Inspirasi

Huruf Jawi Cetus Minat Buat Mike Mengenali Islam

Oleh Siti Rahmah  •  13 Aug 2016  •  5 min baca

Seawal usia lima tahun, Mike sudah mula kenal Islam melalui suami sepupunya, yang mesra dipanggil Abang Azmi. Waktu itu, dia menjadi orang paling obses dengan huruf jawi.

Tulisan huruf Alif hingga Yaa yang dituliskan oleh abang sepupunya itu dikelek ke hulu ke hilir dan sering dijadikan teman ke tempat tidur. Dilahirkan dalam keluarga dengan pegangan Katolik, sedaya mungkin dia menyembunyikan hal itu.

Pilihan yang ada, membaca dan menghafal secara sembunyi-sembunyi. Namun, pada usia semuda itu, tidak banyak yang mampu dia pelihara. Sudahnya, selepas dua bulan kertas yang semakin kusam itu hilang dari simpanan.

Selama 19 tahun, keinginan mahu belajar lebih dalam mengenai Islam tidak pernah pudar dari jiwanya. Tahun 2004, peluang itu terbuka apabila dia menerima peluang menyambung pengajian Ijazah Sarjanamuda di UKM.

Sejak itu sampailah sekarang, dia hidup dalam komuniti UKM dan Bangi. Pusat pengajian yang membuka banyak peluang, juga tersedia banyak sumber – baik untuk bertanya mahupun bahan bacaan. Sangat sesuai untuk dia yang suka bertanya, berbincang dan sentiasa penuh rasa ingin tahu.

Penerimaan Keluarga

Tidak menyampaikan hasratnya secara langsung, Mike mengaku keluarga tidak menentang apabila dia mahu menukar agama.
Cerita Mike,

“Sebenarnya konsep beza agama bukan isu yang besar, mungkin sebab suasana membesar di Sabah tidak menjadikan perbezaan agama itu isu.”

Tambahnya lagi,

“Begitu juga dengan keluarga saya. Tinggal dalam satu rumah, makan bersama atau bergaul dengan pelbagai agama tidak pernah menjadi isu. Amalan dan cara hidup yang berbeza tidak pernah jadi persoalan.”

Sebelum menyampaikan keinginan itu secara lisan, Mike banyak memberi tanda-tanda awal kepada keluarga. Menyampaikan hasrat secara halus, supaya keluarganya bersedia.

“Saya tak ingat bagaimana saya pujuk mereka, tapi saya sentiasa beri hint. Saya tukar cara hidup. Mereka tahu dan tiada penentangan besar yang berlaku, sebaliknya mereka lebih mahu tahu kenapa. Macam saya katalah, cara hidup yang berbeza bukan benda besar dalam keluarga saya.”

Apabila ditanyakan sebabnya, Mike tenang memberitahu,

“Jujur, masuk Islam itu lebih mudah untuk diterangkan apabila ada sebab mahu berkahwin.”

Pemuda yang berasal dari Sabah ini menyambung kemudiannya, menjelaskan jawapan yang diberikan kepada keluarga sementelah itu bukan alasan yang dia ada,

“Saya terangkan kepada mereka, keadaan akan jadi lebih mudah untuk saya, rakan ramai akan bantu. Rasanya keluarga saya lebih risaukan penerimaan saudara-mara dan rakan-rakan apabila saya mahu masuk Islam.”

“Berkali-kali mereka tanya. Saya ingat lagi, masa saya beritahu keluarga. Waktu itu nak balik ke Bangi. Di KKIA ketiga-tiga adik saya ikut menghantar. Kami sengaja ke KKIA awal. Di situ, kami duduk-duduk dan mereka tanya lagi sama ada saya betul-betul pasti itu yang saya mahu.”

Tidak menoleh ke belakang, Mike yakin dengan kepercayaannya. Alhamdulillah, dia melafazkan dua kalimah syahadah pada 8 Mac 2010, ketika bertugas sebagai pegawai tadbir di Pusat Antarabangsa UKM.

