Oleh Natirah Azira • 6 Mar 2017 • 4 min baca
Kita pasti pernah mengagumi seseorang dalam hidup. Tokoh terkenal, guru, atau paling kurang rakan terdekat kita yang mampu cemerlang dalam peperiksaan, atau yang sudah mempunyai kerjaya dan sumber kewangan yang stabil. Dan alasan-alasan yang selalu menerawang dalam fikiran kita pasti seperti; “Alah, dia memang bijak” atau “Nasib dia memang baik”.
Berikut adalah perkara yang perlu disematkan dalam fikiran jika anda ingin berjaya:
Setiap orang bermula dari kosong. Cuba lihat kanak-kanak kecil di sekeliling kita, mereka belajar merangkak, berjalan, dan kemudian mampu berlari. Mereka belajar menyebut A,B,C dan akhirnya mampu membaca dengan lancar. Setiap manusia melalui tahap tertentu sebelum menjadi siapa yang kita lihat pada hari ini. Manusia belajar. Mereka belajar dari pengalaman, jatuh dan bangun lagi.
Pasangkan niat yang betul sejak dari awal. Niat umpama kompas yang akan membantu perjalanan yang akan dimulakan. Tidak salah untuk mencapai impian seperti menjadi kaya dan senang dalam hidup, bahkan ianya amat digalakkan bagi mengangkat lagi nilai hidup umat Islam.
Ramai orang punya impian dan cita-cita, namun mereka berhenti pada perkataan ‘tapi’. Itulah yang membezakan antara orang yang berjaya dan orang yang mengalah dalam hidup. Impian tidak akan menjadi realiti jika tidak diusahakan. Orang yang berjaya berani mengambil risiko dan keluar dari zon selesa.
Persediaan adalah suatu yang penting namun tidak perlu untuk menunggu sehingga anda merasakan kesediaan dan keberanian berada di tahap seratus peratus.
Mulakan dahulu langkah pertama, dalam masa yang sama cuba untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Anda minat memasak? Anda boleh mencuba menu-menu yang ringkas dahulu. Anda minat seni fotografi? Anda boleh belajar langkah-langkah awal dari Youtube sebelum menyertai kelas formal.
Antara perkara penting dalam mengejar impian adalah mempunyai sikap yang cemerlang. Perhatikan apa yang dilakukan oleh orang yang berjaya, apa yang kerap dituturkan dan apa yang menjadi amalan mereka. Orang yang benar-benar berjaya pasti orang yang adil dengan masa, pandai menilai dan meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Elakkan daripada membandingkan diri dengan orang lain yang sudah berjaya jika itu akan membuatkan anda berasa ‘down’. Mereka pasti telah memulakan usaha lebih awal. Tidak mengapa jika langkah anda agak perlahan, apa yang penting adalah meneruskan perjalanan. Jika tidak berjaya dengan plan A, anda masih punya 1001 lagi jalan lain yang boleh difikirkan.
Banyak orang menunggu peluang terbuka di hadapan mata. Anda punya impian untuk menjadi pelukis, berniaga atau belajar bahasa asing misalnya. Mulakan sesuatu dari diri sendiri dahulu.
Cari mana-mana sumber, ‘google’, ‘youtube’ atau rujuk sesiapa sahaja yang mampu memberikan penjelasan yang lebih terperinci kepada apa yang anda inginkan. InsyaAllah dari situ peluang akan terbuka satu demi satu.
Perasaan untuk mengalah dan berhenti separuh jalan pasti menjengah apabila jalan yang dilalui sukar dan sempit. Berhenti sejenak untuk melepaskan penat. ‘Refresh’ kembali niat dan tujuan anda memilih jalan tersebut. Minta sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat jika perlu.
Ilmu umpama lampu suluh yang menerangi jalan. Membaca mampu membuka fikiran kita ke suatu dimensi yang lain. Banyakkan membaca buku-buku motivasi dan pengalaman-pengalaman orang lain agar anda menyedari anda tidak sendiri memperjuangkan impian anda. Masih ramai orang di luar sana yang berada di jalan yang sama anda pilih.
Setelah segala usaha dilakukan untuk mencapai apa yang diinginkan, usah lupa untuk menyerahkan segala pengharapan kepada Allah s.w.t. Sandarkan segalanya kepada Dia, agar kita tidak merasa kecewa jika kesan yang diperoleh tidak sepenuhnya seperti yang di harapkan.
Setiap sesuatu yang diinginkan pasti punya harga yang perlu dibayar. Islam sangat menggalakkan penganutnya agar berusaha dengan cara yang terbaik dalam setiap lapangan hidup. Seperti yang terkandung dalam hadis Nabi s.a.w :
“Sesungguhnya Allah suka jika seseorang daripada kamu apabila melakukan kerja maka dia bekerja dengan tekun/bersungguh” Hadis Hasan
Hamka juga ada menukilkan dalam buku beliau bertajuk Peribadi :
“Tiga perkara yang menjadi kekayaan jiwa kita, dalam menjadi manusia, iaitu fikiran, perasaan dan kemahuan. Bagaimanapun tajamnya fikiran, seperti ahli falsafah yang besar-besar, atau halus perasaan seperti penyair atau pelukis, tidaklah akan terlaksana cita-cita kalau kemahuan tidak ada, dan kemahuan menimbulkan tabah, gigih dan kebal”
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.