Oleh Siti Rahmah • 11 Mar 2016 • 4 min baca
Ketika gerhana berlaku semalam, saya hanya tahu ia fenomena alam yang berlaku sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun. Selepas solat sunat gerhana di masjid, ada khutbah istimewa yang disampaikan. Saya mendengarnya tanpa sebarang perasaan. Hasilnya, saya tahu ia bukti kekuasaan Tuhan.
Tetapi, melihat foto demi foto dikongsikan di laman sosial, terselit satu perasaan.
“Takkan kagum sahaja? Adakah ini yang sepatutnya saya rasa?”
Laju, saya buka laman Google. Menaip segala kata kunci berkaitan. ‘Gerhana matahari, solar eclipse, gerhana matahari dan quran, hikmah gerhana matahari, scholarly article of solar eclipse’, semuanya saya taip.
Selepas satu jam meneliti bahan bacaan yang dikumpulkan, saya terdiam. Menggigil. Ketakutan. Entah kebetulan atau apa, adik mengirim mesej pada masa yang sama.
Terus saya tanyakan,
“Gerhana matahari tu peringatan Tuhan pasal kemunculan Imam Mahdi ya?”
Beberapa saat kemudian dia balas satu ayat,
“Lebih tepat, peringatan pasal hari kiamat.”
Semakin kuat saya menggigil.
“Takutnya.”
Balasnya lagi,
“Wajib takut.”
Terdiam dan menggeletar. Lama saya berkeadaan begitu di hadapan laptop. Terus membaca dan membaca pasal gerhana matahari.
Benar. Ia bukan semata-mata fenomena supaya langit gelap seketika apabila bulan yang berada di antara matahari dan bumi menghalang sinaran matahari daripada terpancar dan menyinari bumi. Bukan, ia bukan hanya itu.
Sebuah laporan di Investigation of Medieval European Records of Solar Eclipse yang melaporkan tulisan F. Richard Stephenson di Journal for the History of Astronomy menyatakan perenggan ini,
German chronicle reported in 1133, “On the 4th day before the Nones of August (Aug 2), the 4th day of the week, when the Sun was declining, towards the ninth hour the Sun in a single moment becaame as black as pitch and DAY WAS TURNED INTO NIGHT; MANY STARS WERE SEEN, objects on the ground appeared as they usually do at night…“
Sungguh. Saya tak terkata saat membaca bahagian ayat, “Hari bertukar menjadi malam dalam sekelip mata dan banyak bintang kelihatan di langit,” itu.
Terus memikirkan,
“Bagaimana siang boleh jadi malam serta-merta? Bagaimana ketika ia berlaku dan waktu itu saya sedang melakukan hal yang tidak baik?
Bagaimana jika sewaktu dunia gelap itu, Tuhan memutuskan ia akan terus gelap dan saya dibangkitkan semula di sebuah padang yang luas?
Bagaimana jika ia berlaku dan saya belum sempat memohon ampun…? Na’uzubillah.”
Saya takut. Benar-benar takut. Allahu akbar.
“Wahai Allah, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Pengampun, dan Engkau sukakan keampunan, maka ampunkan kami wahai Allah.”
Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kebesaran Allah, di mana Allah menakutkan hamba-Nya. Tidak terjadi gerhana kerana kematian seorang manusia, akan tetapi keduanya adalah tanda kebesaran Allah.
Apabila kalian menyaksikannya, maka laksanakan solat dan berdoalah kepada Allah sehingga dikembalikan semula oleh Allah.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
Saya langsung tahu, mengapa Nabi mengajarkan kita solat sunat Kusuf (solat sunat gerhana) itu. Nabi mengajarkan kita supaya mengagungkan kebesaran Allah dan mendapatkan pengampunan-Nya, meminta dijauhkan daripada azab kubur.
Saya sambung membaca lagi, mencari tahu dan faham mengenai hikmah kejadian gerhana ini.
1. Bulan boleh menutup cahaya matahari daripada tersampai ke Bumi, atas izin Tuhan. Ia tanda keagungan dan kekuasaan Allah yang mencipta alam semesta, menguasai dan mengaturnya.
2. Kejadian alam seperti gerhana matahari tidak ada hubungan dengan kematian atau lahirnya seseorang, kerana jika Allah berkehendak menjadikan sesuatu, maka terjadilah. (Berikutan kejadian gerhana pernah berlaku selepas Ibrahim, putera baginda yang berusia 18 bulan meninggal.)
3. Kemajuan ciptaan peralatan yang dinamakan kronograf apabila para saintis dan ahli astronomi yang mengkaji fenomena gerhana berlumba-lumba mahu mendapatkan data terbaik.
4. Allah bebas berkehendak sesuai dengan keinginan-Nya. Bagaimana jika pada ketika matahari dan bulan berhimpun itu, Allah memutuskan matahari terbit dari barat?
Firman Allah SWT:
Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”
Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpinar-pinar (kerana gerun takut),
Dan bulan hilang cahayanya,
Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat):
“Ke manakah hendak melarikan diri?”
Surah al-Qiaamah 75: 6-10
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.