Travel dan Praktikal

Pada peringkat awal, Mike mendalami ilmu agama melalui kursus untuk saudara baru di MAIS. Seminggu pertama, belajar solat – menghafal surah al-Fatihah dan pergerakan solat.

Berkongsi pengalaman yang tidak mudah untuk dilupakan, Mike menambah,

“Solat pertama saya adalah solat maghrib (sebelum syahadah) dan solat Isyak (selepas syahadah).”

“Selain itu sebenarnya sebab cara hidup yang sibuk dan selalu ke luar negara untuk kerja, benda paling utama saya tumpukan adalah cara hidup. Hal-hal berkaitan ibadah dan perkara-perkara praktikal yang penting semasa mengembara.”

Ketika ditanyakan cabaran paling besar dalam hidup barunya, beliau yang sedang melanjutkan pengajian PhD Pendidikan di Bristol ini memberitahu,

“Cabaran paling susah adalah untuk lihat cara pemikiran orang islam. Itu lebih kepada cabaran dalam diri saya, sebab saya suka bertanya. Banyak orang tak suka sebab kadang-kadang mereka nampak saya macam mahu mencabar agama.

Jadi, supaya tak banyak perbalahan remeh yang akan mengelirukan, saya berhati-hati dan tapi semua yang saya mahu tulis di Facebook dan blog.”

Selanjutnya Mike menyambung lagi,

“Banyak perbalahan benda-benda remeh yang boleh mengelirukan saudara baru macam saya, saya tak ambil kisah. Bagi saya yang penting saya hidup dengan berbakti, bukan menyusahkan orang. Dan perkataan menyusahkan orang lain demi agama tak sepatutnya wujud.”

Beliau melanjutkan lagi,

“Agama itu sepatutnya memudahkan. Selalunya, saya berfikir dan memandang semua perkara yang dalam fitrah manusia itu berkait dengan agama. Hal luar fitrah manusia, tentu tidak selari dengan agama.”

“Atas sebab rasa ingin tahu yang sama, saya ke Mekah pada 2013. Buat keputusan dua minggu sebelum bertolak. Di Mekah, saya belajar dan kenal lebih banyak pasal Islam, cara hidup orang Islam.”

Menambah kisah pasal cabaran, Mike meneruskan lagi,

“Cabaran belajar, lebih kepada nak baca Quran. Saya memang lemah apabila nak belajar bahasa baru. Sebab itu saya simpan Quran dalam tiga bahasa terjemahan, Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris.”

Kini, pada usia 31 tahun, Mike Donald Jr M Nandu yang memilih nama Muhammad Fahmi Mike bin Abdullah meneruskan perjalanan dengan harapan supaya umat Islam bersikap lebih terbuka dan sabar ketika menyantuni saudara baru sepertinya.

“Biarlah saudara baru macam saya menyoal. Dakwah patutnya mudah, bukan paksa. Keputusan di tangan mereka sebab itu hidup mereka (bukan sekali dua saya hilang minat untuk masuk Islam sebab perangai manusia).

Fokus ajar dan berkongsi pasal cara hidup, bukan benda-benda ritual yang akan bagi kekeliruan. Apabila cara hidup dipelajari, benda lain akan datang sendiri.”

Menambah lagi,

“Muslim risau sangat saudara baru buat silap itu ini. Biarlah mereka meneroka dan pantau baik-baik, (selagi tiada benda memudaratkan yang dibuat).”

Sedangkan anak kecil yang membesar sebagai Islam pun banyak belajar daripada kesilapan sendiri. Jangan lupa, umur saudara baru ini umpama kanak-kanak juga.

“Kadang-kadang saya bergurau dengan rakan-rakan, umur saya baru 6 tahun, masih tadika. Kamu umur 6 tahun tahu apa?”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami