin terlepas pandang kerana terlalu hanyut dengan rasa kecewa. Pada masa depan, jadikan musibah sebagai langkah mendekatkan diri kepada Allah sebagai pengukuhan iman kita.

18# Al-Alim (Maha Mengetahui)

Tiada apa pun yang terlepas daripada pengawasan Allah. Setiap aktiviti makhlukNya tidak mengira saiz sudah diketahuiNya. Begitulah luasnya ilmu Allah.

Oleh itu, wanita hebat menghayati nama ini dengan semangat menuntut ilmu yang tinggi. Antara hikmah menuntut ilmu adalah mendapat pahala, menyempurnakan ibadah, adanya pengawasan dalam tindakan, serta didoakan oleh para malaikat dan makhluk di bumi jika mengajarkan kebaikannya kepada orang lain.

19# Al-Qabidh (Maha Menyempitkan)

Susah senang kehidupan kita adalah dalam urusan Allah. Anggap kesempitan hidup sebagai ujian dan satu ruang keinsafan. Allah juga mungkin menyempitkan hidup kita bagi menyelamatkan kita daripada penyesalan di akhirat kelak.

Justeru, dalam kesempitan itu ada kenikmatan. Namun, ini bukanlah tiket untuk bermalas-malasan dan mencipta alasan. Selain redha, kita juga perlu berusaha, berdoa, bersabar dan tawakal kepada Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami