Ibadah

Tentang Ayat Toyibbah Dan Betapa Indahnya Ayat-Ayat Toyibbah Ini Bila Diamalkan

Oleh Nur Ismalina Haris  •  27 Nov 2016  •  3 min baca

Waktu Zuhur sudah semakin hampir. Lantas Hamdi meninggalkan kerjanya dan melangkah menuju ke masjid yang berdekatan. Setibanya di masjid, dia terus duduk di tangga sambil menghela nafas kepenatan.

“Letihnya dengan urusan dunia…” kata hati Hamdi.

Dalam ketenangan berada di dalam rumah Allah, tiba-tiba Hamdi terdengar satu bisikkan mesra. Sayup-sayup kedengaran di cuping telinga. Hamdi cuba mengamati. Benar, insan itu mengalunkan ayat-ayat Toyyibah.

Hamdi teringat pesan ibunya,

“Jangan sesekali lupa kepada Allah. Ingatlah Allah, pasti jiwa kita menjadi tenang.”

Hamdi tersenyum. Terus dibasahi lidahnya dengan ayat-ayat Toyyibah.

Apakah Ayat-ayat Toyyibah?

Ayat-ayat Toyyibah atau juga disebut kalimah Toyyibah adalah merupakan ayat-ayat mentauhidkan Allah, meningkatkan keyakinan kepada-Nya, menyucikan serta mengagungkan Asma Allah. Mereka yang selalu melazimi lidah dengan menyebut ayat-ayat Toyyibah pasti disayangi Allah dan dicintai Nabi Muhammad s.a.w. Antara ayat-ayat Toyyibah ialah Tasbih, Tahmid, Tahlil, Takbir dan Hauqalah.

Kisah Ayat-ayat Toyyibah

Ibnu Abbas r.a berkata:

“Ketika Allah menjadikan Arasy, lalu menyuruh malaikat memikulnya. Para malaikat merasakan amat berat untuk memikulnya. Kemudian Allah menyuruh malaikat membaca (menyebut); Subhanallah. Sebaik sahaja malaikat membacanya, maka terasa ringan memikul Arasy dan mereka terus menyebut (berzikir) selama-lamanya.”

Menurut Ibnu Abbas r.a lagi:

“Apabila Allah menjadikan Adam a.s. Maka mula-mula yang keluar dari mulut Adam ialah bersin. Lalu Allah ilhamkan kepadanya untuk membaca (menyebut); Alhamdulillah. Sebaik sahaja Adam a.s menyebut Alhamdulillah, lalu Allah menjawab; Yarhamuka Rabbuka (kerana rahmat itulah Aku menjadikan engkau).”

Kemudian malaikat berkata:

“Inilah kalimah mulia dan baik dan tidak sepatutnya kami abaikan. Maka para malaikat pun membaca (berzikir) Suhhanallah Walhamdulillah.”

Para malaikat membaca (berzikir) demikian sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Nuh a.s. Oleh kerana kaum Nabi Nuh adalah kaum pertama menyembah berhala, maka Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh a.s supaya menyuruh kaumnya membaca; Laa Illaha Illallah bagi mendapatkan keredhaan Allah.

Lalu berkata malaikat:

“Inilah kalimah ketiga yang besar dan baik yang tidak boleh kami abaikan. Maka malaikat pun menggabungkan dengan dua kalimah sebelumnya untuk menjadi: Subhanallah Walhamdulillah, Walaa Ilaha Illallah.”

Para malaikat mengamalkan kalimah tersebut sehingga terutusnya Nabi Ibrahim a.s. Setelah terutusnya Nabi Ibrahim a.s, Allah telah memerintahkan baginda menjalankan korban ke atas anaknya, yang mana akhirnya Allah telah menebus anaknya Ismail dengan seekor kibas (kambing).

Apabila Nabi Ibrahim a.s melihat anaknya terselamat dari disembelih dan digantikan dengan kibas (kambing), maka Nabi Ibrahim a.s menyebut: Allahu Akbar, kerana merasa terlalu gembira atas nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

Berkata para malaikat:

“Inilah kalimah keempat yang sungguh baik dan besar. Kemudian para malaikat menggabungkan kalimah itu dengan tiga kalimah sebelumnya menjadi: Subhanallah, Walhamdulillah, Walaa Ilaha Illallah, Wallahu Akbar.”

Ketika malaikat Jibril a.s menceritakan kisah ini kepada Rasulullah s.a.w, baginda merasa kagum dan terus melafazkan: Laa Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyil Adzim.

Kemudian Jibril a.s berkata:

“Gabungkan kalimah yang empat itu sehingga menjadi Subhanallah, Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwwata Illa Billahil Aliyil Adzim.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Amalan Zikir Harian

Sesungguhnya, ayat-ayat Toyyibah ini bukanlah ayat yang sekadar lafaz di hujung bibir. Ia lebih daripada itu. Ayat amalan para malaikat yang seharusnya menjadi amalan zikir harian kita. Usahakan agar bacaan ayat-ayat Toyibbah ini mampu membuatkan hati berasa gementar seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Anfaal, ayat 2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Sahabat, bermulanya siang dan berakhirnya malam, janganlah pernah jemu untuk menyebut ayat-ayat Toyyibah ini. Tidak mengapa jika bermula dengan sedikit, asalkan istiqamah. Insya-Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nur Ismalina Haris

Nur Ismalina Haris merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik. Beliau juga aktif menulis artikel yang telah diterbitkan di majalah berbentuk islamik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami