Keluarga

Sejauh Mana Pengaruh Media Sosial Terhadap Intitusi Keluarga Yang Dibina?

Oleh Marina  •  18 Sep 2017  •  3 min baca

“Diam itu lebih baik daripada disakiti oleh insan yang disayangi.” Aisyah up status di laman Facebook miliknya dan mendapat like yang cukup banyak dari teman-temannya.

Tidak kurang juga ada yang komen bertanyakan tentang dirinya. “Aisyah ada masalah dengan husband ke?”

Kemudian, Aisyah membalas pula, “Biasalah hidup berumahtangga ni kak…” Bukankah hal tersebut secara tidak langsung telah membuka aib suaminya?

“Hari ni isteri tak masak, so pekena mamak la.” Zul up statusnya di laman Instagram sambil diletakkan gambar mi goreng dan air teh panas di atas meja.

Ada seorang dua temannya pula komen, “Ai… bini tak pandai masak ke?” Komen lain pula, “Lebih baik tak payah kahwin macamtu bro…”

Terkejut Zul dengan komen dari teman-temannya kerana niatnya hanya mahu berkongsi apa yang sedang dilakukannya saat itu. Bukankah hal tersebut secara tidak langsung telah mengaibkan isterinya?

Pernah atau tidak kita temui perkara begini atau yang seangkatan dengannya? Wujudnya media sosial hakikatnya adalah sebagai pemudah cara bagi segala urusan. Namun, mutakhir ini media sosial dianggap sebagai salah satu punca utama dalam keretakan rumahtangga yang dibina. Mengapa hal ini boleh berlaku? Berikut dikongsikan;

#1 – Gemar Berkongsi Kehidupan Rumahtangga

Setiap masa mahu di-update tentang keluarga. Sama ada up status mahupun gambar. Tidak salah untuk berbuat demikian, tetapi berwaspadalah. Ini kerana tidak semua manusia mempunyai niat yang baik terhadap kita. Tahukah kita, gambar anak, isteri dan suami juga boleh dijadikan sebagai bahan untuk menyihir seseorang. Oleh itu, sentiasalah beringat akan hal ini.

#2 – Tidak Berfikir Dahulu Sebelum Bertindak

Maklumat di media sosial mudah dicapai hanya dengan hujung jari sahaja. Oleh itu, jika seseorang itu tidak berfikir dahulu kesan dan akibat yang akan diperolehinya, maka buruklah padahnya. Bahkan, tindakan yang terburu-buru biasanya akan lebih mengeruhkan keadaan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Ketenangan itu dari Allah, sedangkan tergesa-gesa itu berasal dari syaitan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

#3 – Jadikan Media Sosial Sebagai Tempat Luahan

Dalam kehidupan berumahtangga sudah pasti ada pasang surutnya. Oleh itu, ada yang menjadikan media sosial sebagai tempat untuk dirinya meluahkan perasaan mahupun mengadu. Maka, tidak mustahil jika permasalahan rumahtangga yang sepatutnya disimpan rapi dapat diketahui umum dengan mudah dan pantas.

Seterusnya, menimbulkan pelbagai spekulasi dan pandangan orang luar yang membuat andaian sendiri. Jika perlukan pertolongan dan nasihat, adalah lebih baik dirujuk kepada mereka yang dipercayai dan pakar dalam bidang berkaitan.

#4 – Emosi Tidak Terkawal

Dalam situasi genting menghadapi permasalahan rumahtangga, kawalan emosi seharusnya dapat dijaga dengan sebaiknya, sama ada dari pihak lelaki mahupun wanita. Namun, hal yang sering terjadi dan menjadi kebiasaan adalah ditimbulkan oleh kaum wanita sendiri. Ini kerana kaum wanita lebih mudah terbawa oleh emosi dan perasaan.

Justeru, dalam hal ini kaum lelaki selaku pemimpin sesebuah keluarga seharusnya bertindak dengan lebih matang bukan mengeruhkan lagi keadaan.

#5 – Tidak Meletakkan Agama Di Hadapan

Agama yang menjadi panduan dalam kehidupan seharian termasuk rumahtangga seharusnya diletakkan paling hadapan. Ini kerana hanya agamalah yang menjadi penyelamat dalam segala permasalahan yang berlaku di dunia ini.

Bagi umat Islam, ada dua tinggalan untuk kita iaitu Al-Quran dan sunnah Baginda SAW. Kita juga ada Allah SWT; Tuhan yang menciptakan seluruh alam ini termasuklah penciptaan diri kita. Mengadulah kepada-Nya atas segala permasalahan yang berlaku, pasti akan didengari-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.”(Al-Baqarah: 45)

Semoga perkongsian ini membuka mata kita semua terhadap isu yang berlaku di sekeliling. Seterusnya, dapat mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku.

Sama-samalah kita menghidupkan kembali rumahtangga Muslim yang berlandaskan sunnah Nabi SAW walaupun sedikit. Jika tidak mampu buat semua, usah ditinggalkan semua. Moga bermanfaat buat penulis juga pembaca semua. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami