Keluarga, Remaja

5 Cabaran Berkahwin Di Usia Muda

Oleh Nazurah Hassan  •  3 Feb 2016  •  3 min baca

“Emmm… Mak… Abang nak kahwin.”
“Apa?!….”

Begitulah reaksi ibu bapa sekiranya anak yang bertanya tu masih muda umurnya. Lebih-lebih lagi kalau yang masih belajar di institut pengajian tinggi. Terkejut dibuatnya. Lepas tu kenalah bersedia untuk jawab soalan yang datang macam peluru.

Kahwin Muda (Atau Tua), Memang Banyak Cabarannya…

Tidak dinafikan, tentulah ibu bapa tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia bakal melibatkan tanggungjawab yang besar buat si anak. Bayangkan, setelah sekian lama hidup bergantung dengan mereka, kini anda pula akan memulakan keluarga baru. Macam tak percaya!

Jadi, sebelum anda mengutarakan hasrat untuk menikahi si dia, apa kata lihat dulu cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka yang berkahwin muda.

5 Cabaran Kahwin Muda

1. “Cukup bersedia ke anak Mak ni….?”

Perkara pertama yang perlu anda lalui ialah meyakinkan ibu bapa dan keluarga. Tidak cukup dengan memujuk melalui kata-kata, anda perlu membuktikan dengan perbuatan.

Selalunya, ibu bapa hanya akan merasakan kematangan anak-anak apabila melihat gaya hidup dan perancangan masa depan mereka. Kalau selalu ‘Subuh gajah’, baju kotor pun masih lagi Mak yang basuh, ada harapankah?

2. Tak cukup duit!

Perkara yang satu ini memang tidak dapat dielak. Ada yang belum bekerja dan masih belajar. Usahakan mencari kerja sambilan supaya dapat menampung perbelanjaan perkahwinan dan kegunaan bulanan bersama isteri.

Bagi yang perempuan, jangan pula berangan nak minta beg tangan LV atau kasut Jimmy Choo! Realistiklah terhadap pendapatan suami. Kalau boleh, bantu suami bekerja untuk sama-sama menyara hidup sebelum mendapat cahaya mata.

Seperkara lagi, berjimat-cermatlah untuk urusan perbelanjaan perkahwinan. Dalam Islam, serendah-rendah mahar adalah yang paling baik. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya.” Riwayat Ahmad

3. Belajar, Exam, Kerja, Keluarga, Anak – Ada masa untuk semua tu?

Aduh, dengar saja boleh stress! Bagaimana rancangan untuk membahagikan masa terhadap semua perkara ini? Semasa membuat perubahan dan penyesuaian, usahakannya sedikit demi sedikit supaya tidak terlalu penat dan tertekan.

4. Kawan-kawan ‘belakang kira’?

Realitinya, masa anda untuk melepak di kedai mamak terpaksa dihadkan kerana sudah mempunyai tanggungjawab terhadap rumah tangga. Walau apa pun, pastikan anda tidak terlalu membelakangkan rakan-rakan kerana anda juga perlu bersosial. Ia adalah keperluan biologi setiap manusia.

5. Didik Isteri dan Keluarga

Dalam usia muda remaja, kadangkala bukan senang mahu menasihati dan mendidik seseorang. Sikap ‘memberontak’ dan ‘baran’ memang sinonim dengan ‘darah muda’.

Bukan nak suruh bertukar jadi ustaz atau ustazah, tetapi cukuplah dengan memahami serta mempraktikkan prinsip asas rumah tangga dari sudut agama. Selain itu, perlu juga memikirkan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan keluarga mertua.

Tambahkan Ilmu Di Dada

Walau apa saja tanggapan manusia, andalah penentu sebenar kejayaan dalam hidup berumah tangga. Sekadar sanggup saja takkan boleh, perlu ada ilmu di dada. Dekatkan diri pada Allah dan banyakkan mengadu padaNya.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai kumpulan anak-anak muda! Barangsiapa di antara kamu mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan.

Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Jadi, jelaslah di sini bahawa perkahwinan adalah sunnah yang amat dituntut, tetapi ianya bergantung kepada kemampuan kita. Insya Allah, jika kita benar-benar ikhlas untuk mengikat kasih atas nama Allah, urusan akan dipermudahkan!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nazurah Hassan

Saya seorang surirumah dan penulis topik kekeluargaan. Sedang merantau dan kini menetap di Sarawak.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami