Oleh Noor Afidah Abu Bakar • 25 Nov 2017 • 5 min baca
“Mana boleh buat macam tu kan Teacher, nanti masuk neraka.”
“Allah marah kan Teacher?”
“Nanti Allah tak sayangkan Teacher?”
Anak kecil yang berusia 5 tahun memberikan pandangannya tentang tindakan rakan seusia yang tidak disenanginya.
Saya terkesima mendengar begitu kerap dan petahnya anak kecil itu berbicara tentang hukuman neraka dan kemarahan Allah.
Bukankah pada usia sekecil ini anak itu sepatutnya lebih mengenali Allah sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang terlebih dahulu?
Saya berbincang dengan anak-anak kecil di bawah jagaan saya itu tentang kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-Nya terutamanya anak-anak kecil.
Allah tidak menghukum anak kecil seusia mereka dengan neraka kerana mereka masih suci tanpa dosa yang akan menyebabkan kemarahan Allah.
Mereka seumpama kain putih, putih bersih, banyak yang mereka tidak tahu, mereka masih belajar dan mereka masih perlu dibimbing oleh orang dewasa.
Saya melihat kejernihan dan senyuman di wajah mereka apabila mendengar tentang betapa penyayang dan pengampunnya Allah kepada mereka.
Dr. Bilal Philips, pernah menulis;
Di kala Allah S.W.T memperkenalkan diri-Nya sebagai yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang (Ar Rahman Ar Rahim) pada pembukaan Al Quran melalui kalimah “Bismillahirrohmanirraheem”, malangnya sesetengah orang dewasa terutamanya ibubapa dan guru, menakut-nakutkan anak kecil dengan kemarahan, hukuman dan neraka Allah untuk memperkenalkan Allah dan bukannya dengan menerapkan kasih sayang kepada Allah dalam hati-hati kecil mereka.
Selalunya amaran dan ugutan ini dilakukan apabila ibubapa atau guru ingin memperbetulkan tingkah laku anak kecil.
Itu merupakan kaedah yang salah sama sekali kerana ia memberi gambaran yang negatif tentang Allah kepada anak kecil.
Gambaran tentang Allah yang bagaimana yang ingin kita perkenalkan kepada anak pada awal usia supaya anak kecil lebih tertarik untuk mengenal Allah?
Gambaran yang bagaimana yang ingin kita berikan supaya anak kecil merasa selamat dan dilindungi oleh Allah dan seterusnya ingin berkelakuan baik seperti suruhan Allah?
Harus Diingat, Anak Kecil Bukannya ‘Mini-Adults’
Perkembangan mereka belum sampai ke tahap orang dewasa. Pemahaman mereka tentang sesuatu konsep itu tidak sama seperti orang dewasa kerana perkembangan pemikiran mereka masih mentah.
Pada usia awal, jaringan-jaringan neural otak anak sedang terbina dengan pesatnya. Mereka belum berupaya untuk berfikir secara abstrak.
Mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan imaginasi. Mereka belum tahu apa yang betul dan apa yang salah.
Apa yang disebut kepada mereka berulang-ulang kali akan membentuk gambaran dan imaginasi anak kecil tentang sesuatu tanpa pemahaman yang jitu.
Keupayaan intelek atau kognitif manusia hanya mula terbina secara aktif apabila berusia sekitar 7 tahun.
Anak kecil belajar melalui sensori mereka. Allah adalah sesuatu yang abstrak bagi mereka kerana mereka tidak dapat melihat, mendengar, menyentuh, merasa dan bau Allah.
Mereka akan berimaginasi dan membina gambaran tentang sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh sensori mereka kerana pada usia ini tahap kreativiti manusia amat tinggi.
Bayangkan jika yang selalu didengari oleh anak kecil adalah “Allah marah” “Allah marah” “Allah marah dan “neraka” “neraka” “neraka”, bagaimana agaknya imaginasi anak kecil tentang Allah?
Apakah imej yang mereka bina dalam pemikiran mereka? Benarkah Allah sebegitu?
Ketakutan Anak Kecil
Pada usia awal, anak kecil mudah dipengaruhi oleh rasa takut (fear). Ketidakupayaan mereka untuk berfikir secara rasional menyebabkan ketakutan sering menghantui mereka.
Oleh sebab itulah anak kecil takutkan benda-benda remeh bagi orang dewasa seperti guruh, kilat, gelap, dan juga bunyi bising seperti ‘blender’ dan ‘vacuum’.
Ketakutan ini perlu dikawal dan dibimbing dengan kaedah yang betul supaya ia tidak membantutkan perkembangan anak terutamanya untuk belajar dan meneroka.
Menurut Dr. Hanan Dover, Naib Presiden International Association of Muslim Psychologists;
Ada ibubapa yang secara sedar ataupun tidak, mengambil kesempatan ke atas emosi takut yang tinggi pada anak-anak kecil dengan mempergunakan nama Allah pada konteks yang tidak sepatutnya. Ibubapa ini percaya untuk membentuk tingkah laku anak kecil dan supaya anak kecil mendengar kata, mereka perlu menanam rasa takut yang keterlaluan kepada Allah.
Ibubapa ini telah menggantikan sifat-sifat penyayang Allah dengan sifat Allah yang menakutkan anak kecil.
Menurut Dr. Hanan;
Kaedah yang sebegini akan meninggalkan kesan negatif kepada perkembangan spiritual dan emosi seorang anak kecil dan ia boleh membawa kesan negatif yang berpanjangan sehingga dewasa.
Kata-kata yang sering digunakan;
“Jika cakap tidak elok Allah akan potong lidah.”
“Jika degil nanti Allah marah. Nak masuk neraka?”
“Asyik main-main saja, baca buku pun tidak, Allah tak sayang orang macam tu”
Ungkapan yang sebegini menyebabkan anak kecil tidak merasa selamat dan dilindungi (safe dan secured) oleh Allah. Mereka tidak nampak Allah sebagai pelindung dan pembimbing sebaliknya sebagai penghukum semata-mata.
Jika ugutan-ugutan sebegini berterusan dilakukan oleh ibubapa atau orang yang terdekat dengan anak kecil tersebut, ia akan menjadi pemahaman yang kekal dan sukar untuk diubah melainkan ada usaha untuk mengubahnya dengan ilmu dan pengetahuan yang betul.
Bagaimana Seharusnya?
Gantikan ungkapan “Allah marah” dengan “Allah suka” atau “Allah sayang”.
“Allah sayang bila kita bercakap menggunakan perkataan yang elok.”
“Allah suka bila kita berbaik-baik dengan kawan-kawan.”
“Allah sayang bila kita hormat ibubapa dan ahli keluarga yang lain.”
“Allah sayangkan hambaNya yang suka belajar.”
Ini mungkin perkara remeh bagi orang dewasa, tetapi bagi anak kecil di mana perkembangan emosinya sedang terbina dengan pesat, ungkapan seperti ini menyuntik kecintaan mereka kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Ungkapan yang sebegini membina jaringan-jaringan otak yang membentuk pemahaman dan gambaran yang positif tentang Allah S.W.T dari usia awal lagi.
Ungkapan yang sebegini juga membentuk tingkah laku yang positif dalam diri anak mengikut fitrah anak itu sendiri yang sering ingin rasa selamat dan dilindungi terutamanya oleh Allah S.W.T yang telah menciptakan mereka dan juga oleh ibubapa dan orang yang terdekat dengan mereka.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.