Ibadah

6 Langkah Melaksanakan Ibadah Puasa Dengan Jayanya

Oleh Nurul Akmal  •  9 Jun 2016  •  7 min baca

Ibadah puasa bukanlah suatu yang asing lagi bagi umat Islam. Setiap tahun khasnya di bulan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan Rukun Islam ketiga ini.

Syari’at ini telah diperintahkan oleh Allah swt di dalam surah al Baqarah ayat 183 kepada umat Nabi Muhammad saw pada 10 Sya’aban tahun ke-2 Hijrah menjadikannya salah satu ibadah yang wajib dilaksanakan.

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

Puasa wajib ke atas mereka yang beragama Islam, berakal sihat, baligh (cukup umur) dan mampu untuk mengerjakannya. Bagaimana untuk melakukan ibadah puasa ini dengan jayanya? Berikut adalah langkah-langkah utama untuk menunaikan ibadah puasa:

#1 Fahami Pengertian Puasa

Dari segi bahasanya, puasa membawa maksud ‘menahan diri’. Dalam konteks istilah pula, ibadah puasa adalah dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar Sadiq hingga terbenamnya matahari yang disertakan dengan niat.

Melalui pengertian ini, maka jelas dua rukun puasa yang perlu dipenuhi bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan baik iaitu berniat dan menahan diri.

#2 Niat Puasa yang Betul

Bagi puasa di bulan Ramadhan, lafaz niatnya adalah:

“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah ta’ala.”

Dalam puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadhan, niat harus ditetapkan sebelum fajar. Berdasarkan hadith Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa tidak menetapkan puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya.”

Niat biasanya terlaksana dengan makan sahur untuk berpuasa. Secara automatik, mereka yang bangun untuk bersahur adalah mereka yang hendak berpuasa.

#3 Bersahur

Bersahur adalah rutin puasa yang membezakan bentuk puasa orang Islam dengan orang Yahudi dan Kristian seperti sabda Nabi saw dalam riwayat al Tirmizi:

“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.”

Bersahur penting untuk memberi kekuatan fizikal kepada tubuh badan bagi menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Allah swt menerangkan tentang bersahur dalam sebahagian ayat 187 surah al Baqarah yang bermaksud:

“… Makan dan minumlah kamu semua sehingga jelas bagi kamu (dapat membezakan) antara benang putih dan benang hitam dari waktu fajar (Subuh). Kemudian, sempurnakan puasamu sehingga malam (maghrib)…”

Ambillah makanan yang berserat tinggi seperti buah-buahan dan bijirin ketika bersahur agar dapat menahan lapar dengan lebih lama. Minum air secukupnya agar badan terus terhidrat dan segar sepanjang hari.

Oleh itu, cubalah untuk bangun sahur sekudrat yang mungkin walaupun hanya untuk meneguk segelas air kosong. Diingatkan juga bahawa rutin makan dengan banyak pada lewat malam sebelum tidur dan bangkit selepas azan Subuh tidak dikira sebagai bersahur ya.

#4 Menahan Diri dari Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

Nampak seperti banyak tapi jangan khuatir. Hanya beberapa perkara sahaja yang boleh membatalkan puasa.

1.Makan Dan Minum Dengan Sengaja

Bagaimana pula jika tidak sengaja kerana terlupa? Menurut Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang terlupa ketika berpuasa lalu makan atau minum, dia hendaklah meneruskan puasanya kerana Allah sendiri telah memberi makan dan minum kepadanya.” Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Jadi jika terlupa tidaklah membatalkan puasa dan puasa mestilah diteruskan seperti biasa.

2. Didatangi Halangan Syari’e/keuzuran Iaitu Haid dan Nifas

Walaupun darah yang keluar terlalu sedikit dan hanya sekejap atau hadir ketika sangat hampir dengan waktu berbuka; puasanya tetap terbatal dan perlu diganti (qada’) semula pada bulan yang lain.

3. Muntah Dengan Sengaja

Nabi saw telah bersabda di dalam hadith riwayat Abu Daud:

“Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja) dalam keadaan berpuasa, dia tidak perlu mengqadaknya. Tetapi sesiapa yang sengaja memuntahkannya, dia wajib mengqadak puasa.”

4. Memasukkan Sesuatu Ke Dalam Rongga Badan

Sesuatu di sini tidak mengira samada boleh dimakan atau tidak. Termasuk boleh membatalkan dalam aspek ini adalah merokok.

5. Berjimak (melakukan persetubuhan) Di Siang Hari

Perkara ini agak berat kerana jika melakukannya, kaffarah (denda) yang harus dibuat agak besar iaitu samada membebaskan seorang hamba yang beriman atau wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut (tanpa diselangi, jika gagal harus diulangi semula) atau memberi makan kepada 60 orang miskin.

Bagi isteri yang tidak redha dengan permintaan suami untuk bersetubuh tetapi terpaksa melakukannya, para ulama bersepakat yang si isteri hanya perlu mengqadakkan puasanya sahaja tanpa perlu melaksanakan kaffarah.

6. Mengeluarkan Air Mani Secara Sengaja Pada Siang Hari

Puasa yang terbatal wajib diqadakkan pada bulan yang lain. Jika air mani terkeluar disebabkan mimpi, puasanya tidak terbatal dan perlu diteruskan kerana di luar kawalan dirinya.

Namun tetap perlu mandi junub. Tiada larangan untuk memeluk dan mencium isteri ketika berpuasa selagi tidak menyebabkan air mani keluar apabila melakukan perkara itu. Allah swt juga tidak melarang para suami mencampuri isteri mereka tetapi hanya dibenarkan di waktu malam pada bulan Ramadhan seperti di dalam surah al Baqarah ayat 187.

7. Menjadi Gila

Orang gila (tidak sempurna akalnya) tidak diwajibkan berpuasa.

8. Menjadi Murtad

Tidak sah puasa seorang individu yang keluar dari Islam kerana syarat sah puasa adalah Islam. Wajib ke atasnya mengqadakkan puasanya ketika murtad apabila kembali semula beriman.

9. Pengsan Sepanjang Hari

Gila atau pengsan jika berlaku sepanjang hari dan dia tidak sedarkan diri walau sesaat; puasanya terbatal.

#5 Berbuka Puasa

Saat yang paling dinantikan pastinya adalah waktu berbuka puasa. Sunatnya adalah untuk menyegerakan berbuka puasa apabila yakin telah masuk waktu iaitu terbenamnya matahari atau azan Maghrib berkumandang. Doa berbuka puasa adalah seperti berikut:

“Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan kepadaMu aku beriman. Dan dengan rezekiMu aku berbuka, dengan RahmatMu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Bersederhanalah ketika berbuka puasa; ambil makanan yang menyihatkan, rendah gula, garam dan lemak agar badan sentiasa mantap untuk meneruskan ibadah puasa di hari-hari yang seterusnya dengan baik.

Pengecualian waktu berbuka sebelum sampai waktu Maghrib hanya untuk mereka yang tidak mampu dan mengalami keuzuran iaitu:

1. Mereka yang sedang sakit tenat (tiada harapan sembuh) lalu tak mampu untuk meneruskan puasanya.

2. Bermusafir melebihi dua marhalah.

3. Orang tua yang telah uzur.

4. Perempuan mengandung yang dikhuatiri kesihatan diri dan kandungannya terganggu.

5. Perempuan yang menyusukan anaknya serta mereka yang terpaksa bekerja kuat sepanjang malam.

#6 Memperbanyakkan Amalan Utama dan Sunat

Istimewanya berpuasa di bulan Ramadhan adalah ganjaran pahala yang berlipat kali ganda bagi ibadah-ibadah yang dilakukan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Selain itu terdapat juga aktiviti-aktiviti ibadah yang hanya dapat dilakukan ketika bulan Ramadhan sahaja.

Justeru untuk meningkatkan lagi penghayatan semangat berpuasa itu, kita bolehlah membuat pelbagai amalan-amalan utama dan sunat seperti tadarus al Qur’an, solat Terawih, iktikaf di masjid, qiamullail dan bersedekah.

Aktiviti-aktiviti ibadah ini boleh dilakukan beramai-ramai untuk memeriahkan lagi suasana bulan ibadah (Ramadhan). Semoga kita jadi terus bersemangat untuk melaksanakan ibadah puasa dan ibadah yang lain apabila dilakukan bersama-sama.

Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat istimewa di sisi Allah swt. Abu Hurairah ra meriwayatkan yang Rasulullah saw bersabda bahawa:

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebajikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu.

Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya.

Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’” Hadith Riwayat Muslim

Ganjaran terus dari Allah swt telah dijanjikan bagi mereka yang berpuasa. Oleh itu, mari kita bersama-sama melakukan ibadah puasa sebaik yang mungkin agar Allah swt gembira menerima amalan dari kita di sisiNya dan sentiasa meredhai kita.

Semoga kita terpilih sebagai hamba yang dinantikan untuk bertemu denganNya di akhirat sana. Selamat Menyambut Ramadhan!

Sumber Gambar: Browngirlmagazine.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nurul Akmal

Segunung emas tidak sebanding dengan setitis ilmu. Cahaya yang melorongkan kemanusiaan dan kasih sayang Tuhan. Tuhan berbicara tanpa suara, bait-bait KitabNya, Alam dan Kehidupan. Melihat Tuhan dari rasa Cinta dan Rindu Abadi, patutkah tegar aku memilih yang lain?

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami